
Lagu: Nirmala
Artis: Noh Salleh
Komposer / Lirik: Noh Salleh
Produser: Noh Salleh / Vega Antares
Kematangan dan pengalaman membawa manusia ke landasan yang berbeza dalam hidup. Atas dua alasan ini juga sebetulnya mengubah sudut pandang, citarasa dan keinginan. Noh Salleh satu daripadanya yang melalui transisi ini saya kira. Apa yang dia lalui selama hayat yang lampau mentafsir pemikirannya hari ini.
Hal ini jelas dalam karya “Rahsia Tuhan” yang berjaya menyentuh banyak jiwa-jiwa yang melalui transisi hidup yang serupa. Dan setelah penghasilan lagu tersebut Noh meneruskan landskap kreatifnya dalam muzik dengan menghasilkan sebuah lagi kesyahduan dalam lagu menerusi “Nirmala”.
Melodi lagu ini sinonim dengan apa yang biasa Noh pernah hasilkan. Ilham Nusantara Folk yang menjadi aturan dan sikap dalam muziknya diterjermah sebaiknya dengan penceritaan yang personal.
Keistimewaan lagu ini letaknya pada penulisan lirik Noh. Simple dan tidak kompleks tetapi menyentuh terus ke hati yang menyatu sempurna dengan penghasilan melodinya. Persembahan sederhana Noh dalam bercerita tepat pada kehendak standard lagu ini.
Bait yang disusun seperti “Kau berlari pada ku oh kasih // Suci wangi kau berwarna putih” dan korusnya “Sang putri // Selayaknya NIRMALA” – bergerak sebagai pendewasaan Noh melihat dunia sebagai seorang figura bapa. Ada pengharapan dan kesedihan akan kehilangan.
Hal ini jelas dalam bait “Tiada tujuan hidup // Didunia bila // Kau tiada” . Nirmala bergerak sebagai nakshah yang menjadi fasa berbeza Noh dalam menyusun naratif hidupnya. Ini adalah pengalaman yang diadun menjadi lagu yang pastinya akan menyentuh ramai father figure di luar sana yang nyata mengalami hal-hal serupa di lagu ini.
Jika diukur daripada segi muzik, “Nirmala” bukanlah sebuah evolusi kerana ilhamnya masih dekat dengan apa yang sering Noh persembahkan. Namun lagu ini sebetulnya bergerak atas landasan naratif yang disusun untuk terus mengikat pendengar sedia ada dengan kisahnya dan Noh bijak dalam rencana ini.
7.2/10
ARTIKEL BERKAITAN