Highlight, Review, Terkini,

“sendiri aku ok!” sebuah edisi fun side of aizat

Lagu: Sendiri Aku Ok
Persembahan: Aizat Amdan
Komposer / Lirik: Aizat Amdan / Mel Ramlan
Produser: Izzy Musa

Aizat Amdan melewati pasaran bermuzik dengan santai sahaja sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Mungkin tiada apa lagi yang mahu dikejar selain terus meraikan penggemarnya dengan lagu-lagu sedia ada namun pada masa yang sama tidak kurang juga rilis-rilis baru yang tanpa perlu program pemasaran yang terlalu loud.

“Simfoni Hati Beradu” menjadi pertaruhan tahun lalu meramu ilham Synth Pop dengan feel retro-ish yang menawan. Dan jarang juga sebenarnya mendengarkan Aizat dalam pesona lagu-lagu sebegitu, setelah itu “Tegap Berdiri” dihasilkan sebelum menutup agenda muziknya tahun lalu.

Tahun ini sekali lagi dengan santai-santai sahaja Aizat melepaskan sebuah lagu single terbaru berjudul “Sendiri Aku Ok” yang sekali lagi dihasilkan dengan kerjasama Mel Ramlan dan Izzy Musa yang banyak menerbitkan karya-karyanya kebelakangan ini.

Lagu ini bergerak sekali lagi dengan ilham Synth Pop yang lebih moderate temponya berbanding “Simfoni Hati Beradu”. Kekuatan pada korus berulang “Sebenarnya sendiri aku ok // Untuk bahgia sendiri aku ok // Tinggal di kota sendiri aku ok.” Aizat benar-benar memilih jalan sederhana kali ini dan saya percaya kesederhanaan itu berbalik juga pada visi yang dia ada dalam bermuzik.

Saya senang dengan penghasilan lagu-lagu begini, lagu yang kala di persembahkan di pentas muzik live akan cukup senang membuatkan kita melayaninya, menyanyikannya dan berdansa dengannya. Berbicara soal persembahan muzik Live, Aizat sebetulnya sudah siap untuk memiliki sebuah konsert berskala besar.

Dengan barisan hits berawal “Hanya Kau Yang Mampu”, “Kau Aku”, “Lagu kita” sehingga “Sungai Lui”, “Susun Silang Kata”, “Jangan Menangis” dan “Sampai ke Hari Tua” – Aizat setidaknya memiliki kurag lebih 20 lagu yang kita kenal, hafal dan gemarkan. Hal yang Aizat harus pertimbangkan saya kira, a full scale concert because we are all ready for it.

8.2/10


ARTIKEL BERKAITAN

Terkini,

Ikatan Seni & Budaya – DBKL, Istana Budaya dan MPO

Satu kerjasama strategik diraih dalam satu memorandum yang ditandatangani DBKL bersama Istana Budaya dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO). Kerjasama ini ini menjadi inisiatif berterusan DBKL untuk memperkukuh sektor seni dan budaya juga pada masa yang sama mempelbagaikan pengalaman pelancongan di ibu negara.

Majlis disaksikan Datuk Bandar Kuala Lumpur turut merasmikan Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) yang menjadi salah satu program tahunan DBKL untuk mengangkat seni muzik orkestra tempatan ke tahap lebih tinggi.

Festival ini bukan sahaja memperkasakan pembangunan bakat muzik sahaja malah menjadi sistem penggerak penyertaan aktif masyarakat dalam kegiatan seni budaya yang inklusif dan memberi impak bertaraf antarabangsa.

Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) diusahakan bagi mengukuhkan Kuala Lumpur sebagai pusat seni dan budaya sepanjang tahun ini. Inisiatif lain yang turut dirancang adalah seperti penerbitan kalendar acara tahunan menerusi portal VisitKL dan penganjuran Festival Taman Kuala Lumpur pada Oktober 2025.

FOKL akan menjadi platform pembangunan ekosistem seni dan budaya melalui penglibatan para pelajar yang terpilih. Para peserta akan diberi peluang untuk terlibat secara langsung melalui persembahan orkestra sekolah yang dijadualkan pada 17 dan 24 Jun di Auditorium DBKL.

Menerusi program ini, DBKL turut menjalin kerjasama dengan Tokyo Symphony Orchestra bagi membimbing Orkestra Belia Kuala Lumpur sebagai satu lagi usaha membina potensi generasi muda. Satu forum istimewa turut dianjurkan iaitu Orchestra Festival Forum yang menjadi destinasi perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman setiap peserta yang terlibat.

