Lagu: Mata (1982)
Artis: Noorkumalasari
Komposer / Lirik: Fauzi Marzuki / Aman Shah
Pasaran muzik 80-an terisi dalam keberagaman muzik yang dinamik saya kira. Daripada pengaruh Hindi di era 70-an yang membawa ke era berikutnya sehinggalah eksperimentasi muzik Disko, Synth Pop dan Dance di era 80-an semuanya terhasil cukup meriah.
Nama Noorkumalasari dalam mewarnai pasaran muzik era tersebut antara yang akan terus diingati. Selain hits “Hati Seorang Kekasih” dan “Selamat Pagi Sayang” sebuah lagi lagu yang akan sentiasa membuat namanya segar sehingga hari ini adalah “Mata”.
Karya cipta Fauzi Marzuki dengan lirik tulisan Aman Shah ini beredar di tahun 1982 dalam pesona muzik Pop Disko yang terhasil cukup catchy dan menawan. Komposisi muzik Fauzi di lagu ini ketika diedarkan benar-benar memberi kesegaran bagi meluaskan landskap muzik Pop tempatan ketikan itu.
Attitide bermuzik Noor benar-benar membaluti momentum muzik di lagu ini untuk bergerak sebagai sebuah naskhah Pop yang sangat mudah untuk dinikmati. Percaturan Noor dalam meneruskan kelangsungan bermuziknya dan keluar daripada lagu-lagu sedih seperti “Bimbang Terluka Lagi” antaranya cukup berjaya diraikan di lagu “Mata”.
“Mata” pernah dirakamkan semula Maya Karin menerusi album debutnya di era 2000 dengan sentuhan muzik berbeza. Namun versi Noorkumalasari ini masih tetap ikonik dan malar segar biar sudah lebih tiga dekad beredar.
ARTIKEL BERKAITAN