
Lagu: Kita Jumpa Lagi
Artis: Asmidar / Ahmadul Amin
Komposer / Lirik: Ahmadul Amin / Asmidar
Produser: Ahmadul Amin / Asmidar
Setelah merakamkan kembali “Biar Sampai Ke Bintang” dalam ilham Keroncong yang begitu menambah sayu hasil karya Ajai tersebut, Asmidar bergerak dalam rada muziknya yang tersendiri. Tanpa mahu lagi terikat dengan apa yang pasaran muzik mahukan, dia semakin jelas dengan visi muziknya.
Percaturan Balada yang ada juga saya kira tidaklah begitu diraikan pengikut muzik tempatan yang masih berpaksi pada penyanyi kegemaran. Sedangkan saya kira lagu seperti “Memoir Rindu” yang pernah dirakamkan ketika banyak penyanyi Balada baru wanita diraikan sudah siap dengan standard muzik yang sama.
Soal rezeki, peluang dan kesempatan itu mungkin satu hal subjektif cuma sebagai pendengar saya kira kita harus adil dalam mendengar dan terbuka meraikan apa yang sudah dipersembahkan dengan kualiti yang baik. Asmidar berjuang saya kira untuk menemukan momennya dan saya kira hanya masa sahaja yang ada jawapannya. Hakikatnya tiada siapa antara kita yang mampu menolak bakat nyanyian yang cukup luar biasa dia miliki. Feel, persembahan dan dedikasi dalam penyampaian semua mencukupi.
Terkini, Asmidar terus melangkah dalam memberikan hal-hal baru yang ada padanya dan kali ini diterjermah dengan penuh soulful dalam persembahan lagu “Kita Jumpa Lagi”. Hal yang cukup menarik tentang lagu ini adalah eksplorasi Klasik dan lo-fi yang ditembungkan menyatu sempurna.
Saya melayang, tersenyu-senyum dan bahagia mendengarkan lagu ini. Liriknya yang manis bersulam sebaiknya air lenggok Asmidar sebagai pelantun. “Sayup-sayup di seberang lautan // Jauh jauh rasa tak tertahan // Biar pun kakiku tak sampai // Dalam doa kukirimkan pesan.”
Kisah rindu, kasih sayang dan cinta ditafsir dalam penceritaan jarak jauh yang terasa cukup manis. “Jauhku meneroka // Namun jangan risau kau takkan kulupa // Walau kita berjauhan // Kau selalu dalam kenangan.” Lagu sebegini saya kira lagu-lagu yang jarang kita dapatkan di pasaran. Mungkin kali terakhir “Sentiasa Merinding” persembahan Imran Ajmain dan NJWA. Dan “Kita Jumpa Lagi” saya letakkan sebagai kesinambungan lagu dalam feel serupa. Takkan lama kita jumpa lagi // Kita jumpa lagi. It’s a beautiful Pop.
8.7/10
ARTIKEL BERKAITAN