#PerspektifMuzik,

#RoadtoAJL32 10 Lagu Malar Segar Yang Terlepas Peluang ke Pentas Akhir Juara Lagu

Menyorot gemilangnya Juara Lagu sebagai sebuah pesta muzik komersil yang dinantikan saban tahun sehingga usia tiga dekad hari ini, tidak siapa mampu menyangkal prestij dan pentingnya AJL sebagai penanda aras siapa yang terbaik dan terpopular sepanjang tahun.

Sebetulnya konsep yang digunakan program Muzik-Muzik ini dengan memberi peluang lagu yang popular untuk diiktiraf sebagai yang terbaik ada relevannya. Saya melihat konsep ini sebagai sesuatu yang equaldalam mencari yang seimbang – nilai komersil dan nilai seni muziknya.

Berbanding Anugerah Industri Muzik yang seratus peratus menggunakan logik dan genius juri berpengalaman, Juara Lagu bagi saya lebih adil untuk semua – yang popular dan yang terbaik. Tetapi di hujung ceritanya, hanya yang terbaik akan diangkat sebagai sebagai juara.

Dalam entri kali ini kami ingin menyenaraikan 10 lagu malar segar dan yang memiliki komposisi muzik terbaik yang terlepas peluang menjadi sebahagian finalis Juara Lagu.

 

AKU CINTA AKU RINDU / AJAI & NURUL
Komposer: Ajai
Penulis lirik: Nurul

Aku Cinta Aku Rindu lengkap sebagai naskhah balada yang cukup baik.  Penciptaan melodinya ketika dipasarkan cukup original sekali. Aku Cinta Aku Rindu tewas pada lagu Purnama Merindu (Siti), Syurga di Hati Kita (Ziana), Hanya Satu (Nora) dan Aku Tetap Aku (Shima). Fakta yang lebih menarik, lagu ini mengungguli lagu terbaik AIM meminggirkan jauh keempat-empat lagu yang ke Juara Lagu tahun tersebut.

SEDALAM MANA CINTAMU / SAFURA
Komposer: LY
Penulis lirik: Baiduri

Sesetangah lagu penciptaannya saja sudah memiliki faktor malar segar. Sedalam Mana Cintamu salah satu dalam jutaan lagu yang ada faktor itu. Dan sebetulnya bukan mudah untuk mana-mana pencipta dapat magis dalam mencari formula lagu evergreen. Biarpun menurut saya lagu ini bukanlah cukup asli penciptaannya tetapi Sedalam Mana Cintamu ketika diedarkan memberi sedikit suntikan berbeza dalam formula baladanya.

DI PENJARA JANJI / AWIE
Komposer: Yann
Penulis lirik: Kristo Bimbo

Di Penjara Janji cukup besar sifatnya dan jiwanya. Ia datang dengan komposisi yang mendahulukan emosi dan disokong dengan penciptaan melodi serta penulisan lirik yang menyatu sangat baik untuk menjadi naskhah malar segar. Saya kira sehingga hari ini hanya beberapa lagu sahaja yang punya sifat begini. Antara lainnya, Nur Nilam Sari yang ditulis M.Nasir dan Sinar tulisan Mus May yang turut pentas akhir Juara Lagu.

KESETIAAN / SARAH
Komposer: Ajai
Penulis lirik: Musrad

Sebuah lagi lagu hebat ciptaan Ajai yang terlepas ke pentas akhir Juara Lagu. Kesetiaan cukup sifat sebagai balada merdu yang begitu hebat sekali penghasilannya. Feel Sarah dalam lagu ini memberi justifikasi yang baik dalam penciptaan lagu ini. Sehingga hari ini saya masih pelik mengapa lagu ini terlepas peluang tetapi untuk menidakkan kehebatan pesaingnya seperti Bunga-Bunga Cinta, Sinar, Selagi Ada Cinta dan Keabadian Cinta jauh sekali. Apa yang pasti jika tahun ini dimansuhkan konsep Kategori saya pasti Kesetiaan dengan mudah dapat ke final AJL.

