Highlight, Review, Terkini,

menghembus angin segar,aruma hadirkan “berbunga-bunga sendiri”

Lagu: Berbunga-Bunga Sendiri
Persembahan: Aruma
Komposer / Lirik: Aruma / Petra Sihombing / Kamga
Produser: Petra Sihombing

Aruma muncul dalam lagu-lagu galau sangat begitu diraikan senusantara dan atas faktor itu juga lagunya “Muak” karya cipta Okto Ahadi dan M. Aditia Sahid meniti bibir dan ingatan pengikut muzik. Setakat artikel ini siap ditulis, muzik video rasminya sudah ditonton lebih 24 juta kali di YouTube.

Setelah itu jalan bermuzik Aruma terus diperhatikan dan dinantikan. Muncul dengan album solo tahun lalu dengan hits duet bersama Raim Laode menerusi single “Ekspetasi” – Aruma mengukuhkan namanya sebagai salah seorang bakat pelapis yang memiliki potensi besar bertumbuh.

“Berbunga” album perdananya walaubagaimanapun tidaklah begitu mencuri pendengaran saya. Ilhamnya tidak terlalu memberi satu justifikasi dan tidak juga datang dengan idea distingtif yang memberi kelebihan untuk Aruma hadir tersendiri. Ia dibentuk mengikut standard Pop kebanyakan penghibur seusianya.

Namun pendengaran saya benar-benar teralih kembali dengan Aruma menersui single terbarunya “Berbunga-Bunga Sendiri”. Menyaksikan kolaborasi Aruma bersama komposer dan produser on demand – Petra Sihombing dan Kamga menghasilkan satu sound baru yang benar-benar memberi nadi baru muzik Aruma.

Ia terhasil dalam sebuah persembahan Pop yang lebih progresif berbanding apa yang Aruma pernah hasilkan sebelum ini. Kelebihan Petra Sihombing dalam meramu melodi lagu ini menjadi ia dihasilkan dalam satu tempo yang lebih moden mengeluarkan satu landskap muzik yang lebih menarik buat Aruma bertumbuh sebagai penyanyi yang lebih matang.

Momentum lagu ini bergerak baik dengan transisi verse ke korusnya, Petra menyusun ia sekemas mungkin dan memberi sedikit dinamik ia beralun semakin mengencang di bahagian hujung lagu. Liriknya juga meyakinkan – tentang harapan, ekspetasi dan kekecewaan tetapi diolah dalam cara yang paling menarik untuk dinikmati.

“Baru saja kita bertemu empat lima kali // Sudah ingin lebih dari ini.” sebelum persoalan dilemparkan “Ternyata hanya satu hati // Yang berbunga-bunga sendiri // Dari yang kau berikan // Apa ku berlebihan?” – Penulisannya saya kira cukup dekat dengan pendengar muda yang sentiasa terisi dan dekat dengan kisah begini. Sehingga yang di rilis ini saya kira Aruma sudah menemukan sesuatu yang cukup baik untuknya bertumbuh sebagai penyanyi yang dewasa.

8.7/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

“symphony from the heart” sebuah titik temu bermuzik andi rianto

Album: Symphony From the Heart
Persembahan: Andi Rianto bersama Lyodra / Rony Parulian / Kesya Levronka / Nyoman Paul / Raisa / Afgan / Anggi Marito
Produser: Andi Rianto

Idea membesarkan karya-karya terdahulu sudah begitu berjaya dibawakan pengkarya muzik Indonesia. Dengan hits “Sang Dewi” dan “Bahasa Kalbu” yang lebih dahulu mencuri perhatian dengan persembahan serba baru Andi Rianto bersama dua penyanyi besar Indonesia – Raisa dan Lyodra. Fenomenanya benar-benar meninggikan standard lagu sedia ada ini ke standard yang lebih baik.

Andi Rianto tidak berhenti di situ dia mengemudi projek besar ini dari tahun ke tahun sehingga terhasil “Symphony From the Heart” yang menampilkan sebelas karya keseluruhan. Rata-ratanya dipersembahkan penyanyi papan atas Indonesia – album ini disiapkan dengan satu dedikasi yang berbalut satu reputasi yang besar untuk seorang produser muzik seperti Andi Rianto.