Satu inisiatif dilaksanakan untuk memastikan keterangkuman dan akses yang adil untuk semua kelompok masyarakat. Antaranya termasuk penganjuran konsert amal bagi menyokong Persatuan Orang Buta Malaysia serta penyediaan tempat duduk khas bagi individu kurang upaya di setiap konsert.

Highlight, Review, Terkini,

mendasari “Misompuru” sebagai sebuah dedikasi seni & budaya marsha milan

Album: Misompuru
Persembahan: Marsha Milan 
Produser: Amir Jahari / Velvet Aduk / Simmy Lor / Oja

Dedikasi Marsha dalam mengangkat lagu-lagu Etnik Borneo sebagai salah satu tanggungjawabnya sebagai pemuzik itu satu hal yang seharusnya diberi kredit. Ketika awal menghasilkan beberapa single Etnik bersama Velvet Aduk menerusi lagu-lagu seperti “Aramaitii”, “Oi Gaman” sehingga “War Cry” yang turut menampilkan kolaborasi bersama Alena Murang – Marsha membuka mata saya akan keseriusannya dalam mengemudi satu landasan Pop dengan tanggungjawab.

Hal ini mungkin tidak begitu diberi perhatian penggemar-penggemar “Cinta” atau “Kembali Terang” namun ini adalah satu hal yang harus diberi perhatian dan diperkatakan semua. Maka atas dasar tanggungjawab itu juga, Marsha meneruskan sebuah kelangsungan dalam menghasilkan lagu-lagu Etnik ini menerusi persembahan EP lima lagu “Misompuru”.

EP ini bermula perjalanannya dengan “Nalan Nalan” kolaborasi bersama Alena Murang. Dibuka lembut dengan ambien yang membawa kita terbayang luas sebuah pemandangan sebelum menjadi lebih catchy di keseluruhan lagunya. Lagu ini memiliki festive mood yang cukup kuat akar etniknya.

Lagu-lagu begini sebetulnya kalau secara komersial bunyinya sangat dekat dengan apa yang Noraniza Idris selalu bawakan. Ia sempurna sebagai sebuah naskhah mendekatkan kita sebagai pendengar dengan satu sound yang kita miliki tapi jarang betul dibicara dan diraikan.

Ilham catchy di lagu “Nalan Nalan” diteruskan menerusi kolaborasi Marsha bersama Velvet menerusi “Lintah Darat”. Korusnya mengikat, diiisi dengan cerita dalam kelompok masyarakat yang dekat dengan sesiapa sahaja sebetulnya. Ia bergerak sebagai sebuah satira Pop yang baik. Lagu sebegini sangat mudah dinikmati dalam persembahan pentas live.

“Pelangi Pasti” menjadi focus track EP ini yang dikemudi dengan begitu sempurna saya kira. Melodi ciptaan Amir Jahari dalam menyatukan elemen Nusantara, Etnik, Pop dan Folk itu sesuatu yang tidak diragukan lagi. Dia sudah membuktikan hal ini dalam lagu “Ingga” dan “Wangikanlah Hatimu” sebelum ini.

Menerusi “Pelangi Pasti” Marsha saya kira menemukan sebuah naskhah Pop Etnik yang terbaik sebagai pentafsiran muziknya. Lagu ini bergerak sebagai sebuah spiritual Pop yang diisi dengan dengan semangat dalam penulisan lirik terutamanya. “Kita pasti akan menang // Hujan tanda Tuhan sayang.” sebelum korusnya ditutup sempurna bait “Kerna setelah lebat hujan // Pasti pelangi kan datang.” Lagu ini seharusnya diberi satu perhatian yang besar daripada pendengar.

EP ini ditutup dengan “Santai Saja” dan “Hey Aramai Ti” sebagai sebuah pelayaran muzik yang baik bagi kita yang peduli dengan seni, budaya dan keunikan yang kita ada. Marsha mempersembahkan “Misompuru” sebagai sebuah naskhah yang komersial jika mahu dibandingkan dengan Alena Murang yang lebih teliti dan bereksperimentasi muziknya – tetapi ia juga sesuatu yang cukup bagus dan harus dibanggakan.

Apa yang dihasilkan Marsha mahupun Alena Murang saya pasti adalah satu dedikasi teguh pada seni dan budaya yang harus terus diperjuangkan generasi kini yang memiliki pengaruh. Marsha menggalas tanggungjawab ini sebaiknya dan “Misompuru” adalah sesuatu yang seharusnya kita raikan sebagai pendengar.