PERGILAH SAYANG / KORIE & ELLA

Komposer & Lirik:  Korie

Masterpiece ciptaan Korie yang menjadi antara lagu duet paling popular sepanjang zaman. Feel lagu ini cukup romantis, korusnya catchy, melodi keseluruhannya cukup senang menangkap pendengaran pada saat pertama mendengar. Pendek kata lagu ini punya formula komersil yang cukup tinggi.

PUTUS TERPAKSA / ZIANA ZAIN
Komposer: Saari Amri

Tahun yang sama Ziana ke semi final dengan lagu Anggapanmu tetapi tewas ke final untuk kedua-dua lagu. Putus Terpaksa naskhah besar sifatnya untuk mengendong idea Balada lokal yang akan sentiasa ada pengikutnya dan segala jenis magis begini hanya Saari Amri sahaja yang mampu melakukannya.

JESNITA / EXISTS
Komposer: Harun Ahmad
Penulis lirik: G-Nola

Exists antara kugiran Pop terbaik sepanjang zaman yang kita ada. Dari zaman Mamat sehingga Ezad mereka tidak pernah lolos untuk tidak ke final AJL. Jesnita dicalonkan ke final bersama Julia tapi sejujurnya saya kira originality yang ada pada Jesnita lebih tebal berbanding Julia yang terlalu kuat pengaruh brit pop.  Dan ya lagu ini masih segar dan sedap didengar sehingga hari ini.

TITIAN PERJALANAN
Komposer: Izo
Penulis lirik: JS Kevin

Saya memilih Titian Perjalanan kerana keupayaan lagu ini untuk disatukan dengan susunan string dalam persembahan live. Melodi lagu ini saja sudah cukup kuat sebagai wakil sentimental rock tapi tewas dengan balada Di Persimpangan Dilema, Lamunan Terhenti, Di Pintu Mahligai dan juara lagu tahun tersebut Cinta Beralih Arah.

CINTA TAK KENAL SIAPA / ARIS ARIWATAN
Komposer & Lirik: Saari Amri

Kraf lagu ini bergerak antara balada dan irama Melayu yang cukup menyentuh. Melodi dan lirik lagu ini menyatu baik dan berdiri sendiri. Tidak banyak naskhah balada begini yang punya jiwa Melayu yang pure begini. Penghayatan Aris dalam lagu ini melengkapkan segala bentuk kesempurnaan yang ada.

MERENUNG BULAN / AISHAH
Komposer: Jari
Penulis lirik: Habsah Hassan

Lirik lagu ini sahaja saya kira sudah meninggalkan jauh pesaingnya yang lain. Bait puitis Habsah Hassan tidak pernah mengecewakan namun kolaborasi kedua Jari dan Habsah Hassan untuk Aishah setelah kejayaan Cinta Beralih Arah tidak dapat diteruskan. Mungkin juga atas faktor susunan muzik buat Kool yang diubah sedikit menjadi faktor lagu ini terpinggir.

#PerspektifMuzik, Terkini,

Pop Masa Depan – Cerita Tiga Bakat Ali Aiman, Kuizz Shah & Alif

Dalam entri kali ini saya ingin bercakap tentang tiga bakat muda yang punya potensi besar untuk membentuk pasaran muzik lokal ke tahap yang lebih berkelas dan global. Biar bukan terlalu baru dalam pasaran muzik tetapi dengan segala potensi yang ada boleh dikembangkan bagi membantu meluaskan lagi spektrum muzik tempatan supaya tidak lagi stuck dengan idea serupa.

