Highlight, Review, Terkini,

imran ajmain kembali galau dengan meramu ilham “seribu tahun lagi”

Lagu: Seribu Tahun Lagi
Persembahan: Imran Ajmain
Komposer / Lirik: Amylea Azizan
Produser: Imran Ajmain

Imran Ajmain menelusuri perjalanan bermuziknya dengan sederhana. Biar tidaklah terlalu riuh seribu, namun kelibatnya masih terlihat dengan sesekali persembahan dan dengan lagu cari makannya “Seribu Tahun” yang sentiasa didengar generasi berganti.

terakhir kali muncul dengan single solo menerusi “Padam dan Pergi” ciptaan bersama Ahmadul Amin meneruskan kelangsungan bermuzik khusus buat penggemarnya. Terkini dengan sebuah lagi kolaborasi, terhasil penciptaan melodi Amylea Azizan menerusi “Seribu Tahun Lagi”.

Bergerak atas landasan muzik yang diilhamkan daripada lagu Seribu Tahun saya kira, single terbaru ini mengembalikan ruang rasa galau yang sinonim dengan persembahan Imran sebelum ini. Tidak sukar untuk dilayani, melodinya sebati dengan persembahan beremosi Imran yang menjadi nadi pada persembahan keseluruhan lagu ini.

Penulisan liriknya puitis dan menarik dalam bait yang disusun kemas. “Sebuah lagi cerita // Yang tamat di sini.” Berpaksi pada kisah buram yang berbalut perasaan kecewa mendalam – “Seribu Tahun Lagi” saya kira mungkin tidak sukar untuk membuat pendengar senang menerima lagu ini.

Cuma secara peribadi bagi saya ia agak terlalu mellow dan sama dengan penghasilan “Seribu Tahun” yang dihasilkan lebih sepuluh tahun lalu. Cuma jika kehendaknya memberi visi serupa saya faham dan pastinya akan ada pendengar melayani dua lagu ini secara back to back. Cuma sebagai pendengar menantikan sound baru yang mungkin boleh Imran terokai selain Balada begini.

Kerana pabila mendengarkan album awalnya dulu lagu-lagu seperti “Sudah Tu Sudah”, “Taurus”, “Radio” antara yang saya nantikan comeback nya. Imran biar dalam groove dan R&B nya masih kental feel Melayu yang menyatu baik dalam attitude yang dihasilkan. Semoga ilham ini akan dikembalikan untuk single seterusnya tanpa perlu terus terikat Balada sahaja. Dan oh ya, “Sentiasa Merinding” 💯

6.7/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Glowrush & Faizal Tahir Mengulik Teras Lagu-Lagu Rakyat Lewat “Jati Diri”

Album: Jati Diri
Persembahan: Let Zapin
Produser: Glowrush / Faizal Tahir

Kedewasaan Faizal Tahir dalam meneroka segenap sudut muzik yang tidak terikat ilham Pop semata menjadikan dia sebagai pemuzik yang cukup besar harganya untuk kita sebagai pendengar. Bersama Faithful Music FT merencana kembara bermuziknya dengan tersendiri. Dia juga bersama batalion muziknya membentuk satu sound baru yang membesarkan landskap Pop tempatan.

“Qibla” menjadi album terakhir FT sebelum dia perlahan-lahan meneroka ilham muzik tradisi dalam persembahan lagu seperti “Darah Bangsa” sebelum bersambung kolaborasi genius bersama M. Nasir menerusi “Campak Bintang”. Pertemuan bersama Glowrush, menciptakan Let Zapin yang membentuk satu projek khusus manipulasi irama tradisi Melayu dengan sound baru dan kekinian.

Melayani album ini is such a fun journey buat saya. Persembahannya tidak kompleks, setiap melodi datang idea untuk menjerat pendengaran dengan sekali dengar – hal ini bertepatan dengan habit mendengar kebanyakan pendengar kita sekara. Short span attention. Jadi setiap lagu di album ini dihasilkan dengan singkat, cepat dan mengikat.

Dibuka dengan interlude “بوك ڤڠڬوڠ” yang berkesinambungan baik dengan lagu “Campak Bintang” yang terlebih dahulu beredar sebagai single. Monolog Tun Mahathir menerusi “Che Det” bergerak sebagai pengenalan tentang album ini saya kira. Objektif dan arah album ini dihasilkan sebelum diteruskan dengan “Darah Bangsa” yang juga sudah diedarkan lebih awal.

“اورڠ كامڤوڠ” (Faizal Tahir / Glowrush / Ja’a) datang dengan vibes yang lebih meriah – mencipta satu ambien yang lebih ringan menyeimbangi penghasilan album ini untuk bergerak lebih komersial. Saya pantas teringat pada penghasilan lagu-lagu rakyat oleh Sheqal yang banyak berlegar konsep begini. Korus lagu ini menjadi daya pengikat utama dengan infusi Dondang Sayang di tengah lagu menyatu sempurna ilham Joget yang dihasilkan. Perfect for raya juga lagu ini.

“مهاراني” (Mas Dewangga / Faizal Tahir / Glowrush / Jova Devito / Aydenking / Mambang) menjadi lebih menarik dan membuat saya mengulang dengar berkali-kali juga sebelum beralih ke trak seterusnya. Melodinya catchy dan kekuatan pada korusnya menjadikan “مهاراني” kecanduan. Momentum muzik yang bergerak penuh dinamik bergerak sebagai satu persembahan Pop nusantara yang sangat baik penghasilannya.