Projek album dengan focus track duet Lyodra bersama Rony Parulian menerusi single “Kau Selalu di Hati” ciptaan ketiga-tiga mereka. Bunyinya di lagu ini diperkaya dengan sokongan string session dan orkestra Budapest Scoring Orchestra. Kolaborasi Lyodra dan Rony seimbang dalam memberi feel yang bertepatan dan juga justifikasi tepat pada penghasilan keseluruhan lagu ini.

Saya senang dengan persembahan Rony dalam setiap lagu yang ada di album ini – “Sepenuh Hati” dan “Sampai di Sini” menjadi satu bukti bakat ini ada sesuatu yang cukup tersendiri untuk bergerak dalam rada yang komersial. Feel dalam persembahan vokal Rony baik dan dia bijak dalam story telling yang menepati kehendak lagu.

Album ini bergerak dalam satu rada kematangan dan kemampuan besar Andi Rianto. Lagu-lagu yang diramu semula di album ini diberi satu sentuhan yang magikal dan besar sifatnya. “Mengertilah Kasih” persembahan asal Ruth Sahanaya yang kembali dirakam Afgan tampil dengan sifat cukup berbeza dengan versi asal namun masih berpaksi pada direction serupa.

“Symphony From the Heart” saya ibaratkan sebagai satu rendesvouz yang menjadi titik temu kesemua karya-karya agung Andi Rianto dalam sebuah album yang diperkemaskan dengan satu arah baru yang sifat asal penghasilan lagu-lagunya diberi satu nadi baru yang akan meneruskan kelangsungan hayat sejak ia awal diedarkan.

8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Intepretasi Klasik Raya Asmidar Lewat Rakaman Ulang “Selamat Hari Raya 1936”

EP: Selamat Hari Raya 1936
Persembahan: Asmidar
Gubahan Muzik: Rafi Mohd.

Sebagai penggemar suara Asmidar saya memang sentiasa menantikan pertaruhan lagu-lagu terbarunya dalam nuansa Klasik dan Melayu Asli terutamanya. Sejak rakaman ulang “Sireh Pinang” dan projek Keronchong Bilek Ayer saya sangat mahukan Asmidar terus berkarya dalam sound sebegitu. Sound yang memberi kelebihan untuk Asmidar bergerak dengan tersendiri tanpa terikat kehendak pasaran semasa.

Namun percaturan menjadi penyanyi di Malaysia (wanita terutamanya) haruslah beriring ilham Balada dan Asmidar tidak juga gagal seluruhnya dalam menghasilkan Balada. Banyak lagu-lagu Balada yang dia hasilkan sudah mengikut kehendak pasaran muzik antara yang paling saya gemarkan adalah “Memoir Rindu”.

Berbalik pada pemasaran lagu-lagu tradisi raya khususnya, Asmidar beberapa tahun lalu merilis sebuah kolaborasi bersama Aizat Amdan menerusi “Raya Janji Happy” yang mengambil ilham Keroncong raya yang terhasil cukup klasik. Tidak salah juga jika saya sifatkan ia antara lagu raya baru yang cukup sedap dihasilkan.

Tahun ini Asmidar tampil lebih menarik dengan EP dua lagu rakaman semula yang tidak hanya menampilkan suara merdunya tetapi turut membawa ahli keluarga dalam meraikan sambutan hari raya tahun ini dalam lagu. “Selamat Hari Raya 1936” ciptaan Tengku Alibasha yang dikatakan sebagai lagu raya pertama seumpamanya pernah dihasilkan diberi nafas baru oleh Asmidar bersama gubahan muzik Rafi Mohd.

Masih mengekalkan feel serupa tanpa mengubah struktur asal, lagu ini bergerak penuh nostalgia. Saya begitu enjoy mendengarkan suara-suara yang tidak pernah diperdengarkan. Awalnya saya menebak adanya Haziq dan penyanyi lama lainnya. Namun menurut Asmidar ini adalah kolaborasi suara keluarganya sendiri.