Kenapa hal ini penting?
Sebab kita ketinggalan sangat jauh dengan Indonesia. Melihat betapa besarnya penerimaan terhadap bakat urban seperti Dipha Barus (Best Dance Production), Adrian Khalif (Best Rap Hip-Hop), Teddy Ahitya (Best New Comer), Soundwave, Eva Celia dan lain-lainnya yang diterima baik bukan sahaja di pentas anugerah tetapi secara menyeluruh – radio, strim digital, konsert dan sosial media.

Malaysia bukan tiada bakat yang sebagus nama-nama yang saya sebut di atas cuma pendedahan serupa sahaja yang tidak diberi. Media Melayu khususnya bagai tidak berminat untuk menulis tentang bakat-bakat yang keluar daripada kepompong pasaran tipikal balada Melayu.

Jadi di ruang kecil yang ada kami di Muzik Kita berharap dapat memberi anda sedikit sebanyak input yang boleh kami kongsikan tentang bakat-bakat yang terpinggir ini. Semoga bermanfaat untuk semua.


ALI AIMAN mula merilis single pertamanya di iTunes dan Spotify berjudul Jangan Kau Pulang pada tahun 2013 feel Pop pengaruh Dewa 19. Selepas itu, Ali mengubah corak muziknya daripada Pop kepada elektronik dan downtempo ala James Blake.

Maka lahirlah debut yang cukup solid sempurna berjudul Overture yang diedarkan sekitar 2014. Ketika EP ini menjengah pasaran digital Ali mengubah landskap muzik indie tempatan dengan sentuhan produksi muzik kelas satu.

Dengarkan saja bagaimana lagu-lagu seperti Breathe, Every Little Things, Armour & Glass, Always dan all time favorite saya Pavane For a Dead Princess yang dipakejkan menjadi satu pengalaman menikmati muzik TEMPATAN yang cukup membanggakan.

2016 Ali Aiman kembali dengan EP kedua yang lebih matang dan bersifat komersil. Lagu seperti Cover You (Duet Talitha Tan) dan Morning Sun bergerak dalam prisma muzik yang saya kira cukup global dan besar sifatnya untuk dipasarkan secara besar-besaran.


KUIZZ SHAH mula mendapat perhatian di SoundCloud dengan single Uncool yang berlegar di strim digital sekitar 2016. Selepas itu langkah Kuizz melangkah sehingga hari ini dia menjadi Top 2 Asia’s Dream Come True yang dianjurkan Spotify bersama Air Asia mengetepikan bakat lain dari Jakarta dan Singapura.

Apa yang lebih menarik adalah peluang untuk Kuizz bersama produser terkemuka David Foster dalam sesi mentoring session Asia’s Dream Come True. Single perdana Kuizz selepas Uncool berlegar tahun lalu dengan judul Silence.

Bakat Kuizz dalam muzik cukup menyeluruh daripada mencipta lagu, menyanyi sehingga produksi muzik lengkap. Seperti Ali Aiman, Kuizz bakat yang tahu akan krafnya sebagai pemuzik tanpa berkompromi dengan kualiti yang biasa-biasa. Semuanya cukup solid!

Dipha Barus sudah menjejak pasaran massa dengan kolaborasi bintang besar seperti Bunga Cinta Lestari dan Titi DJ – saya kira tidak mustahil juga untuk Kuizz mendapat perhatian bakat tempatan seperti Yuna dan Dayang Nurfaizah.

Antara produksi besar yang mendapat sentuhan Kuizz setakat ini adalah single Aina Abdul – Reminiscing dan album solo kedua Bil Musa berjudul Young Adult. Mendengar lagu-lagunya, saya kira Kuizz faham pasaran semasa global dan bijak dalam melokalkan bunyian yang diciptanya.

ALIF bukan nama baru bidang muzik tempatan tetapi Alif sejujurnya semakin matang sebagai produser muda yang punya kelebihan dalam merencana corak muziknya. Saya sebetulnya mula tertarik dengan Alif ketika dia merangka Bukan Hal Aku (Kaka) yang ketika dipasarkan bagi saya cukup segar sekali.

