
Muzik Ghazal sudah menjadi sub-budaya penting dalam masyarakat tempatan dalam memberi saluran hiburan juga perlambangan budaya masyarakat setempat. Johor menjadi nadi muzik ini bergerak cukup luas di beberapa daerah seperti Muar sebagai satu wadah menyatukan masayrakatnya satu ketika dulu.
Awalnya, seni muzik Ghazal ini disebut sebagai Qamat yang bererti nyanyian dan beriuh rendah dikatakan berasal dari Tanah Arab. Ghazal juga diasosiasikan dengan puisi yang dilagukan dengan rintihan atau rayuan. Sejarah awal yang membawa muzik ini di abad ke-19, menyaksikan kerjasama kerajaan Johor yang terjalin antara Riau-Lingga mencipta satu budaya dalam muzik.
Beberapa tokoh muzik Ghazal seperti Datuk Bentara Luar Mohd. Salleh Bin Perang menjadi antara individu awal gerakan muzik Ghazal bersama Ungku Chik, Ungku Muhammad, Haji Musa Bin Yusof (Pak Lomak) yang membawa muzik ini di daerah-daerah berbeza.
Gerakan muzik Ghazal ini diteruskan legasinya di era 60-an sehingga lewat 90-an dengan generasi penerusnya yang cukup dihormati sehingga hari ini. Sekali gus meletakkan muzik Ghazal tidak hanya sekadar medium hiburan tetapi sudah dikaji, ditulis dan dijadikan satu bahan ilmiah dalam cabang muzik.
:format(jpeg):mode_rgb():quality(90)/discogs-images/A-4572385-1527150688-3443.jpeg.jpg)
Orkes Ghazal Sri Maharani
Fadzil Ahmad, S.Fauziah, Ahmad Jusoh, Rosiah Chik, Orchid Abdullah, Sharifah Aini, S.M Salim dan Rafeah Buang menjadi suara-suara lunak merdu yang melantun melodi Ghazal dengan penuh santun dalam menyampaikan cerita yang dikisahkan dalam lagu.
“Orkes Ghazal Sri Maharani” menjadi antara gerakan Ghazal yang cukup popular di era 60-an sehingga 70-an dalam menghasilkan album-album Ghazal. Ahmad Jusoh yang memimpin gerakan Ghazal ini bergerak bersama S.Fauziah dan Fadzil Ahmad dalam sebuah album berjudul “Tudung Periuk – Malay Traditional Songs”.
Album berisi 10 lagu ini, awal diedarkan pada tahun 1978 menyenaraikan cukup banyak melodi Ghazal yang cukup ikonik sepanjang zaman. “Tanjung Balai” membukan album ini dengan iringan suara Fadzil Ahmad sebelum dia meneruskan persembahan penuh santunnya dalam lagu “Selat Tebrau”.
Tutur jelas Fadzil Ahmad dalam penyampaian lagu-lagu lain seperti “Gunung Bentan” dan “Pak Busu” antara rujukan terbaik penyanyi lelaki sepanjang zaman. Pemyampaiannya dalam bercerita tentang isi lirik yang tertulis cukup memaknakan setiap bait yang ada.
S.Fauziah seorang lagi penyanyi yang terlibat di album ini. “Tudung Periuk” disuaranya menjadi satu intepretasi muzik yang cukup berbeza dengan apa yang pernah kita dengar di versi asal ciptaan P.Ramlee. S.Fauziah saya kira punya kelantangan dalam penyampaian vokal yang luar biasa sekali range yang dimiliki.
Meneruskan kelantangan dalam suaranya, “Burung Putih” membuat saya lebih larut dalam kemasan muzik, cerita dalam lagu sehingga vokal milik S.Fauziah. “Jalak Lenteng” sebuah lagi lagu yang menampilkan clarity luar biasa S.Fauziah dalam penyampaian Ghazal.
Album ini bergerak sebagai sebuah naskhah yang saya kira harus dijadikan rujukan muzik yang nilai sejarahnya cukup tinggi dalam estetika seni muzik yang cukup tersendiri sifatnya. Cukup Melayu jiwa penyampaiannya.
Kemasan muzik Ahmad Jusoh dalam rakaman langsung album ini cukup lively dan rich sekali. Pelayaran Ghazal di album ini dari satu lagu ke satu lagu bersambung menjadi satu cerita dalam lagu yang kental jiwa rakyat, latar budaya dan latar masa yang terhasil dalam cerita berlegar situasi sekitar.
Saya berharap agar Ghazal dapat dikomersilkan kembali kerana masih banyak bakat-bakat pelapis yang mahu meneruskan legasi muzik ini cukup sokongan secara komersil itu masih terlalu kurang, entah mengapa kita terlalu memandang mudah peranan muzik tradisi dalam masyarakat.
*Kesemua lagu di album ini boleh anda dengarkan di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
ARTIKEL BERKAITAN
“Aslirama” Sebuah Ketulenan Melodi, Lirik & Santun Muzik Melayu Asli