
Lagu: Kau
Artis: Noryn Aziz
Komposer / Lirik: Indra / Noryn Aziz
Produser: Reza Ramsey (Bajai) / Amylea
Sosok Jazz tempatan, Noryn Aziz merangka perlahan perjalanan bermuziknya dengan cukup teliti saya kira. Setelah menghasilkan dua album di pertengahan era 2000, Noryn Aziz memberi fokus terhadap persembahan pentas yang tidak hanya memberi kepuasan buatnya tetapi juga pengikut setianya.
“Alam Maya” dan “I’m Alright” sehingga hari ini masih belum mampu dinikmati sepenuhnya oleh semua melainkan yang memiliki fizikal cd. Kedua-dua album tersebut saya anggap sebagai khazanah berharga muzik Jazz tempatan yang sangat kurang sekali diberi perhatian namun usaha Noryn Aziz dalam menghidupkan jaluran muzik ini pasti akan diingati selain nama lain seperti Atilia dan Fairuz Hussein.
Usai fasa bergelar juara Gegar Vaganza, Noryn tidak terburu-buru mengatur rencana bermuziknya, persembahan pentas masih menjadi keutamaan berbanding penghasilan single baru. Dan kejutan manis tahun ini, Noryn menzahirkan sebuah single berjudul “Kau” yang dihasilkan sendiri bersama Indra dalam sebuah persembahan Pop yang hadir dalam pesona Funk dan Disko.
“Kau” terhasil cukup solid saya kira, baik penciptaan melodinya sehingga kemasan muzik yang cukup teliti. Iramanya menangkap dengan sekali pendengaran, biar masih memiliki feel Jazz itu sendiri, “Kau” tidak kedengaran ‘berat’ masih kuat elemen kontemporarinya. Lagu-lagu dalam konsep begini sebenarnya sudah semakin banyak di pasaran muzik Indonesia yang dimonopoli produser muzik seperti LaleIlmanNino dan Diskoria.
Saya sebetulnya sukakan karakter vokal Noryn di lagu ini yang tidak kedengaran terlalu ‘tebal’ seperti biasa yang kita dengar sebelum ini. Kawalan suara dan emosinya baik tanpa perlu terlalu berlebih-lebihan dalam memberi impak buat persembahan keseluruhan. Semuanya tersusun kemas dan cantik sekali. Ternyata penantian cukup lama menunggu Noryn menghasilkan single terbaru saya kira cukup berbaloi di single ini. Semoga beriring album dalam masa terdekat.
8.6/10
ARTIKEL BERKAITAN