
Album: Self Soothing
Artis: Sezairi
Produser: Petra Sihombing
Sezairi dalam merangka perjalanan bermuziknya cukup terbuka dalam membuka ruang pada pemuzik luar berkolaborasi bersamanya dalam menghasilkan karya-karya baru yang cukup current sifatnya dengan persembahan muzik yang cukup matang.
Hal ini sudah dibuktikan beberapa kali sebelum ini dan perjalanannya diteruskan dalam sebuah lagi album yang cukup solid menjual ilham Pop dalam persembahan vokal soulful yang dimilikinya. “Self Soothing” menjadi pertaruhan terbaru dalam rangkaian sepuluh lagu yang saya sifatkan sebagai a zero skip album.
Dibuka dengan “Dejavu” yang cukup kuat esen muzik Sezairi seperti apa yang biasa kita dengar sebelum ini. Killer utamanya pada korus lagu ini yang cukup mengikat dengan balutan vokal Sezairi yang memberi justifikasi yang cukup baik.
Saya lebih terbuai dengan “December” dalam mode Bossa dan Jazz yang benar-benar menjual kelebihan vokal Sezairi dalam memberi nyawa di lagu begini. This is such a fun track yang saya kira tidak sukar untuk sesiapa sahaja enjoy dengan penghasilannya. Sezairi menjadi lebih fun di trak “Moonlight” yang hadir dalam persembahan nostalgia yang dikemaskan muziknya dengan cara yang cukup entertaining.
“Daylight” menjadi focus track di album ini menampilkan kolaborasi Sezairi bersama bakat muda meningkat naik dari Indonesia, GANGGA. “Daylight” saya kira cukup ramuannya dalam persembahan Pop yang bakal digilai pendengar muzik Urban Pop khususnya. Seperti menyatukan dua jiwa daripada estetika berbeza tetapi menyatu cukup baik, melengkapi sesama sendiri.
Sezairi sehingga trak kelima ini benar-benar membuat saya enjoy dengan penghasilan keseluruhan album. Muziknya tidak complicated, mudah mengikat dengan sekali pendengaran dan terus mencuri pendengaran dengan effortless sekali.
Ketersendirian vokal yang dia miliki menjadi tunjang pada kekuatan album ini. Hal ini jelas dalam trak seperti “Luarbiasa” dan “Hollow” khususnya yang begitu menjual karakter vokal falsetto miliknya dengan keupayaan bercerita dalam lagu menjadikan Sezairi a smart singer.
Kolaborasi bersama Teddy Adhitya antara yang paling saya look forward sebetulnya saat Sezairi mengumumkan penghasilan album ini. Dan ternyata “Enough” terhasil dengan cukup baik sekali penghasilannya. Kolaborasi ini antara yang paling saya enjoy tahun ini. Kemasan muzik di lagu ini cukup hebat sekali, kemas dan tastefully produced. Liriknya juga cukup mengikat “Kecukupanmu dan berhasilmu // Dan segala kekuranganmu // Indah bagiku”. Saya melayang dalam bait-bait indah di lagu ini.
Album ini ditutup dengan dua lagu “Forever” dan “4pm” yang dihasilkan dalam persembahan Pop semasa. Saya cukup menyenangi “Forever” yang digerakkan dalam ambien muzik yang memiliki potensi besar membawa nama Sezairi ke tahap yang lebih jauh. Cukup current.
Album ini sebuah refleksi kematangan Sezairi sebagai pemuzik yang memiliki citarasa bermuzik yang cukup tinggi dan terbuka dengan pembaharuan tanpa perlu menghilangkan identiti sebenarnya. Hal ini yang membuatkan seseorang artis dan pemuzik itu mampu melebarkan lagi ladskap muzik mereka. “Self Soothing” saya sifatkan sebagai album terbaik yang pernah dirakamkan bakat ini.
8.9/10
ARTIKEL BERKAITAN