
Lagu: Aku Rindu
Artis: Isyana Sarasvati
Komposer / Lirik: Isyana Sarasvati / Rara Sekar
Produser: Lafa Pratomo
Karier bermuzik Isyana melejit laju meninggalkan terus apa yang pasaran semasa mahukan daripadanya. Hasilnya jelas dalam lima tahun kebelakangan ini dengan penghasilan album “LEXICON” dan “ISYANA” yang meletakkan Isyana di fasa berbeza.
Ilham Klasikal dan Rock disatukan dalam persembahan muzik yang janggal dengan apa yang ada di pasaran muzik popular namun tetap dihasilkan demi kepuasan bermuzik pastinya. Dan dengan cara itu saya kira Isyana cukup matang hari ini membentuk karier muziknya.
Setelah cukup lama menghadirkan muzik yang cukup keras, Isyana kembali mellow dengan persembahan terbaru, “Aku Rindu” yang datang dengan persembahan melankolik yang membuai rasa.
Lagu ini diilhamkan sepenuhnya Isyana bersama Rara Sekar dengan bantuan produksi muzik, Lafa Pratomo yang banyak bekerja dalam penghasilan lagu-lagu Isyana sebelum ini.
Kelembutan suara Isyana dirasai kembali di lagu, tiada lagi riff gitar yang keras, “Aku Rindu” datang dengan Piano Folk yang bercerita lewat emosi melodi dan persembahan vokal Isyana.
Penulisan liriknya sayu dalam cerita pengharapan. “Semakin dekat kumerasa jauh // Saling menatap Mengadu pilu // Hati yang hampa ini pun luluh // Mengejar gelap bayang-bayangmu.” sebelum berhujung “Sampai bertemu lagi // Dengan dirimu kasih // Semoga bersama lagi // Dengan dirimu kasih.“
7/10
ARTIKEL BERKAITAN