Sebuah lagi lagu rakaman ulang di EP ini adalah “Minal Aidil Wal Faizin” yang biasa saya dengar di versi Deredia ciptaan Ismail Marzuki yang lebih awal dirakamkan Lima Seirama. Menerusi versi Asmidar dia memberikan vibes serupa dengan persembahan vokal yang penuh attitude dalam memberi justifikasi sempurna pada lagu ini.

Asmidar menerusi EP dua lagu raya ini cukup membuatkan saya fikir dia sudah sangat bersedia memiliki album Malayu Asli dan Klasik dengan infusi baru. Hal ini sudah dia hasilkan dan buktikan menerusi “Keroncong Biar Sampai Ke Bintang” dan kolaborasi bersama “Kita Jumpa Lagi” bersama Ahmadul Amin yang sudah saya ulaskan di sini. Dua lagu yang sempurna membuat saya puas dengan persembahan vokal Asmidar. Semoga beriring sebuah album atau EP empat atau lima lagu tahun ini daripadanya.

9/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

stanza spiritual yura yunita lewat pengisian “tanda”

Lagu: Tanda
Persembahan: Yura Yunita
Komposer / Lirik: 
Yura Yunita / Donne Maula

Persembahan puitis dan menyentuh rasa sudah sebati dalam karya-karya Yura sejak awal dia meniti perjalanan bermuziknya sehingga hari ini. Lagu-lagu terbaiknay seperti “Buka Hati” , “Tenang”, “Tutur Batin” dan “Intuisi” antara yang sudah membekas di hati pendengar.

Setiap kali terhasilnya naskhah baru, Yura jarang gagal dalam memberi pengisian bermakna tanpa sekadar menghasilkan sesuatu yang kosong. Dengan itu apa yang terhasil adalah satu wakilan suara jiwa-jiwa yang mahukan kisah mereka didengarkan.

Tahun ini sekali lagi Yura mengemudi perjalan bermuziknya dengan pengenalan perdana “Tanda” yang dihasilkan bersama suami tercinta Donne Maula. Melodi lagu ini siap sebagai sebuah naskhah Poetic Pop yang disempurnakan dengan penulisan lirik yang sekali lagi membentuk spiritual dan pemikiran.

Penyatuan dua elemen ini membentuk “Tanda” sebagai sebuah lagu yang cukup meninggalkan kesan baik pada pendengar. Penyerahan dan melepaskan menjadi pengisian pada tunjang cerita lagu ini. Ia sekali lagi bergerak sebagai kematangan Yura sebagai pemikir – manusia yang peka dan halus jiwanya.

Hal ini jelas dalam bait “Jika memang ini benar untukku // Maka dekatkanlah kepadaku // Jika memang ini bukan untukku.” sebelum ia bersambung korus “Tunjukkan // Jalanku pada-Mu // Untuk bisa merasakan // Kasih-Mu, beriku // Tanda itu.”

“Tanda” bergerak sebagai sebuah dialog jiwa yang mahu didengarkan oleh sang pencipta. Seperti apa yang kebanyakan kita mahukan sebetulnya, Yura mentafsirkan sebaiknya menerusi lagu ini. Setelah single ini saya kira kita sudah cukup siap untuk menantikan apa lagi yang mahu Yura persembahkan.

9/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

#seriosasyawal eid-so-chic bersama the impatient sisters lewat “galok raya”


Lagu: Galok Raya
Persembahan: The Impatient Sisters
Komposer / Lirik: The Impatient Sisters / Ari Renaldi
Produser: Ari Renaldi

Tahun yang cukup menarik melewati persembahan Pop raya. Barisan pemuzik tempatan bekerja keras mengemudi sebuah ilham kreatif dalam muzik yang ditafsirkan sebagai sebuah kelangsungan lagu-lagu bersifat keraian.