“سارڠ تبوان” (Faizal Tahir / Glowrush / Mage) meneruskan ilham lagu-lagu rakyat moden FT sebelum ini seperti “Ragaman”, “Santai” dan “Ok” – Ilham serupa diteruskan dalam persembahan lagu “جوڬيت منتول” (FT / Glowrush / Ja’a) dan “Bendera” (FT / Glowrush / Iqie Hugh / Hanis Rafi) sebelum ditutup dengan “توتوڤ ڤڠڬوڠ”

“Jati Diri” saya kira adalah FT current state of mind. Tentang apa yang mahu dia perjuangkan, apa yang dia mahu pendengar fahamkan. Hal-hal tanggungjawab yang berat disatukan dalam persembahan Pop ringan, mudah melekat dan menghiburkan. Let Zapin satu gerakan muzik yang harus bertumbuh untuk meneruskan kelangsungan perjuangan berteras lagu-lagu rakyat.

8.5/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

penyatuan lo-fi dan klasik asmidar dan ahmadul amin lewat “ kita jumpa lagi”

Lagu: Kita Jumpa Lagi
Artis: Asmidar / Ahmadul Amin
Komposer / Lirik: Ahmadul Amin / Asmidar
Produser: Ahmadul Amin / Asmidar

Setelah merakamkan kembali “Biar Sampai Ke Bintang” dalam ilham Keroncong yang begitu menambah sayu hasil karya Ajai tersebut, Asmidar bergerak dalam rada muziknya yang tersendiri. Tanpa mahu lagi terikat dengan apa yang pasaran muzik mahukan, dia semakin jelas dengan visi muziknya.

Percaturan Balada yang ada juga saya kira tidaklah begitu diraikan pengikut muzik tempatan yang masih berpaksi pada penyanyi kegemaran. Sedangkan saya kira lagu seperti “Memoir Rindu” yang pernah dirakamkan ketika banyak penyanyi Balada baru wanita diraikan sudah siap dengan standard muzik yang sama.

Soal rezeki, peluang dan kesempatan itu mungkin satu hal subjektif cuma sebagai pendengar saya kira kita harus adil dalam mendengar dan terbuka meraikan apa yang sudah dipersembahkan dengan kualiti yang baik. Asmidar berjuang saya kira untuk menemukan momennya dan saya kira hanya masa sahaja yang ada jawapannya. Hakikatnya tiada siapa antara kita yang mampu menolak bakat nyanyian yang cukup luar biasa dia miliki. Feel, persembahan dan dedikasi dalam penyampaian semua mencukupi.

Terkini, Asmidar terus melangkah dalam memberikan hal-hal baru yang ada padanya dan kali ini diterjermah dengan penuh soulful dalam persembahan lagu “Kita Jumpa Lagi”. Hal yang cukup menarik tentang lagu ini adalah eksplorasi Klasik dan lo-fi yang ditembungkan menyatu sempurna.

Saya melayang, tersenyu-senyum dan bahagia mendengarkan lagu ini. Liriknya yang manis bersulam sebaiknya air lenggok Asmidar sebagai pelantun. “Sayup-sayup di seberang lautan // Jauh jauh rasa tak tertahan // Biar pun kakiku tak sampai // Dalam doa kukirimkan pesan.”

Kisah rindu, kasih sayang dan cinta ditafsir dalam penceritaan jarak jauh yang terasa cukup manis. “Jauhku meneroka // Namun jangan risau kau takkan kulupa // Walau kita berjauhan // Kau selalu dalam kenangan.” Lagu sebegini saya kira lagu-lagu yang jarang kita dapatkan di pasaran. Mungkin kali terakhir “Sentiasa Merinding” persembahan Imran Ajmain dan NJWA. Dan “Kita Jumpa Lagi” saya letakkan sebagai kesinambungan lagu dalam feel serupa. Takkan lama kita jumpa lagi // Kita jumpa lagi. It’s a beautiful Pop.

8.7/10


ARTIKEL BERKAITAN

#PerspektifMuzik, Highlight, Terkini,

perang juara bermula and this is probably the most competitive ajl in history

Lama sebetulnya saya tidak menulis tentang AJL, mungkin kerana keterujaan melihat finalis yang berulang serupa dan kekecewaan melihat “Debu” sebagai Pop paling berevolusi dalam sejarah AJL tewas bergelar Juara membuatkan saya semakin tidaklah lagi memandang apa lagi menariknya AJL sehinggalah tahun lalu Amir Jahari menerusi “Hasrat” bergelar juara membuatkan hati saya berdetikata oh, akhirnya ~~ juara yang seperlunya diangkat juga (Hasrat juga sudah MK pilih sebagai rilis terbaik 2023)

Tahun ini sepuluh lagu yang bertanding boleh saya sifatkan setidaknya 8 daripada 10 lagu ini adalah apa yang saya mahu lihat di pentas final. Banyak yang bertanya pabila saya mengulas apa yang saya nilai? Pertama asas melodinya harus memiliki keaslian tanpa mengulang ilham serupa sahaja berkali-kali yang sehingga membuatkan pendengar (bukan fans) keliru apa bezanya lagu ini dengan lagu yang sebelumnya.

Kedua, idea dalam persembahan keseluruhan yang memiliki infusi muzik kekinian (current) dan mewakili idea dan sound hari ini – bukan sound zaman Pelamin Anganku Musnah. Cara mencorakkan tujuh nada dalam muzik menjadi sesuatu yang kekinian itu lebih penting. Paksinya ada pada irama, harmoni, dinamik, landskap, tempo dan tekstur. Cara pengolahannya yang menjadikan ia sesuatu yang baru segar dan memiliki elemen malar segar – yang hayatnya akan panjang dan terus diraikan (Evergreen).

