
Lagu: Urat
Artis: Naim Daniel & Jamal Abdillah
Komposer / Lirik: Yeshua Iskandar / Firdaus Rahmat
Lama sebetulnya tidak mendengar naskhah muzik terbaru persembahan Naim Daniel setelah kali terakhir dia menghadirkan album solo perdananya. Naim sejak awal bermuzik sudah menampakkan potensi sebagai pelapis muzik yang harus diraikan.
Sejak kejayaan “Sumpah” berterusan dengan “Sembah”, “Lara”, “Purnama” dan “Mainan” sudah menghasilkan Pop yang sifatnya membaluti jiwa Naim sebagai komposer juga penyanyi. Tidak hanya terikat dengan lagu ciptaannya Naim mencuri perhatian penyanyi lain yang mahukan sentuhan emasnya.
Terkini bersama Jamal Abdillah dia menzahirkan “Urat” sebuah persembahan Balada dengan kolaborasi istimewa bersama Jamal Abdillah.
Dihasilkan dengan persembahan tipikal Naim yang biasa kita dengar sebelum ini, “Urat” menjual ilham emosi untuk menarik perhatian pendengar. Saya tidak begitu terikat dengan penciptaan melodinya namun saya sukakan kolaborasi suara kedua-dua mereka.
Persembahan cukup beremosi Jamal dan Naim memberi peranan besar untuk pendengar benar-benar larut dengan lagu ini. Liriknya juga masih baik, bait-bait korusnya “Pujukkanlah hati mu // Lihat ku di depan mata // Jangan kau biarkan // Ku berdirian sendiri.” terisi dengan tersusun sebelum ditulis lebih puitis “Seakan tersekat // Simpul tiap urat // Tiada lagi kasih dan juga erti.”
Dalam persembahan melodi begini, ia masih kuat nilai komersilnya. “Urat” pasti akan meniti bibir penggemar muzik semasa khususnya.
6.2/10
ARTIKEL BERKAITAN