Setelah Hael Husaini dan Nadeera menerusi “Meriah Lain Macam”, Mimifly (Serumpun), Dayang Nurfaizah (Jodoh Hari Raya) sehingga Siti Nurhaliza juga menzahirkan rangkaian lagu raya terbaru “Raya Nak Ke Mana?” – kali ini giliran tiga bersaudara The Impatient Sisters melewati Pop raya.

“Galok Raya” is giving Nona Ria vibes dalam persembahan cukup catchy dan mengikat pendengaran. Attitude yang mereka berikan di lagu ini begitu chic sekali. Bersulam lirik yang bercerita “Galok Raya” antara lagu raya yang cukup menarik diperdengarkan tahun ini.

Korusnya mengikat terutama di bait “Raya // Dandanan dan solek // Raya // Hati-hati di jalan raya // Jumpa di rumah saya” ditafsir dalam persembahan melodi yang cukup menyenangkan. Saya melayani lagu ini dengan senyum bahagia.

Persembahan Soraya, Nazeera dan Irena menyatu baik dalam mencipta satu harmoni yang bertepatan pada persembahan keseluruhan lagu. It’s a chic eid song you ever listen, entah bila kali terakhir lagu raya have this kind of fun. Best.

Muzik begini saya kira sangat menyatu sempurna attitude yang ada pada kugiran ini. The Impatient Sisters mungkin boleh fikirkan untuk kekal dalam jaluran muzik begini selepas ini. Lari seketika daripada kebiasaan yang mereka pernah persembahkan dalam lagu-lagu sebelumnya seperti “Hey There Young Sailor”, “Seringkali” atau “Rumah” yang lebih mellow.


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

eksplorasi pop lucidrari lewat “lowkey”


Lagu: lowkey
Persembahan: lucidrari & heil nuan
Komposer / Lirik: Putra Haika / Heil Nuan
Produser: JVD

Dua album beredar atas satu gerakan pemikiran dan sudut pandang membentuk Lucidrari sebagai bakat pelapis dalam bidng muzik yang memiliki sesuatu untuk diperdengarkan dan diperkatakan. Hits “Gadisku” yang cukup menular tahun lalu membawa namanya semakin besar dan dekat dengan pendengar muzik muda khususnya. Sekali gus menjadi bukti keseriusannya untuk bermuzik.

Meneliti pentafsiran muziknya dalam sebuah pemikiran dan cara anak muda hari ini berfikir membuah keterujaan buat generasi milenial seperti saya mendekati muzik yang berpaksi pada idea-idea segar anak muda ini.

Hasilnya, i got immersed dengan sound baru, cara penulisan lirik yang baru dengan perlambangan-perlambangan baru yang dibentuk sendiri. Sebagai pendengar anda ada pilihan untuk mempertikaikan atau terus cuba untuk memahami sudut pandang anak-anak muda ini. Untuk saya, mereka sentiasa ada hal baru yang saya pelajari, musically.

Meneruskan kelangsungan bermuziknya, Lucidrari dalam rangka mengedarkan album ketiga yang saya kira akan terhasil lebih matag penghasilannya – menggerakkan album yang diberi judul “TELETEXT” dengan focus track yang beredar awal berjudul “lowkey”.

Landskap muzik Lucidrari kali ini berarah lebih Pop, mesra pendengaran dan semakin ranum hasilnya. Melodi lagu ini bergerak atas landasan melodi yang cukup catchy, tidak berhenti nadanya dengan beat yang cukup mengikat. Tarikan utamanya pada loop yang melatari lagu ini yang saya kira cukup addictive. Ia dengan mudahnya menjadi naskhah repeat mode saya seminggu dua ini.

7/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

“setahun sekali” pengisian rohani 53 UNIVERSE

EP: Setahun Sekali
Persembahan: 53 UNIVERSE
Produser: MONIGY / Ryb3na / Rebelasia / Sk8miles / BABYF4CE

Melewati pasaran muzik Hip-Hop sebagai sub budaya juga pemikiran alternatif dalam menterjermah idea sama dalam sifat berbeza menemukan kita dengan ilham baru pada sebuah perspektif muzik. Tidak hanya keras dalam kritikan sosial, idea dalam penulisan bakat-bakat Hip-Hop ini merentasi ilham kerohanian sebagai sebuah bahan fikir.