Dan ini ada pada dua lagu yang terlepas peluang ke final iaitu “Masihkah Ada Itu” dan “Sangkar Derita”. Betul, kedua-duanya berasas Balada yang sedia ada tetapi ia dimanipulasi dengan satu kemasan muzik, idea dan sound yang baru. Bersama hal-hal yang saya sebutkan tadi kedua-lagu ini lengkap (bukan sempurna) sebagai lagu yang mewakili kehendak bunyi hari ini.

Ketiga, penulisan liriknya haruslah berevolusi, kosa kata yang luas dan datang dengan gaya bahasa yang disusun kemas mengikut kehendak, pemikiran dan idealisme masa kini. Rujukan pada idea lama boleh tapi tidak perlu mengikut acuan serupa. Definisi puitis hari ini dan di zaman 80-an dulu pun berbeza – ini hal yang paksinya berbalik pada kecenderungan generasi sekarang berbahasa.

Sekali pun perlu menjadi sedih, raikanlah kesedihan itu dengan cerita dengan gaya bahasa yang sekarang. Penat saya membaca lirik-lirik macam nak mati susahnya hidup sebab kecewa cinta dan ditinggalkan. Kalau zaman Berpisan Jua – Ziana Zain, Pelamin Anganku Musnah – Azie atau Hajat (Haida) saya faham. Tapi zaman dah berubah kan. Pemikiran dan cara hidup kita sendiri berubah. Jadinya penceritaan, gaya bahasa dan pemilihan kata harus juga mewakili state of mind generasi hari ini. Mati, bodoh, sakit, kecewa so last decade. Luaskanlah perbendaharaan kata.

Dan yang terkahir penyampaian. NEVER OVER DO YOUR SINGING. Bila over do memanglah orang menjerit suka, tapi maaflah again ini bukan lagi zaman menyanyi untuk show off. Simple tapi sampai itu lebih penting daripada nak show off tak ada hala tuju. Saya sukakan vokal yang kemas, bercerita mengikut tekslirik yang ditulis dalam emosi yang tepat dan sampai rasanya. Ini yang Ernie Zakri beri pada kita semua tahun lalu menerusi “Astana” but yeah.

Untuk hujahan berikutnya saya akan berbahas tentang sepuluh lagu yang bertanding tahun ini dengan tiga aspek yang saya lihat dan siapa yang mendahului tiga elemen ini. Jika anda bersetuju dengan tiga hujah saya di atas boleh teruskan membaca jika tidak close your tab.

MELODI, IDEA & KEMASAN MUZIK

Originality dalam penciptaan melodi ada pada “Diam” (Hael Husaini / Iqie Hugh) , “Bukan Lagi Kita” (Hael Husaini / Iqie Hugh) dan “Risiko” (Kinggolddigga / Benzooloo / Ghidd / Meerfly / Mk / Tuju / Twntytwo Degree) mendepani mana-mana lagu yang lain. Dan ketiga-tiga lagu ini juga memiliki faktor nombor dua yang saya tulis di atas tadi. Infusi muzik moden dan kekinian. “Diam” akan menang besar kalau saya yang menjadi juri – Persembahan Pop yang cukup solid, original dan bereksperimentasi dengan sound yang radarnya bergerak dengan kehendak muzik Pop global hari ini.

Tapi dinamik dan attitude luar biasa dalam “Risiko” mampu memecah peluang “Diam”. Kolaborasi Hip-Hop ini antara yang paling cemerlang sejak “Mimpi” (ALYPH / K-Clique). “Risiko” bergerak cukup tersendiri dan cukup distingtif dan lagu ini ada struktur instrumentasi muzik yang menarik dan nyata meninggalkan klise Pop tempatan.

Jika mahu yang seimbang dan melengkapi kehendak melodi, idea dan produksi muzik “Bukan Lagi Kita” adalah juaranya. Saya sukakan asas Balada yang dibentuk dengan satu struktur berbeza. Cara Hael dan Iqie menjadikan “Bukan Lagi Kita” sebagai Balada yang berevolusi jelas di lagu ini. Lengkap dengan melodi, kemasan muzik yang current dan lirik yang membaluti kehendak melodi. Lagu ini kisahnya masih sebuah tragedi cinta tetapi ia tidak lemah. Riff gitar di lagu ini memberi ruang untuk “Bukan Lagi Kita” stand out dengan lebih progresif berbanding Balada lain yang bertanding tahun ini.

“Hening Rindu”, “Saksama” dan “Sengaja” ada melodi yang sedap namun penghasilannya masih di standard biasa. Sejujurnya saya lebih mengharapkan lagu “Dulu, Kini & Akhirnya” sebab lagu itu lebih kemas penghasilannya. “Puas Sudah” masih begitu-begitu sahajalah suicidal Ballad dan terlalu meleweh. “Aura” ada kemasan muzik yang baik cuma melodinya masih berpaksi pada kebiasaan lagu-lagu Ernie. Tapi “Aura” akan dibantu secukupnya story telling Ernie. “Terus Bersinar” juga begitu akan dibantu secukupnya justifikasi Hafiz bercerita dalam lagu.

“Pujaanku” (Masdo / Ali Sariah / Heidimoru / Aisyah Aziz) ada melodi yang malar segar dan sudah saya ulas juga di sini. Penghasilannya mengambil acuan muzik terdahulu yang diolah dengan citarasa bermuzik yang baru, memiliki attitude dan dekat dengan pendengar. Ini antara yang terbaik pernah Masdo hasilkan sepanjang mereka berkarier.

