
Sebuah konsert yang sangat dinantikan pengikut Ratu Irama Tradisi , Noraniza Idris akhirnya bakal diraikan selama tiga malam bermula 21 sehingga 23 Oktober 2022 di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Bakal menyaksikan sentuhan emas susunan muzik Ramli MS yang bertindak sebagai Pengarah Muzik malam konsert yang bakal berlangsung, Noraniza Idris bakal berpentas dalam satu pengalaman menikmati muzik tradisional secara langsung selama 120 minit tanpa henti.
Pernah menerbitkan 13 album penuh keseluruhan sejak 1986, Noraniza Idris melalui transisi bermuzik yang cukup matang. Sehingga album “Ala Dondang” diedarkan namanya semakin dekat dengan pendengar muzik tempatan.

Satu per satu kejayaan dicipta dengan pelbagai sumbangan yang dilakukan demi meninggikan standard muzik Irama Tradisi Malaysia, Noraniza Idris nyata cukup layak untuk mementaskan pengalaman bermuziknya dengan penuh budaya, cerita dan tradisi yang pastinya akan dilakukan dengan penuh prestij.
“Sebagai seorang artis sudah tentu kita ada perasaan ingin buat konsert. Tapi disebabkan saya baru satu album masa tu dan banyak kekangan seperti nak mencari penaja dan sebagainya. Jadi saya teruskan dengan album lain dulu.
Tambahnya lagi “Bila dah sampai satu tahap itu memang betul-betul nak memastikan konsert itu menjadi kenyataan. Tapi sayangnya tahun demi tahun ia memang sukar. Satu saja, kos penerbitan untuk konsert ini sangat tinggi dan irama Malaysia ini bukan sekadar konsert biasa. Ia tak sama dengan konsert lain.”

Menurut Noraniza Idris, Konsert Malai Solo Noraniza Idris menggunakan khidmat 300 individu membabitkan pengarah muzik terkenal negara, Datuk Ramli MS, barisan pemuzik kelas A bertaraf filharmonik, kemunculan 40 pasukan artis budaya tetap, artis budaya jemputan, kumpulan tenaga kreatif yang mahir dalam teknologi persembahan dan banyak lagi.
Apa yang lebih menarik konsert ini bakal membabitkan pasukan tiga negara Malaysia, Thailand dan Singapura yang akan turut terlibat dalam persembahan dikir yang akan melibatkan lebih 60 individu yang melibatkan penyatuan dua generasi pendikir dari Kelantan dan Singapura.
Tiket-tiket telah mula dilancarkan pada 19 Ogos lalu melalui www.ilassotickets.com dengan harga VVIP Awallah Dondang RM1599.00, VIP Dikir Puteri RM899.00, Intan Payung RM399.00 dan Hati Kama RM299.00.
ARTIKEL BERKAITAN
Noraniza Idris: Dasawarsa Seni Penyanyi Saduran ke Biduanita Irama Melayu Asli Paling Dihormati