Kemudian Alif datang bersama single solonya Mama namun tidak begitu mendapat perhatian. Perjalanan muziknya belum terhenti. Selepas Bukan Hal Aku, Alif bersama Kaka menghasilkan Terima Kasih dan yang terbaru Kembali.


Alif baru-baru ini tampil dengan single terbarunya Buat Selamanya dan turut menjadi individu penting dalam single terbaru Joe Flizzow – Drop yang juga baru diedarkan sebulan lalu.

Satu perkara yang saya suka tentang Alif adalah cara dia menulis bait lirik yang menyatu baik dengan melodi yang disusun. Biar hanya menggunakan Bahasa bual seharian, lagu-lagunya tidak kedengaran pretentious atau mencuba.

Terus terang saya benar-benar mahu melihat tiga bakat ini bersinar tahun ini. Saya kira Alif sudah berada di landasan yang betul cuma dia perlu lebih diterima luas.

Saya juga berharap agak Kuizz Shah dan Ali Aiman dapat melakukakn kolaborasi besar bersama bintang ternama supaya setidaknya satu kaki sudah melangkah ke persada mainstream. Yang tinggal hanyalah usaha tanpa putus asa dan tidak sesekali berhenti.

Rujuk sahaja bagaimana Too Phat mendapat perhatian besar saat mereka melokal-kan hip-hop dengan anthem Anak Anak sehinggalah mendapat perhatian Biduanita Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza untuk merakam lagu duet bersama.

Gerakan sebegini harus diperluaskan untuk mengembangkan pasaran muzik hari ini yang semakin ke belakang. Jika tiada yang mahu memulakan saya kira selamanya kita akan terkandas dan terus tertinggal jauh dengan apa yang Jakarta ada hari ini.


ARTIKEL BERKAITAN

Zamaera Menebar Nota-Nota Masa Depan Nan Cerah Dalam Persembahan Muzik Kelas Satu “Z”

#RetrospektifMuzik,

10 (Sebelas) Lagu Siti Nurhaliza Ini Patut Dirakam & Dirilis Semula

Ada beberapa entri yang admin tertangguh sebetulnya #BetariSeni: Aishah dan #Soundwave – 3 Pemuzik Masa Hadapan Tempatan. Tapi bila dah masuk ulang tahunnya Siti rasanya kita harus bagi ruang sedikit meraikan bintang hati yang satu ini.

Saya rasa sekecil manapun minat terhadap Siti pada setiap pada kita ada lagu daripadanya yang menjadi kegemaran. Begitulah luar biasanya Siti.

Satu Cinta Dua Jiwa antara lagu awal all time favorite admin. Very Pop and current ketika dipasarkan.

Berikut 10 (Actually sebelas sebab tak boleh buang satu pun) Lagu yang kami rasakan patut dirakam atau dirilis semula menjadi satu album yang solid dan powerful. Kenapa? Kerana keindahan penciptaan melodi serta nilai komersil yang masih relevan untuk dipasarkan.

SEBENAR CINTA
Album: E.M.A.S
Komposer: Ajai
Penulis lirik: Siti Nurhaliza

Struktur lagu ini menampilkan sisi cukup moden seorang Siti Nurhaliza. Feel, vokal dan sebutan Siti sangat sedap dalam lagu ciptaan Ajai yang amat catchy ini. Saya sering mengharapkan Siti menyanyikan lagu ini dalam persembahan konsert nya tapi amat jarang dapat mendengar. Ini antara fast track terbaik Siti selain ciptaan Damien & Lah – Siti Situ Sana Sini.

BERADU DI KHAYALAN
Album: Safa
Komposer: Aubrey Suwito
Lirik: Tisha

Saya kira jika lagu ini dirakam semula dengan susunan muzik full string yang dikendali Aubrey, Beradu di Khayalan mampu jadi naskhah yang besar. Suara Siti dengan lagu begini menyatu sempurna.