LISTRIK LIRIK

“Bukan Lagi Kita” (Hael Husaini / Iqie Hugh) bergerak atas jalan cerita yang current – tidak terikat gaya bahasa era Lukhman S atau Mama Juwie. Bait yang ditulis bagai satu perbualan tetapi disenyawakan sebaiknya dengan melodi dan penceritaan Nadeera. Lagu ini ada banyak bait yang sedap, current, kemas dan tak cringe “Dan akhirnya // Kau dan kau saja // Cuba melawan takdir perpisahan kita” Frasa yang sangat kuat sebelum ia bersambung baik killer di korusnya “Tergamaknya kau // Kau bertanya // Di manakah kita?.” Dan lagu ini ditutup dengan sempurnya bait “Kau yang menghancurkan // Dan kau sendiri mempersoalkan // Sedang kau tahu kita bukan lagi kita.”

Ini yang saya maksudkan awal tadi. Sekali pun perlu menjadi sedih, raikanlah kesedihan itu dengan cerita dengan gaya bahasa yang sekarang tanpa perlu menjadi lembik. “Bukan Lagi Kita” sebuah teks revenge bagi saya. Dia wanita yang kecewa dengan keadaan tetapi dia kuat dan tahu nilai dirinya – so she fight. “Ku mahu engkau merasakan // Rasa terkhianati pada setia yang ku beri.”

Ini bukan lagi zaman “Mampukah untukku // Merengkuh hatimu // Kasih yang kurayu.” atau “Sakit ini mencengkam // Tiada penghujungnya // Namun apa daya ku // Sebagai seorang hamba.” LETIH. Tidak langsung mewakili suara wanita hari ini. Wanita hari ini sebaiknya yakin sebegini “Aku jelmakan aura // Sesiapa yang lihat aku terpesona.”

Sekarang kita berbicara tentang “Diam” penghasilan cemerlang Hael dan Iqie. Namun perbualan saya bersama seorang teman menimbulkan keraguan. Jika perkataan “Celaka” itu akan dianggap negatif oleh juri dan hal ini akan memudarkan harapan serta peluang “Diam” untuk bergelar juara – sekali pun hakikatnya menurut saya lagu ini secara evolusi Pop, sudah mendepani lagu-lagu lain yang bertanding. But again, ia bergantung pada sudut pandang juri. “Celaka” jika dilihat sebagai satu perlambangan kekecewaan dan amarah ia sebetulnya tiada masalah pun. Tapi itulah juri semua pula mostly usianya sudah semakin terlalu senja untuk mendasari pemikiran generasi kini.

“Bintang filem ucaptama masuk zone” membuka “Risiko” dengan cemerlang. Dengan bait itu sahaja sudah buat saya teruja melewati teks lirik lagu ini. Ia bergerak dalam sifat kendiri – mungkin ego, juga pentafsiran pada pemikiran yang personal. Dalam gaya bahasa yang berbalam, ia menolak terus ilham puitis tetapi apa yang dipersembahkan adalah pemikiran, idea dan sebuah cult bahasa dalam muzik.

DAN VOKAL TERBAIK…

Rekod empat kali yang dipegang Hafiz akan memberi cabaran buatnya malam AJL 39 nanti. “Terus Bersinar” lagu yang panjang dan tidak berhenti sehingga ke hujung lagu. Jika dinilai pada persembahan separuh akhir yang lalu Hafiz cemerlang. Flawless. Hafiz jarang over do his singing – emosinya selalu sampai dan dan setiap bait kata yang disampaikan jelas dalam makna yang sepatutnya.

Amir Masdi antara yang saya nanti. “Sengaja” memberi justifikasi terbaik pada vokal amir. Power yang Amir ada dalam projection seimbang dengan kehendak lagu-lagu yang dia sampaikan. Amir akan cemerlang malam esok. Namun lagu ini secara teknikal kurang tingkat tara kepayahan. Tapi kalau nak diikutkan hal itu, Ernie tewas tahun lalu dengan teknik yang sangat kemas berbalut kemerduan yang ada.

Vokal di AJL boleh jadi begitu subjektif sebetulnya. Ia seratus peratus bergantung pada preferensi dan saya tidaklah begitu mahu mengupasnya. Cuma apa yang selalu saya mahu adalah nyanyian itu dirasai. Menyanyi dengan runs dan adlib yang bermacam-macam tapi berhujung jeritan pun annoying kot. Macam saya katakan di awal tadi simple tapi sampai itu lebih berkesan dan yang paling penting tidak melebihi kehendak melodi. Saya cuma berharap Marsha akan lebih relaks, sebab bila dia relaks suara dia sedap dan Aina tidak lagi bermacam-macam.

SECARA PREFERENSI JUGA INI PILIHAN MUZIK KITA MENGIKUT KEDUDUKAN.

  1. Bukan Lagi Kita (Hael Husaini / Iqie Hugh / Nadeera)
  2. Diam (Hael Husaini / Iqie Hugh)
  3. Risiko (Kinggolddigga / Benzooloo / Ghidd / Meerfly / Mk / Tuju / Twntytwo Degree)
  4. Pujaanku (Ali Sariah / Heidimoru / Masdo / Aisyah Aziz)
  5. Aura (Ernie Zakri / John Jeeves / Firdaus Rahmat)
  6. Sengaja (Bunga Cantik / Hang Nadim / Amir Masdi)
  7. Terus Bersinar (Mas Dewangga / Jova Devito / Arisz Ab Rahman / Hafiz Suip)
  8. Hening Rindu (Ikhwan Fatanna / Wan Saleh / Marsha)
  9. Saksama (Akim & The Majistret / Bunga Cantik)
  10. Puas Sudah (Aina Abdul)

ARTIKEL BERKAITAN

Review, Terkini,

tertawan dengan poetic pop dalia farhana lewat album perdana “fasa”

Album: Fasa
Artis: Dalia Farhana
Produser / Arranger: Bajai / Amir Firdaus / Mas Dewangga / Dalia Farhana

Bakatnya cukup hijau saat “Langit Yang Sama” mencuri perhatian namun potensi yang dia persembahkan lewat single tersebut memberi satu keyakinan akan bakat wanita yang mahu melakukan sesuatu yang sedikit berbeza daripada apa yang sedia ada. Duet bersama Aziz Harun “Akhir Cerita” antara yang paling saya gemari.