Malique mugkin yang paling dominan dan berani dalam hal ini. Hasil kerja kreatifnya menzahirkan naskhah Hip-Hop bersifat kerihanian lewat hits utama seperti “Alhamdulillah” serta beberapa yang lain seperti Altimet antaranya yang sudah memberikan sentuhan serupa.

Kini tiba giliran bakat pelapis legasi Hip-Hop tempatan mendasari ilham ini. 53 UNIVERSE sebuah dedikasi anak muda terhadap komitmen mereka menzahirkan sesuatu yang segar mengilhamkan EP “Setahun Sekali” yang disiapkan sebagai naskhah tepat mendepani Ramadan ini.

Melengkapkan EP ini dengan tiga lagu yang dibuka dengan “Hingga Menutup Mata” dalam feel R&B berbalut bait lirik berbaur persoalan “Jika aku masih // Ada waktu // Jika aku masih // Tak lagi tahu // Tetap ku cari // Walau jauh berbatu” sebelum diteruskan dengan “Hingga menutup mataku // Masihkah ku kau menanti / Walau hari dah berganti” dan ditutup baik dengan penulisan “Hingga menutup mataku // Izinkan aku mencari // hujung waktu yang abadi.”

“Jubah Putih” datang dengan attitude persembahan yang lebih prominent. “Doaku Doamu” lebih menjadi lebih mellow dalam bait “Aku kan selalu ada // Doa ku atas Doa mu” – sebuah penyerahan yang jelas dengan petikan piano yang melatari keseluruhan lagu di sela seli string yang menjadikan ia lebih melankolik.

Semua tentang EP ini adalah the stripped down version daripada apa yang biasa kita dengar daripada gagasan Hip-Hip ini di dua album yang pernah dihasilkan sebelum ini. Visinya sampai biar hanya dalam durasi 10 minit, ia benar-benar membuka pendengaran saya pada sesuatu yang berbeza dan menyenangkan. “Hingga Menutup Mata” is my favorite.


ARTUKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

“romantisa” kolaborasi manis perry & zee avi

Lagu: Romantisa
Persembahan: Perry / Zee Avi
Komposer / Lirik: Perry
Produser: Salam

Lama betul rasanya tak mendengarkan feel good Pop yang sebegini. “Romantisa” persembahan Perry yang masih saya tertanya siapa gerangannya ini muncul di ruang cadangan Apple Music. Awal menyangkakan ia lagu Indonesia persepsi saya teralih melihat kolaborasi Zee Avi di lagu ini. Ilham Akustik Pop dalam bait-bait manis yang menyenangkan.

Lagu ini bergerak atas landasan Pop yang disatukan dengan rhythmic Jazz yang banyak dalam lagu-lagu Zee Avi, Guba, Bil Musa dan lagu-lagu awal Yuna antaranya. Melodinya mudah menangkap dengan sekali pendengaran tidak sukar saya kira untuk ia menyenangkan ruang rasa setiap yang melayaninya.

Barisan liriknya “Awan pun mula melambai // Memeluk hati yang usai // Indah ronanya mengurai.” menjual anganan romantis yang jika kena dengan situasi dan orangnya pasti beriring senyum mendengarkannya. Perry antara bakat yang menarik untuk diraikan namun persembahan muzik begini sifatnya masih niche di sini. Jika beriring tuah di TikTok ia mampu menjadikan lagu cari makan bakat muzik ini.

7/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

ernie zakri menggugah ilham motown lewat “nostalgia”

Lagu: Nostalgia
Persembahan: Ernie Zakri
Komposer / Lirik: Allan Andersn
Produser: Allan Andersn

Ernie Zakri sudah melayari satu perjalanan bermuzik yang cukup selesa saya kira. Barisan hits yang diterima meluas, fan base yang kuat dan keterbukaan dalam meneroka ilham Pop yang pelbagai. Dan atas semua hal ini menjadikan Ernie sebagai bintang Pop yang akan meneruskan satu legasi yang baik dan berterusan pastinya.