8.5/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

“ini adalah ujian transmisi!” rilis long overdue terkini ramayan

Album: Ini Adalah Ujian Transmisi
Persembahan: Ramayan
Produser: Ramayan / Faliq Mohd

Kebetulan beberapa hari sebelum album in beredar saya sedang melayani debut Francissca Peters berjudul “Komputer Muzik” sebuah persembahan Synth Pop, Jazz, Disco yang dikepalai maestro muzik Michael Veerapen yang memberi variasi bunyi untuk pasaran muzik 80-an yang cukup menarik dijadikan sebuah rujukan muzik hari ini.

Dan kelmarin Ramayan akhirnya mengeluarkan album terbaru mereka “Ini Adalah Ujian Transmisi” yang meramu ilham Synth Pop dalam muzik mereka. Semuanya saya kira bermula dengan single “Dendang” yang beredar lewat 2023 sebelum single “Samudera” dan “Jangan Biar” (Bersama Lunadira) diedarkan sebagai kelangsungan sound baru kugiran ini.

Ramayan yang sebelum itu cukup dikenali dengan muzik Psikedelik Pop dalam dua album “Ramayan” dan “Di Persiaran Cakerawala” memberi satu keterujaan untuk pendengar mereka. Transisi ini saya kira penting sesebuah kugiran atau persona muzik memberi satu suntikan segar dengan pengaruh baru dalam muzik mereka tanpa terikat idea serupa.

Identiti masih mampu dikekalkan dengan manipulasi muzik bersulam pengalaman, pengaruh baru dan kretiviti dalam bekerja. Dan ini yang saya dapat daripada mereka menerusi “Jangan Biar” “Samudera” dan “Dendang”. Keterbukaan untuk berkolaborasi bersama produser luar juga membukan satu landskap baru Ramayan untuk kedengaran cukup segar dan berbeza.

Faliq Mohd (FLQ) yang cukup dikenali dengan sound Synth Pop dalam karya-karyanya menyulam ilham Psikedelik Ramayan yang menyatu dengan cukup menari untk dinikmati tanpa rasa canggung. Album ini diisi dengan 11 lagu keseluruhannya yang memberi satu momen baru muzik Ramayan.

“Gadis Berbaju Merah” menjadi focus track albun ini yang cukup mengingatkan saya pada intro lagu “Komputer Muzik” dan “Si Mata Merah” milik Fran – which a good thing kerana ia setidaknya mengembalikan satu nostalgia yang terpinggir dalam persembahan muzik baru. Korusnya sangat baik dan kemasan muziknya juga datang dengan ilham yang cukup membebaskan ruang kreativiti Ramayan.

“Disko Kelana” dan “Cita-Cita Asmara” meneruskan ilham Disko dan Pop yang berlandaskan sesuatu satu vibes yang serupa. Dan berbicara tentang vibes, itu adalah hal yang ditawarkan Ramayan di album ini. Ia bergerak sebagai sebuah album berkonsep – melodinya mungkin tidak begitu mesra pendengaran namun persembahan muziknya boleh buat kita mengikut rentak Ramayan. Ia sebuah album yang sempurna untuk sebuah pesta tertutup dan it’s perfect for your weekend.


ARTIKEL BERKAITAN

#PerspektifMuzik,

Melewati Era Baru Muzik Siti Nurhaliza

Di era 90-an dan 2000, Siti Nurhaliza mendominasi pasaran muzik tempatan dengan bersahaja. Bagai tiada yang mampu disaingi dan diterima terbuka – membenarkan dia menjadi figura Pop yang terus diraikan sehingga hari ini. Fasa perkahwinan dan melahirkan anak memperlahankan sedikit langkahnya dan membuka lebih ruang pada pemuzik baru mencuba nasib.

Namun di tahun 2018 dia kembali mendominasi pasaran muzik tempatan. Karya pelapis pop Hael Husaini dan Ezra Kong membawa namanya kembali gah dengan naskhah baru bermuzik. Muzik Kita melewati era baru Siti Nurhaliza dalam lagu-lagu terbaik yang pernah dirilis sepanjang tempoh 2018 sehingga 2024.