Ilham Folk yang disulam puitis lirik dalam persembahan Pop yang ada pengaruh Indo Folk ala Nadin Amizah dan Feby Putri menjadi arah muzik Dalia. Dan sebetulnya di Malaysia boleh dihitung dengan jari sebetulnya berapa saja bakat wanita yang mahu datang dengan ilham ini. Heidimoru satu antaranya yang selebihnya masih mahu menjual pesona suara nan lantang.

Dalia memiliki kelebihan pada bakat penulisannya. “Fasa” digerakkan dengan idea tersebut – meletakkan dia sebagai bakat yang ada ketersendirian tanpa terlalu bergantung pada kehendak pasaran muzik semasa sahaja. Dan jika mendasari market segmentation muzik hari ini, apa yang ditawarkan Dalia benar-benar ada pendengarnya. Tanpa perlu peminat yang riuh seribu, muziknya diraikan sebaiknya.

Cara terbaik menikmati album ini adalah bersama lirik-lirik yang ditulis puitis

Album ini dibuka dengan “Tuhan Tahu” (Dalia Farhana / Amir Firdaus) yang laju membuka ingatan saya pada lagu-lagu Feby Putri. Tidak mengapa kerana ia rujukan yang baik dan permulaan yang baik untuk Dalia bertumbuh sebagai pemuzik yang matang dan terus belajar. Penulisan Dalia sedap dan membuat saya leka dengan penciptaan melodinya “Kuat saja walau tiada bahu” // “Tiada telinga yang mendengari // “Siang saja teguh berdiri” – terhasil menawan.

Hal-hal lirik yang bersulam baik melodinya ini bersambung pada lagu-lagu seperti “Beban”, “Berat Sebelah” dan “Cancer” – yang berlandas ilham muzik serupa dan berbalut penulisan lirik yang menyentuh. Dalia memberi justifikasi emosi yang sebaiknya pada setiap lagu yang dia persembahkan. Suaranya lembut tapi masih ada weight dalam menyalurkan emosi yang bertepatan pada setiap lagu.

“Trauma” (Dalia Farhana / Mas Dewangga / Amir Firdaus) datang dengan kemasan muzik yang memberi sedikit sentuhan berbeza. Piano Mas Dewangga di lagu ini haunting dengan signature beat yang ada dalam setiap karya sentuhan bakat muda ini memberikan satu sentuhan berbeza dalam lagu ciptaan Dalia. Bahagian tengah ke hujung lagu bergerak dengan momentum yang lebih keras dalam lembut persembahan Dalia. Saya seronok mendengarkan setiap perincian instrumentasi di lagu ini, menarik. Ini antara lagu terbaik yang ada di album ini .

“Tsunami” (Dalia Farhana / Amir Firdaus) bergerak atas perlambangan. “Apa guna bernafas di bumi
// Jika sudah separuh aku di dia.”
Lagu ini antara yang terhasil cukup deep emosinya. Semakin ke hujung Dalia menjadi semakin beremosi. “Nanti Pulang ke Aku Ya?” (Dalia Farhana) menjadi track kegemaran saya di album ini. Hanya dengan sekali mendengar, lagu ini sudah menjerat pendengaran.

Melodi yang dihasilkan cukup ramuan komersial dengan estetika kekinian dan sekali lagi datang dengan penulisan lirik yang baik. “Moga kita bertemu di titik terbaik // Menurut Sang Pencipta.” // “Pulang ke rumah sama // Pejam mata bersama.” Menerusi lagu ini saya kira Dalia akan memiliki sebuah lagi hits yang akan terus didengari penggemar muzik masa kini.

“Fasa” bergerak sebagai sebuah potensi Dalia Farhana untuk bertumbuh matang sebagai pemuzik yang akan dewasa dalam percaturannya. Apa yang perlu dia lakukan sekarang adalah untuk terus konsisten dan meneroka lebih lagi jaluran muzik lain yang mampu memberi infusi berbeza pada sound yang sudah dia hasilkan sekarang. Dan terbuka berkolaborasi dengan lebih lagi pemuzik lainnya.

7.8/10


ARTIKEL BERKAITAN

#PerspektifMuzik, Highlight, Terkini,

Ulasan akhir Gegar Vaganza Musim ke-11


Sebelas musim bersiaran, Gegar Vaganza membuktikan ia sebagai sebuah program hiburan yang masih rasional dan tinggi permintaannya. Memahami kehendak pertandingan, kesemua peserta saban musim semakin siap bersaing dengan strategi pastinya.

Siapa yang bijak mengambil peluang, GV menjadi platform terbaik mendapatkan kembali peluang yang mungkin tersisih dahulu.

Ayai, Siti Nordiana, Azharina, Aishah, Noryn Aziz, Hady Mirza, Naqiu, Clif Umar, Alif Aziz dan Jaclyn Victor sudah diangkat sebagai juara. Ada yang menggunakan peluang sebaiknya, ada yang tenggelam tanpa sebarang kemahuan meneruskan perjuangan.

