Bersama syarikat rakaman EMI, Habsah Hassan banyak menghasilkan lirik-lirik puitis untuk bakat seperti Sudirman, Noorkumalasari, DJ Dave, Sharifah Aini yang dikarang penulisan melodinya oleh komposer hebat seperti Manan Ngah, Fauzi Marzuki dan Adnan Abu Hassan antaranya.
Minggu ini Getaran Nostalgia membawakan bahagian satu, rangkaian lirik terbaik yang pernah ditulis oleh Habsah Hassan sepajang zaman. Dengarkan audio rasmi di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
TERASING (SUDIRMAN) // KOMPOSER: MANAN NGAH
Lagu ini antara yang terhasil dalam konteks cerita yang mudah tetapi datang dengan penceritaan yang cukup hebat. Kata-kata yang dipilih bagi mengisi cerita yang ditulis terhasil puitis dengan susunan kata-kata yang begitu indah. Bait “Sebuah kematian yang tiada bernisan // Sendu mengiring perpisahan” antara yang terhasil cukup puitis sekali. Saya semakin larut di bahagia korusnya saat Habsah menulis “Sebuah cinta dan harapan // Menjadi debu berterbangan” – sebuah perlambangan perasaan yang cukup puitis.
LEGENDA (SHEILA MAJID) // KOMPOSER: FAUZI MARZUKI
Sebuah tribute buat legenda muzik tempatan P.Ramlee, lagu ini ditulis dalam sebuah persembahan yang cukup grand sekali. “Biar bertahun masa beredar // Satu wajah satu nama // Takkan pudar” menjadi killer di penulisan lirik lagu ini. Habsah Hassan benar-benar memahat satu impak besar menjadikan lagu ini sebagai sebuah adikarya yang cukup mewah mengisi melodi ciptaan Fauzi Marzuki ini. “Patah tak tumbuh lagi // Hilang belum berganti.”
STANDING IN THE EYES OF THE WORLS (ELLA) // KOMPOSER: WAH IDRIS
Sebuah persembahan lirik pembakar semangat yang asalnya ditulis bagi mengisi slot Sukan Komanwel menjadi naskhah malar segar sehingga hari ini. Bersama komposisi muzik Wah Idris, Habsah Hassan menari bersama penanya menerusi bait-bait membangkit spirit kemenangan. “Setiap manusia ingin berjaya // Namun tak semua miliki tuah.” sebelum itu diisi dengan “Engkau terunggul // wajar “standing in the eyes of the world”. Cukup ikonik dan powerful.
YANG TERINDAH HANYALAH SEMENTARA (ERRA FAZIRA) // KOMPOSER: RIZA
Melankolik melodi “Yang Terindah Hanyalah Sementara” dengan penulisan lirik syahdu Habsah Hassan ini menjadijan ia sebuah naskhah malar segar buat Erra Fazira untuk diingati kembara bermuziknya sehingga hari ini. Bait-bait “Alangkah sukarnya memadam bayangan masa silam // Di dalam keberanian terusik jua perasaan.” dibuka sebagai kisah kekecewaan di lagu ini sebelum berhujung kekuatan jiwa menerusi bait “Beronak berliku jalan kulalui // Selagi berupaya kuteruskan.”
TERBANG HELANG (SHARIFAH AINI) // KOMPOSER: KHAIRIL JOHARI JOHAR
Perlambangan kebebasan helang dalam lagu ini bergerak sebagai cara terbaik Habsah Hassan mentafsir sebuah cerita yang cukup tersusun baik. Melodi ciptaan Khairil Johari Johar ini benar-benar sebuah melodi klasik malar segar yang sentiasa mampu didengari sehingga hari ini. Kisah naik turun hidup manusia dalam sebuah putaran yang kehidupan. “Terbanglah engkau tinggi // Sampai ke mana lagi // Ingin engkau jelajahi // Sehingga kau terlupa // Yang tinggi jatuh jua // Bila tiba ketika // Kau ke tanah akhirnya.”
ARTIKEL BERKAITAN