90-an akan sentiasa menjadi era dalam muzik yang akan sentiasa diraikan biar berganti generasi dan biar selama mana pun usia pelayaran lagu-lagunya beredar. Pasti akan sentiasa ada yang akan meraikan kembali lagu-lagu di era ini yang dianggap cukup original dan dijadika rujukan muzik hari ini.
Komposer seperti Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan, Manan Ngah, M. Nasir antara yang cukup berhasil mengciptakan lagu-lagu hits sepanjang zaman yang siap dinyanyikan barisan penyanyi popular ketika itu seperti Fauziah Latiff, Ziana Zain, Ramlah Ram dan ramai lagi.
Muzik Kita menyelongkar katalog muzik Getaran Nostalgia EMI mencari tahu lagu-lagu yang usianya sudah mencecah angka tiga dekad dan masih tetap diraikan pelbagai generasi penggemar muzik tempatan.
TERATAI LAYU DI TASIK MADU (FAUZIAH LATIFF)
Lagu ciptaan Adam Ahmad ini benar-benar menciptakan momen manis sepanjang karier bermuzik Fauziah Latiff sebagai penyanyi Balada yang cukup diraikan sehingga hari ini. Melodinya yang diisi dengan lirik cukup sedih dalam perlambangan bunga teratai dengan korus yang cukup ikonik berbalut sempurna feel Fauziah Latiff.
SEMBILU (ELLA)
Hits yang melatari filem lakonan Ella “Pemburu Bayang” ini menjadi antara hits yang memberi kelebihan untuk Ella bersinar sebagai penyanyi Sentimental Rock. Dihasilkan dalam acuan muzik komposer terunggul Saari Amri, “Sembilu” menjadi antara lagu yang cukup popular sepanjang 1993.
BAYANGAN GURAUAN (MEGA)
Kebangkitan fenomena grup Balada 90-an memberi ruang untuk kumpulan Mega menyerlah dengan lagu “Bayangan Gurauan” yang sehingga hari ini masih menjadi lagu cari makan Rahmat sebagai vokalis utamanya. Komposisi muzik LY ini cukup kuat acuan muzik 90-an yang cukup digilai ketika diedarkan sehingga hari ini masih diraikan didengarkan.
SEGALANYA PASTI (AIDA AGIL)
Aida Agil cemerlang dalam memberikan sesuatu yang cukup besar jiwanya di lagu ini. “Segalanya Pasti” ciptaan Awang BPR sebuah penghasilan melodi yang cukup memberi justifikasi yang baik untuk Aida Agil menyerlahkan segala kemampuan vokal yang dimiliki. Cukup mahal dan tersendiri.
GEMURUH (SEARCH)
Gemuruh menjadi anthem Search dan Wings dalam meneruskan momentum muzik Rock tempatan dengan acuan muzik yang cukup hebat. Lagu ini bergerak dalam dua jiwa besar kugiran terbesar Rock tempatan dengan komposisi muzik M. Nasir yang benar-benar membebaskan jiwa radikal kedua-dua vokalinya.
RATNAKU (ROY)
Soloist yang cukup dikenali dengan rangkaian lagu-lagu Patriotik ini menghasilkan album solonya perdananya yang diterbitkan bersama oleh M. Nasir, Jenny Chin dan Arab. “Ratnaku” menjadi hits yang membuatkan Roy cukup dikenali sehingga hari ini. Kolaborasi M. Nasir bersama Loloq dalam menghasilkan melodi serta lirik lagu ini benar-benar menyerlahkan sisi sebenar vokal Roy.
UNTUKMU SELAMANYA (VISA)
Sebuah lagi kumpulan Pop tempatan yang memiliki momen gemilang sepanjang 90-an. Visa bersama Happy Records menghasilkan beberapa hits utama antaranya “Untuk Selamanya” dan “Dalam Gerimis” yang cukup digilai sekitar 1993 dan 1994. “Untukmu Selamanya” menjadi hits perdana buat mereka mencuri perhatian pendengar tempatan.
MENGERTI (KRU)
Mencipta kelainan di era 90-an, gelombang Rap dibawakan oleh trio bersaudara ini dengan rencah rasa lirik berbahasa Malaysia menjadi KRU perhatian ketika “Mengerti” diedarkan. Momentum muziknya benar-benar memecah tembok pasaran muzik Balada dengan memberi kepelbagaian yang diperlukan pasaran muzik tempatan ketika ia diedarkan.
ARTIKEL BERKAITAN