Biar tidak bergelar juara, nama-nama seperti Liza Hanim, Shila Amzah, Amelina, Zamani, Haiza, Dina dan beberapa lagi sudah siap menggunakan peluang yang ada untuk kembali relevan, terus bekerja dalam bidang muzik sebagai sebuah kelangsungan.

GV bukan lagi tentang siapa yang bakal bergelar juara tetapi siapa yang akan menggunakan peluang yang diberi sebaiknya.

Keseimbangan di antara nilai hiburan, kualiti peserta dan kredibiliti juri-juri menjadikan GV masih belum lagi memperlihatkan ia akan berkurang permintaan. GV seimbang dalam memberi hiburan baik pada penonton, keuntungan buat penaja dan kepercayaan pada pasukan yang merencana program ini.

Persaingan di antara Liza Aziz, Sheila Abdull, Dadali Dyrga, The Lima, Zehra Zambri dan Ning Baizura bermula malam ini. Siapa yang akan menggunakan peluang ini untuk terus berkarier?

DADALI DYRGA (45%)

Masalah utama Dyrga setiap persembahannya tiada perkembangan berperingkat. Ia akan bermula dan berhujung dengan momentum serupa tanpa klimaks.

DYRGA BERSAMA JAMAL ABDILLAH (56%)

Dalam persembahan ini jelas nampak apa yang kurang pada Dyrga adalah masalah projection yang tertahan-tahan dan tak lepas nyanyiannya.

SHEILA ABDULL (76%)

Sheila in control dan sangat menyerlah aura bintangnya. Persembahannya kemas walau ada masalah sebutan di beberapa bahagian tapi Sheila memberi attitude yang secukupnya untuk persembahan malam ini. 

SHEILA BERSAMA TAUFIK BATISAH (57%)

Persembahan yang okey cuma kurang chemistry dan kurang impak. Nyanyian Sheila sekadar selamat tanpa ada hal yang lebih.

ZEHRA ZAMBRI (34%)

Zehra tend to over do pabila dia mula excited. Dan malam ini sekali lagi dia kurang relaks sehingga menggangu nyanyian. Persembahan jadi kurang kemas dan ada banyak bahagian all over the place.

ZEHRA BERSAMA JACLYN VICTOR (61%)

Lebih baik dan terkawal kali ini. Zehra pabila relaks, nyanyiannya lebih tenang dan feel dirasai. Jac beri ruang untuk Zehra memiliki momennya. Seimbang.

NING BAIZURA (81%)

Ning selesa dengan nyanyian lagu soulful begini. Lagu Inggeris kelebihan Ning dan air lagunya mengena. Tanpa kurang dan lebih.

NING BAIZURA & PASHA (80%)

Korus kedua sangat menarik. Chemistry sangat baik dan suara Ning solid. Puas mendengar nyanyiannya malam ini. 

THE LIMA (75%)

Persembahan The Lima kemas dan ada dinamik yang baik pada pembahagian vokal juga harmoni. Sedap dan melengkapi sebaiknya kemasan muzik malam ini.

THE LIMA & DOLLA (30%)

Kalau bukan faktor lagu yang familiar dan fun persembahan ini such a mess. Dolla sudah semacam back up vocal dan penari sahaja. Persembahan yang tiada keseimbangan berduet. 

LIZA AZIZ (100%)

Nak cakap apa lagi, semuanya sempurna dan berjalan sebaiknya seperti selalunya. Nyanyian merdu dengan feel yang tepat dan cukup flawless.

LIZA AZIZ & KRISDAYANTI (61%)

Tak puas sebetulnya mendengarkan duet ini, Krisdayanti mendominasi persembahan pada bahagian penting. Namun Liza mengambil bmemberi justifikasi yang secukupnya untuk menyeimbangi tenaga yang diberikan KD. Sepatutnya mampu jadi lebih baik.

*Peratusan adalah penilaian Muzik Kita


ARTIKEL BERKAITAN

Terkini,

Ulasan Gegar Vaganza 11 – Minggu 11


LIZA AZIZ (76%)

Lagu Judika dibawa flawless macam tak ada masalah. Liza faham kehendak menyanyi itu apa – menuntut kesederhanaan dan emosi yang tepat sahaja. Cuma yang kurang adalah impak dan dinamik.

RONNIE (45%)

Agak struggle minggu ini, Ronnie kelihatan lelah menghabiskan persembahan. 

ZEHRA ZAMBRI (30%)

Zehra nampak terlalu berusaha untuk mengekalkan momentum minggu lalu tapi look awkward. Nyanyian tak relaks dan bahasa tubuh keterlaluan.

SHEILA ABDULL (90%)

Storytelling Sheila menerusi lagu Satu sangat tepat dan suaranya sangat clean. Sheila relaks di stage tanpa terlalu berusaha keras.

THE LIMA (40%)

Persembahan lagu kedua memberi justice pada persembahan The Lima malam ini. Lagu pertama agak struggle tapi berhujung baik. 

NING BAIZURA (92%)

Ning in control malam ini. Nyanyiannya kemas dan feel sampai tanpa perlu herlebihan.

DYRGA (51%)

Dyrga ada masalah projection. Its not here not there. Hal ini mengganggu masalah persembahan. Attitude dalam lagu kedua diperlukan dan itu hal yang Dyrga tiada tapi nyanyiannya masih merdu. 