GELORA KASIH
Album: The Best of Siti Nurhaliza
Komposer: Fauzi Marzuki
Lirik: Lukman S

Fauzi Marzuki saya kira bijak membaca air suara Siti. Gelora Kasih membawa persembahan vokal Siti pada tahap yang cukup baik dan moden. Feel R&B dalam lagu ini masih segar didengar biar sehingga hari ini.

SALJU KASIHN-NYA
Album: Pancawarna
Komposer: Adnan Abu Hassan
Penulis lirik: Hani MJ

Lagu ini sudah berusia hampir 20 tahun sejak diedarkan pada 1999 dan sehingga hari ini saya masih terbuai sayu dan beremosi dengan persembahan vokal cemerlang Siti. Pancawarna antara album yang banyak lagu dengan nilai komersil yang tinggi tetapi tidak diberi justifikasi untuk didengar dengan lebih meluas. This piece will always be my personal favourite. Vokal Siti pada tahap paling lepas, paling sedap!

BICARA LUKA
Album: Siti Nurhaliza
Komposer: Fauzi Marzuki
Penulis lirik: Amran Omar

Feel soul dalam lagu ini jika dibikin semula dengan susunan yang lebih soulful (rif-rif gitar blues) mampu jadi trak yang sangat besar jiwanya. Dengar alunan merdu Siti mengalun bait “Tak ubah sandiwara memukau hanyalah di depan mata…”  Bam!

BULAN YANG MESRA
Album: Lentera Timur
Komposer: Khairil Johari Johar
Penulis Lirik: Zubir Ali

Membaca teks lirik Zubir Ali bagai satu persembahan puisi nan puitis. Susunan kata-katanya kemas dan berseni. Bait “Nur makrifat yang menyala, senyum malaikat sang kekasih…” menyatu baik dengan melodi yang cukup lembut ditulis Khairil Johari Johar.

CINTAMU
Album: Hadiah Daripada Hati
Komposer: Sharon Paul
Penulis lirik: Ahmad Fedtri Yahya

Ketika lagu ini diterbitkan sekitar 2007, imaginasi saya jauh membayangkan lagu ini bakal jadi the next Aku Cinta Padamu. Struktur lagu ini serupa dengan ACP tapi lebih solid, merdu dan sweet. Lagu cinta

TANPAMU
Album: CTKD
Komposer: Charly ST12
Penulis lirik: Charly ST12

Ini lagu ‘leman’ yang paling syahdu, mendayu dan meleleh sekali. Value untuk lagu ini popular sekarang sangat tinggi. Mungkin masa dirilis lagu ini tidaklah begitu memonopoli pasaran, tapi peluang Tanpamu duet Siti bersama Krisdayanti ini untuk laku keras hari ini sangat besar.

RUPANYA KITA SERUPA
Album: Transkripsi
Komposer: Cat Farish
Penulis lirik: Cat Farish

Lagu ini sentiasa ada dalam playlist lagu-lagu waktu hujan saya. Karakter vokal Siti dengan flawless falsetto dan sebutan cara tersendirinya itu buat trak ini sangat memikat sekali. Jarang dapat dengar Siti tenang dalam merdunya.

SEKIAN LAMA
Album: Hadiah Daripada Hati
Komposer: Azlan Abu Hassan
Penulis lirik: Azalea

Bila orang tanya apa lagu terbaik Siti pada saya. Tanpa perlu fikir lama Sekian Lama adalah jawapannya. Formula Disney song dalam melodi Azlan Abu Hassan saya kira cukup serasi dengan corak vokal Siti. Saya sering membayangkan lagu ini dipersembahkan dalam persembahan live full string pasti merinding sekali dibuatnya. Lagu ini tidaklah terlalu dikenali dikalangan kelompok bukan pendengar Siti tapi saya percaya jika dipasarkan semula ia mampu memikat sesiapa sahaja. Saya berharap satu hari Siti dapat rakam lebih lagi lagu daripada Azlan Abu Hassan.