ANTA PERMANA (Hael Husaini / Ezra Kong)
Keterbukaan Siti merakamkan lagu-lagu komposer baru membenarkan dia untuk terus diraikan generasi berganti. “Anta Permana” bergerak sebagai sebuah lagu yang membawa suara baru muzik tradisional ke tahap yang moden dan kekinian. Apa yang dihasilkan selengkapnya memberi justifikasi dan bergerak sebagai pentafsiran terbaik muzik Siti yang baru.

MAGIS (Mas Dewangga / Jova Devito / Aden Keng)
Sebuah lagi lagu yang membawa ilham muzik tradisi dengan infusi Pop dan EDM yang menjadi kekuatan Mas Dewangga dalam karya-karyanya. Biar begitu pertembungan bunyinya, ia tidak langsung kedengaran canggung dan menjadikan ia antara lagu terbaik era baru muzik Siti Nurhaliza.

SIAPA TAK MAHU (John Jeeves / Ikhwan Fatana / Omar K)
Pop Siti kembali tersusun baik di lagu Siapa Tak Mahu. Penciptaan melodinya matang dan mengena dengan attitude Siti Nurhaliza. Kemasan muziknya baik dengan penghasilan cukup catchy dan mengikat. Dalam katalog lagu-lagu Pop (bukan Balada) ia terhasil ceemrlang melengkapi usia bermuzik Siti.

7 NASIHAT (Luca Sickta / Kmy Kmo)
Ilham tradisional sememangnya mencantum baik dengan landskap muzik Siti. Luca Sickta dan Kmy Kmo berjaya menghasilkan sebuah lagi hits malar segar yang baik dan seiring imej Siti. Lagu ini simple dan bukanlah datang dengan idea baru tetapi ia kuat sebagai pentafsiran terbaik muzik baru Siti.

AKU BIDADARIMU SYURGAMU (Ippo Hafiz / Siti Rosmizah)
Balada menjadi kekuatan Siti namun di era baru bermuziknya tidak banyak yang seiring dengan balada-balada hebat yang pernah dia rakamkan dulu. “Aku Bidadari Syurgamu” memberi kepuasan daripada segi vokal dan feel Siti buat pendengar.

GANTI (Mingaling)
Lagu ini memberi vibes serupa “Debaran Cinta”, “Ku Milikmu” dan “Pendirianku” yang cukup moden dan mengena dengan Siti. Lagu sebegini tidak sukar untuk Siti bermain dengan warna vokal dan stail nyanyiannya. “Ganti” antara lagu yang penting era baru bermuziknya.



Review, Terkini,

“malam nestapa” penanda aras penerimaan pendengar buat nikki palikat

Lagu: Malam Nestapa
Persembahan: Nikki Palikat
Komposer / Lirik: Leonard Yap / Raihani Mohd Saaid
Produser: David Koon

Perjalanan Nikki dalam mendapatkan momen dalam kariernya mungkin masih belum memuncak seperti penyanyi lain yang sudah memiliki jutaan strim sehingga pencapaian di majlis anugerah muzik. Namun untuk terus meraikan bakatnya itu saya kira mungkin hal yang masih belum benar-benar diberi ruang oleh pendengar tempatan.

Apa yang sudah dihasilkan setelah fasa Gegar Vaganza saya kira itu sudah mengikut template Pop tempatan. Balada sudah dihasilkan melalui “Sudah” dan “Dugaan Takdir Cinta” yang saya sifatkan semampunya untuk berada di radar popular kerana apa yang dipersembahkan sama sahaja sebetulnya dengan apa yang dipersembahkan Marsha, Aina, Ernie yang terus diraikan tanpa putus.

Namun mengapa tidak mereka yang meraikan tiga penyanyi ini turut sama meraikan Nikki? Itulah persoalan berbalik soal keadilan dan sikap memilih pendengar kita. Hal ini sama juga saya lihat dengan penerimaan pendengar terhadap Balada persembahan Jaclyn Victor. “Sesal Tak Bermakna” yang beredar tahun lalu dipandang sepi pendengar.

Tapi saya masih harus terus memuji dedikasi penyanyi seperti Nikki dan Jac dalam terus bekerja. Bagi meneruskan satu kesinambungan bermuzik pada pendengar yang masih mahu mendengarkan persembahannya, Nikki menghasilkan sebuah lagi pertaruhan Balada menerusi “Malam Nestapa” sebuah naskhah runut bunyi filem “Gayong”.