*Peratusan adalah penilaian Muzik Kita


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

20 minit nan galau bersama naim daniel lewat ep “lelaki gila”

Album: ep “lelaki gila.”
Persembahan: Naim Daniel
Produser: Amir Firdaus
/ Bajai / Doadibadai Hollo

Naim Daniel dalam rencana bergerak sebagai pemuzik benar-benar menggunakan peluang yang ada sebaiknya. Tidak hanya bijak dalam percaturan lagu-lagu yang sudah menjulang hits, Naim turut menjadi generasi baru muzik tempatan yang membentuk satu landskap yang mewarnakan pasaran muzik Pop yang hal-hal yang baik.

Sudah dibuktikan sebelum ini dengan rangkaian lagu seperti “Sumpah”, “Sembah”, “Adakah Engkau Menungguku” sehingga kolaborasi “Lara” bersama dua lagi genarasi Pop pelapis Hael Husaini dan Haqiem Rusli – Naim menjalani satu perjalanan bermuzik yang cukup menarik.

Lama tidak hadir dengan persembahan solo terbaru, sekadar kolaborasi bersama Daiyan Trisha tahun lalu juga Jamal Abdillah serta projek berkumpulan yang diusahakan. Naim tahun ini kembali dengan percaturan baru yang pabila diamati sebetulnya ia satu fasa yang menarik perkembangan karier muzik Naim.

EP diberi nama “lelaki gila.” ini bergerak dalam durasi 20 minit yang dilatari melodi Balada dalam persembahan jiwa galau. Dibuka dengan rakaman semula “Mengenangmu” yang pernah dirakam Kerispatih, Naim beremosi sebaiknya dalam persembahan rakaman ini. Tiada yang berlebihan semua yang yang dialurkan adalah perasaan yang tepat melambangkan perjalanan EP ini.

“lagu lelaki gila” (Naim Daniel / Amir Hassan) lebih menarik penghasilannya. Terhasil cukup mellow dengan naratif yang disusun dalam kisah air mata seorang lelaki. Rayuannya Naim dalam lagu ini cukup dirasai dan saya kira itu kelebihan Naim sebagai seorang pelakon yang mampu mengeluarkan emosi yang tepat.

Korus lagu ini terhasil cukup menawan. Bait “Biar aku // Simpan kamu // Tak ada yang tahu // Tak ada yang mampu // Memikul semua // Rasa pedih kita.” menjadi killer utama lagu ini dan dinamiknya semakin menarik di bahagian monolog Malis “Mengikhlaskanmu bagai memaksa kematian sebelum ajal.”

“ini tidak adil” (Naim Daniel / Amir Hassan) meneruskan momentum EP ini untuk bergerak sebagai sebuah persembahan Pop yang lebih baik. Saya paling tertawan dengan penghasilan korus lagu ini. Such a strong melody here. Instrumentasi di lagu ini menjadikan penghasilannya cukup menarik – piano yang melatari keseluruhan lagu membantu mood lagu ini untuk dirasai pendengar.

Naim lebih santai di lagu “syaitan pun pening.” (Naim Daniel / Amir Firdaus) dengan penghasilan lirik yang lebih kasual. “selasa.” (Naim Daniel) mengembalikan kita pada asas melodi yang biasa kita dengar dalam lagu-lagu awal Naim. Mellow dan meruntun perasaan dengan hanya iringan gitar rakaman lagu ini kalau diperhatikan seperti satu rakaman langsung. Naim sekali lagi beremosi sebaiknya di lagu ini dan itu adalah kekuatan dia sebagai tukang cerita.

EP ini terhasil singkat dan menyenangkan. Naim melayari sebuah kendala Pop tempatan yang sukar diduga dalam radar kreatif yang dia miliki dengan sebaiknya. Mendengarkan “ep lelaki gila.” tepat jam 12 tengah malam ketika ia diedarkan Jumaat lalu, jatuh tepat pada waktu dan sepinya kehendak sebuah malam.

7.6/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Dua Tahun Berkarier Salma Salsabil Membuka Tahun Ini Dengan “Berharap Pada Timur”

Album: Berharap Pada Timur
Artis: Salma Salsabil
Produser: S/EEK

Usai kemenangan di Indonesian Idol musim ke-12, Salma Salsabil tidak lama menantikan momennya dalam bidang muzik nusantara. Single “Bunga Hati” dan “Boleh Juga” memberi ruang untuknya membebaskan sikap dan pemikirannya sebagai pemuzik. Dan dengan dua single ini juga memberikan kejayaan buatnya di Anugerah Musik Indonesia (AMI) tahun lalu dengan dua trofi utama – Artis Solo Wanita Pop Terbaik dan Karya Produksi Terbaik menerusi “Bunga Hati”.

Melejit sebetulnya perjalanan bermuziknya yang tanpa perlu menunggu lama, lagu-lagunya diterima terbuka dan bakatnya juga semakin diperakui. Dan selaju itu juga dalam masa dua tahun dia sudah memiliki hits cari makan yang akan dia bawakan seumur karier bermuziknya.

Meneruskan kelangsungan itu, Salma bersama label muziknya Universal Music Indonesia menzahirkan sebuah album penuh “Berharap Pada Timur”. Dengan barisan lagu yang rata-ratanya dihasilkan bersama Clara Riva, Bimantoro Prasetyo dan Dimansyah bersama produksi muzik S/EEK – membentuk satu sound yang cukup tersendiri tanpa perlu dibayangi mana-mana rakan Idol lain yang sudah siap menghasilkan album.

Dibuka dengan single perdana “Berharap Pada Timur” (Clara Riva / Salma Salsabil) lagu ini meneruskan ilham Pop Salma yang bersulam ilham City Pop pada kemasan muziknya. Lagu ini cukup kuat penghasilan melodi yang menjerat sekali pendengaran dan juga menyatu sempurna vokal berat milil Salma. Sakti pengikatnya pada korus lagu ini yang dikemaskan dengan sound yang cukup segar. Ini magis yang ada apda kolaborasi S/EEK dalam memberi sentuhan mewah pada produksi muzik.

