
Filem Selubung (1992) arahan Shuhaimi Baba dengan lagu tema Suara Binasa dendangan Hattan menjadi antara all time fav soundtrack saya. Lagu tersebut benar-benar menggambarkan ilham keseluruhan di balik filem tersebut.
Dan tidak salah jika saya katakan hampir kesemua filem-filem awal arahan Shuhaimi Baba antara yang memiliki esen runut bunyi yang cukup tepat menggambarkan jalinan cerita yang ditulis ke layar lebar.
Contoh lain yang cukup tetap adalah lagu Indah Kassorga dalam dua versi Hattan dan Susan Lankester – benar-benar beri mood yang cukup baik untuk filem Ringgit Kassorga. Estetika seni muzik dan filem yang disatukan dengan tepat sekali.
Dalam entri kali ini saya ingin membawa nostalgia kita dalam runut bunyi Layar Lara yang diterbitkan Maman (Teachers Pet) pada tahun 1997. Sepertimana solidnya filem tersebut sebagai naskhah layar lebar yang terbaik sehingga hari ini, saya kira begitu juga dengan runut bunyinya.
Album ini saya kira diterbitkan dengan segala nilai estetika seni muzik yang cukup tinggi. Daripada penciptaan lagu, penulisan lirik puitis, susunan muzik, persembahan vokal dan kesinambungan antara satu trak ke trak yang lain dibikin cukup teliti dan kemas sekali.
Sesekali dialog dalam filem diselitkan menambah mood kita sebagai pendengar menikmati satu pengalaman muzik yang cukup mengkhayalkan.
Dibuka indah dengan prolog humming dalam anthem Layar Lara yang cukup membuai perasaan sekali diselang-selikan dialog utama Ena Manjalara – Malik – Daud dan Seniwati Zai.
“Tanah ini daging kami,
Air mengalir di sungai itu darah kami,
Akar-akar pokok ini urat kami,
Belum ada harga boleh ganti akar umbi dan keturunan…” – Seniwati Zai
Kehalusan melodi tulisan Maman diteruskan dalam dua lagu favoritesaya dalam album ini Kasihku Pinjam Wajahmu dan Manja Lara. Feel Maman dalam dua trak ini antara yang cukup bernyawa sekali. I mean dengar saja persembahan soulful Maman dalam lagu Manja Lara and all those piano repertoires! Cantik sekali susunannya.
Translara (Ida Nerina) antara yang memiliki penulisan cukup sinikal sekali. Bait berikut;
“Ada filem takde panggung, ada idea takde duit,
ada pentas takde pelakon, ada shooting goyang selalu.”
And the best part goes to these lines
“Ada bakat takde value,
Ada rupa tapi kayu…”
Saya kembali terbuai dalam instrumental Keroncong Lara di mana petikan gitar Maman dan seruling Mohar menyatu sempurna dalam trak berdurasi 58 saat ini sebelum disambung kemas lagu Kalau Mahu Kenal (Azean Irdawaty) yang begitu funsekali dan diakhiri dengan dialog Seniwati Zai sebelum disambung melodi indah Man Bai dalam Kau Ilhamku.
Album ini ditutup dengan cukup sentimental sekali. Dua trak terakhir runut bunyi ini cukup buat saya sayu sekali. Senandung Lara memuatkan dialog Ena dan Zeniwati Zai dalam latar seruling Mohar sebelum diteruskan akustik gitar Maman.
Transisi dari satu lagu ke satu lagu dalam album ini cukup konsisten sekali. Ia bergerak atas satu landasan perasaan yang disulam dengan cukup indah sekali.
Saya kira di sini indahnya menikmati sebuah runut bunyi, kita dibawa jauh melayang mendalami setiap cerita dan karater yang ditulis sutradara.
Tugas Maman saya kira dalam memberi justifikasi terhadap filem ini cukup berjaya sekali. Album ini akan sentiasa diingati sebagai rujukan terbaik dalam sejarah penghasilan album runut bunyi tempatan.