Lagu ini terhasil dengan bait lirik yang puitis, itu hal pertama yang saya perhatikan pada penghasilannya. Meneliti penghasilan liriknya ia bagai membaca puisi yang ditulis dengan emosi dan perasaan yang paling galau. Bait seperti Laut pun berkisah // Malam terbakar // Pantai pun tercalar, terhiris.” Dan Nikki benar-benar mendalami cerita tertulis dalam penyampaian vokalnya yang begitu kemas dan datang dengan dinanik yang tepat tanpa perlu berlebihan.

Melodinya saya kira terhasil mengikut standard lagu-lagu Balada AJL – dan atas faktor ini membuatkan saya semakin yakin untuk mempersoalkan jika lagu ini sebenarnya akan menjadi penanda aras keterbukaan pendengar untuk menyokong Nikki sama seperti mereka menyokong penyanyi-penyanyi AJL.

Jika ia masih gagal membawa Nikki ke tahap yang sepatutnya dan memiliki momen besarnya dalam industri muzik tempatan, saya kira salah bukan padanya tetapi pada pendengar yang memilih apa yang mereka mahu dengar dan sokong sahaja. Setidaknya lagu ini masih memliliki melodi yang sedap didengar dan lirik yang jauh lebih baik dengan berbanding Balada setahun dua kebelakangan ini yang diangkat cendekiawan AJL.

6.7/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

“ditinggal berjuang sendirian…” raisa bakal rilis album studio kelima

Lagu: Terserah
Persembahan: Raisa
Komposer / Lirik: Raisa / Lafa Pratomo
Produser: Lafa Pratomo

Kegalauan Raisa dalam mentafsir sebuah persembahan Pop yang sentiasa dinantikan penggemarnya terus bernadi lebih sedekad usianya. Atas permintaan tinggi dalam penghasilan lagu-lagu Balada, kita disua dengan rangkaian hits seperti “Apalah Arti Menunggu”, “Mantan Terindah”, “Kali Kedua”, “Usai Di Sini” yang bergerak sebagai satu kelangsungan bermuziknya.

Dalam pada mengisi kehendak pasaran muzik semasa, Raisa masih terus bereksperimen dengan R&B yang menjadi kekuatannya tanpa perlu hanya bertaan dengan Balada semata. Kepelbagaian dalam Pop yang dia miliki memberi satu keseimbangan dalam muzik yang dipertaruhkan.

Bakal melepaskan album kelima, Raisa melepaskan single perdana di album ini “Terserah” yang sekali lagi bergerak atas landasan Balada yang cukup memikat. Kali ini bekerjasama dengan produser muzik Lafa Pratomo yang sebelum ini menzahirkan juga “Si Paling Mahir” – menjual jiwa galau Raisa dalam persembahan sederhana namun masih beremosi.

Lagu ini tidak hanya berpaksi pada kesayuan melodi yang dihasilkan untuk kita senang melayaninya tetapi saya kira kekuatan sebenar ada pada penulisan liriknya. Killer utama pada teks lirik yang ditulis cukup berisi, puitis dan relatable dengan pendengar semasa.

“Di belakang pikiranku // Sebenarnya sudah tahu // Kisah cinta mirip kita // Tak menyentuh selamanya.” membuka lagu ini sebagai sebuah naskhah yang bercerita jelas tentang kisah pada lagu ini. Bait di bahagian pre-chorus nya semakin baik dan saya terusik dengan prosa ini “Ternyata ini rasanya
// Ditinggal berjuang sendirian.”
yang saya pasti mampu difahami dan dirasai pendengar-pendengar lagu-lagu galau Raisa.

“Terserah” menjadi pembuka yang baik untuk album yang berjudul “Ambivert” yang akan beredar kurang seminggu lagi. Penghasilannya sederhana dan masih berpaksi pada apa yang prnah dibawakan Raisa namun it doesnt sound dated. Sempurna untuk buat anda termenung, melayan perasaan dan terkenang-kenang.

7.8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

“MWA!” another banger legasi pop dolla

Lagu: MWA!
Persembahan: DOLLA
Komposer / Lirik: Angel / Chelsea Warner / Gaston Pong / Roland Lim / Sabronzo / SYA / Tabby / Yonnyboii
Produser: Gaston Pong / Roland Lim

Transisi Pop Dolla masih lagi belum memperlihatkan jalan perlahan. Biar kini hanya bertiga, Dolla semakin utuh sebagai girl group yang paling kita ada setakat ini. Atas faktor pengurusan yang tepat saya kira Dolla bertuah untuk berada di radar popular yang membenarkan penggemar mereka sentiasa meraikan apa yang mereka hasilkan.