Diteruskan dengan lagu “Jenuh Tapi Butuh” (Clara Riva / Salma Salsabil) meneruskan idea “Bunga Hati” dan “Boleh Juga” – persembahan Pop yang mendekatkan Salma dengan pengikutnya. Masih menjual melodi yang catchy dan groove yang membentuk attitude bermuzik Salma semakin menarik untuk dinikmati.

Pendengaran saya teralih dan terikat pada pesona melodi “Amin” (Dimansyah Laitupa) yang saya letakkan sebagai satu daripada persembahan terbaik Salma di album ini. Soul & R&B yang membaluti lagu ini terhasil cukup sensual. Dengan feel terbaik yang dipersembahkan Salma, saya larut dalam persembahan keseluruhan lagu ini. Tempo lagu ini terjaga baik tanpa terburu-buru dan hal ini sebetulnya yang benar-benar menyerap emosi Salma dalam persembahannya yang secukupnya.

Saya semakin terlarut dengan hal-hal emosi Salma menerusi lagu “Sesal” (Bimantoro Prasetyo / Salma Salsabil / Widya Ayu). Lagu ini membawa kita ke alam Soulful Ballad yang banyak di lewat era 80-an. Kemasan muzik ala “I Have Nothing” yang dilatari keys and synth. Vokal Salma benar-benar menyerlah lewat lagu ini. Sederhana namun dia masih bercerita penuh pilu . “Semua ini terlalu berat // Aku tak sekuat itu.”

Salma kembali dengan groove yang dia miliki menerusi “Uji Nyali” (Sheryl Sheinafia / Salma Salsabil) yang menyeimbangi kembali kehendak album ini. “Memori” (Odie Agam) rakaman semula lagu yang pernah dirakam Ruth Sahanaya dan Camelia ini diramu mengikut feel 80’s Pop yang kuat pengaruhnya dan album ini ditutup dengan “Terima Kasih” (Clara Riva / Dimansyah / Salma Salsabil) sempurna – melengkapi “Berharap Pada Timur” sebagai sebuah album yang solid.

Salma Salsabil menerusi album perdananya ini sudah membuktikan dia tidak hanya penyanyi yang bergantung pada lagu hits semata tetapi memiliki satu landskap Pop yang bercitarasa tinggi. Hal ini dikerjakan sesempurnanya oleh S/EEK yang meninggikan setiap satu lagu di album ini dengan sound yang cukup mewah tanpa perlu terlalu berlebihan.

8/10

Terkini,

Mengulik Ilham Afro Beats – De Fam Persembahkan “Anak Raja”


Lagu: Anak Raja
Artis: De Fam
Komposer / Lirik: Fahimi Rahmat / Pique / Sophia Liana / Bryan B / Amir Hassan
Produser
: Bryan B

Sedar tak sedar sudah sedekad perjalanan bermuzik De Fam sejak awal mereka diperkenalkan pada tahun 2015. “#SUPERGIRLS bergerak dalam landskap Pop yang tidak banyak sedikit merubah radar muzik tempatan ke arah yang lebih baik. Sound Pop yang mereka siapkan menerusi #SUPERGIRLS terhasil segar dan kekinian. Even mendengarkannya sekarang lagu tersebut masih relevan.

Setelah itu Azira, Sophia dan Manggis mengemudi muzik mereka dengan secukupnya. Tidak selalu hadir dengan single yang bersilih ganti namun setiap kali keluar dengan lagu-lagu baru De Fam mencipta momen mereka yang tersendiri.

Panas” (ALYPH ‘Magicpotion’) antara yang paling baik sehingga hari ini telah mereka hasilkan dan dengan lagu itu juga mengekalkan momentum muzik De Fam untuk terus bergerak sebagai pemain seni muzik tempatan yang sentiasa dinantikan. Ada percubaan yang mengena dan ada yang tudak namun itu hal biasa kerana yang penting adalah konsistensi mereka untuk terus bermuzik.

Pop, Hip-Hop diramu dalam muzik mereka seperti di lagu “With You, “Berubah”, “Bila Ada Kamu” sehingga raya massive hits “Alamak Raya Lagi” terhasil catchy dance mengikat pendengaran.

Penghujung tahun lalu, De Fam sekali lagi hadir dengan buah tangan terbaru muzik mereka dengan pengbasilan lagu “Anak Raja” ciptaan bersama Fahimi Rahmat, Pique, Bryan B, Amir Hassan dan Sophia membentuk lagu ini dalam persembahan Pop yang meneruskan kelangsungan muzik mereka.

Infusi muzik Afro Beats melatari lagu ini dengan sample lagu rakyat “Nenek Bongkok Tiga” diadun sebati dengan korus yang catchy dan tempo yang sederhana. Sakti lagu ini tidak pada pendengaran pertama namun setelah berkali-kali mendengar saya baru terjerat dengan persembahan keseluruhan.

Azira memiliki tone suara yang sedap sebetulnya setelah diamati sebaiknya. Suaranya menjadi tarikan untuk saya kekal mendengarkan lagu ini. Attitude Rap Sophia juga sangat baik dan memberi satu warna yang lebih mengujakan untuk lagu ini dinikmati

“Anak Raja” terhasil sederhana untuk pendengaran saya dan mungkin ia akan agak lambat pick-up selain jika diulang-ulang dengar berkali. Namun ia masih bergerak sebagai salah satu naskhah penting sepanjang sedekad De Fam bermuzik.

7.2/10