“Masing-Masing” seperti yang pernah saya katakan dulu, sebagai her best decision untuk bertumbuh sebagai penyanyi yang ada kepelbagaian dalam katalog muzik sekali gus menjadi satu jambatan untuk dia meneruskan kelangsungan bermuzik.

Terkini “Nostalgia” menjadi pertaruhan yang datang dengan kejutan manis. Lari daripada kebiasaan, Ernie menjengah pasaran muzik Motown, Retro dan City Pop yang semakin meriah di Indonesia. Dan kali ini bersama komposer muda yang juga penyanyi Allen Andersn maka terhasillah “Nostalgia”.

Dihasilkan cukup segar dalam mengendong ilham Motown, berbalut sempurna feel Soul Ernie yang melatari keseluruhan lagu ini. Pengaruh muzik lewat 70-an dan 80-an di lagu ini dibentuk sebaiknya dengan kemamsan muzik yang menjadikan ia kekinian.

Persembahan vokal Ernie seperti biasa, cemerlang dan menyenangkan. Tiada bahagian di lagu ini yang tidak kemas persembahannya. Mendengarkannya buat kali pertama saja sudah mampu membuat saya terikat dengan penghasilannya.

Momentum lagu ini semakin baik di penghujung lagu dengan modulasi vokal yang dihidupkan sederhana namun kreatif menjadikan ia semakin menarik dinikmati. Lagu yang saya kira semakin pasti akan meneruskan hits malar segar Ernie Zakri.

8.2/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

melankolia heidi moru dalam pesona “jangan dulu”

Lagu: Jangan Dulu
Persembahan: Heidi Moru
Komposer / Lirik: Heidi Moru
Produser:
 Mégat Fazly

Banyak bakat wanita dalam muzik tempatan bergerak dalam jaluran pasaran muzik yang cukup komersial namun untuk Heidi Moru dia selesa bergerak tanpa terikat kehendak pasaran muzik semasa. Apa yang ditawarkan sentiasa berbalik pada hal-hal yang dia senangi dan apa yang mahu diasosiasikan.

Maka dengan tanpa terlalu perlu terburu-buru langkah bermuziknya disusun dengan mengikut langkah yang tersendiri. Sentiasa ada single yang beredar saban tahun sejak usai fasa pengenalan di Bintang RTM sehingga hari ini Heidi melaluinya dengan satu landskap diskografi yang mencukupi untuknya dikenali sebagai bakat indie (bergerak sendiri) yang dikenali juga pengikut muzik mainstream.

Mendengarkan kembali lagu-lagunya seperti “Senja” , “Kata Hati”, “Aku Ada” sehingga kolaborasi bersama Fimie Don juga single “Ikatan” bersama Emptypage dan Mohsein Kush – saya kira kita semakin jelas dengan arah muzik yang Heidi mahu pendengar nikmati daripadanya.

Meneruskan kelangsungan akan idea tersebut, Heidi menerajui sebuah lagi single berjudul “Jangan Dulu” ciptaan sepenuhnya Heidi dengan kemasan muzik  Mégat Fazly (Mafidz). Bergerak atas landasan Pop yang mellow dan diberatkan dengan feel dan susunan muzik yang momentumnya benar-benar membaluti sebaiknya emosi Heidi.

Lagu ini jika diikutkan terhasil cukup ramuan komersialnya. Melodinya mudah didekati, terkadang pabila diamati betul ada feel K-Ballad yang kuat. Persembahan Heidi sederhana namun masih berat perasaan yang dibawanya dengan penceritaan melalui lirik yang ditulis.

Bait seperti “Dunia ini tak mungkin bererti // tanpamu di sini // Aku hilang arah // Jika tanpa kamu..” tidak ditulis kompleks tetapi sempurna dan mengena dengan melodi yang dihasilkan. Ia naskhah sempurna untuk dilayani sendiri berteman hujan dan kesepian.

7.2/10


ARTIKEL BERKAITAN