Bagi meneruskan satu kelangsungan pada subuah legasi Pop yang sudah dibina sejak tahun 2020, Dolla bersama Universal Music Malaysia mempersembahkan sebuah lagi banger dengan judul MWA! Yang datang dengan momentum muzik yang laju menjerat pendegaran.

Apalah Dolla tanpa groove, beats dan degupan. MWA! Bergerak seiring dengan kehendak kita sebagai pendengar – melodi yang catchy, mengikat sekali pendengaran dan bersulam pakej visual pada muzik video yang akan sentiasa mengundang keterujaan.

Atas faktor ini lengkap saya kira satu kemasan pemasaran muzik yang setidaknga masih rasional untuk Dolla terus mendepani pasaran muzik tempatan dengan kesegaran dalam muzik yang sentiasa mereka tawarkan.

MWA! Hasil ciptaan bersama Dolla, Gaston Pong, Roland Lim dan YonnyBoii – membentuk landskap muzik Pop Dolla yang seiring dengan eskspektasi peminat mereka. Dua versi disiapkan dalam dua bahasa – Melayu dan Inggeris dalam durasi singkat yang jika didengar back to back seperti satu lagu.

Dolla semakin meyakinkan dengan ramuan muzim EDM dan K-Pop yang menyatu dalam lirik yang cukup empowered. “Tiada lagi ku lari // Masalah tak peduli.” Dan bait favorite saya di lagu ini “Baby setiap yang ku sasar // letupan massa.” Solid.

8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

nadeera mengemudi terus kejayaan “bukan lagi kita”

Lagu: Bukan Lagi Kita (Special Edition)
Persembahan: Nadeera
Komposer / Lirik: Hael Husaini / Iqie Hugh
Arranger / Produser: Ee Jeng Hin / Genervie Kam

Tuah mungkin tidak selalu berpihak padanya tetapi itu bukan alasan untuk dia berputus asa. Kerana kekuatan, disiplin dan keinginan yang tinggi menggapai cita-cita dalam bidang muzik membawa Nadeera menemukan titik tengah yang membawa satu kejayaan luar biasanya. “Bukan Lagi Kita” satu permulaan untuk lebih lagi kejayaan yang bakal dia kecapi.

Seperti masih belum jemu rasanya melayani “Bukan Lagi Kita” di versi studio sambil melihat perjalanan Nadeera yang dikemudi sebaiknya kejayaan lagu ini. Perjalanan panjang Nadeera dalam keinginan mengecap kejayaan itu satu iltizam juga inspirasi besar untuk yang masih belum lagi menemukan momen mereka.

Terus melestarikan hayat pada lagu yang menjadi rezeki besar buatnya, Nadeera bersama gerakan pasukan pemasarannya memberi justifikasi baru “Bukan Lagi Kita” dalam satu rakaman yang lebih membuatkan saya rasa puas mendengarkan lagu ini.

Karya cipta Hael Husaini dan Iqie Hugh ini diberi standard baru dalam kemasan muzik Genervie Kam yang disusun untuk Anugerah Juara Lagu yang lalu. Gen bijak dalam menata sebuah lagu yang bagi menambah nilai sentimental yang tinggi. Hal ini sudah dia buktikan ketika meramu kembali “Di Pintu Syurga” dan “Lelaki Teragung” persembahan Dayang Nurfaizah beberapa tahun lalu dengan lebih kesayuan.

Dan magis Genervie Kam sekali lagi dibuktikan lewat “Bukan Lagi Kita” edisi istimewa ini. Dibuka dengan kemasan string yang membuka cerita di lagu ini dengan lebih kelembutan sebelum momentumnya semakin dirasai seiring lagu ini berjalan sehingga ke hujung. Saya suka dengan cara Gen mengambil masa untuk lagu ini tidak terdengar terburu-buru. (Seperti apa yang saya ulas di versi asalnya)

Saya senang dengan kematangan dalam persembahan vokal Nadeera di versi ini. Dia benar-benar bercerita dan mendasari sedalamnya kisah yang ditulis. Penyampaiannya kurang nyaring dan semakin kemas juga solid tanpa perlu terlalu beragam dalam styling nyanyian.

Sementara menantikan apa lagi yang bakal dipersembahkan setelah ini, Nadeera benar-benar membuat saya puas dengan persembahan “Bukan Lagi Kita” versi istimewa ini.

9.5/10


ARTIKEL BERKAITAN