KU MENUNGGU
Album: Prasasti Seni
Komposer: Aidit Alfian
Penulis lirik: Habsah Hassan

Paling lembut, merdu dan membuai. Ku Menunggu antara jenisan lagu yang benar-benar menyerlahkan vokal Siti pada tahap paling baik. Sebuah lagi lagu yang saya sering bayangkan betapa indahnya dipersembahkan dalam orkestra lengkap.


ARTIKEL BERKAITAN

#RetrospektifMuzik 17 Tahun “Kirana” Sebagai Naskhah Pop Yang Maha Hebat

Review,

Young Adults – Well Grown Bil! Persembahan Pop Urban Secukup Rasa

Meneliti pasaran muzik niche seperti indie dan urban lokal saya kira Malaysia tidak pernah haus dengan anak-anak muda yang sentiasa mahu melakukan sesuatu yang keluar daripada kepompong muzik Melayu yang tipikal.

Mungkin daripada segi skala evolusi muzik kita agak kecil berbanding negara seberang Indonesia yang hari ini mampu bangga dengan Dipha Barus, Adrian Khalif, Teddy Adhitya, Teza Sumandra, Eva Celia dan Rinnie Wulandri umpamanya.

Namun saya kira kita masih bertuah memiliki syarikat rakaman lokal seperti Yuna Room Records yang sentiasa mahu memasarkan karya-karya yang datangnya daripada anak muda seperti Bil Musa ini umpamanya.

Setelah debut self-titled yang diedarkan sekitar tahun 2015, Bil tahun lalu muncul dengan dua single perdana yang turut dimuatkan dalam album keduanya berjudul Young Adults ini. Dua single yang saya maksudkan adalah No More Excuse dan Adakah Ini yang cukup kuat pengaruh Yuna sebetulnya. But that’s really ok Bil.

Album ini dibuka dengan trak No More Excuse yang begitu Mannequin sekali acuan muziknya diikuti trak Owe It All to You yang ada semua elemen magical, fantasy feel sampailah masuk ke korusnya yang betul-betul buat saya melayang dengan struktur melodi lagu ini. This is definitely my repeat mode track dalam album ini.

Adakah Ini pure ballad yang saya kira agak predictable tetapi saya sangat sukakan penulisan lirik lagu ini. Seawal bait “Berbual hingga larut malam, Tiada malu tiada segan, Diselimuti dengan keselesaan, Keadaan ini sungguh mengancam.” Saya sudah khayal dengan pengucapan Bil yang betul-betul masuk jiwanya. Segala magis keindahan Adakah Ini diteruskan dalam sebuah lagu lagu terbaik album ini berjudul Sejarah yang juga begitu baik penghasilannya.

Saya begitu sukakan transisi daripada satu lagu ke satu lagu yang lain. Ia ibarat satu journey perasaan dalam melodi-melodi yang indah dan sedap didengar berserta cerita cinta, angan-angan muda-mudi dalam penulisan liriknya. Hal-hal ini anda boleh dapat dalam hampir kesemua lagu terutama sekali track I Wanna Dance, 4 AM, Lay Me Down dan Nineteen.

Apa yang pasti Young Adults membuktikan Bil semakin jelas dengan arah muziknya. Album ini kalau kena percaturannya dan pada masa yang sama mendapat sokongan skala besar pasaran massa saya kira Bil boleh merasa setidaknya masuk carta lagu 10 teratas radio.

Tapi bila saya fikir lagi, sebetulnya Bil boleh pergi jauh ke pasaran nusantara daripada fokus pasaran lokal sahaja sebab jadi juara dekat Malaysia ni apresiasinya sekejap sahaja. I do hope that Young Adults boleh bawa Bil keluar daripada pasaran lokal. Tak kisah sekecil mana pun festival muzik luar sana dan evolve lah menjadi pemuzik yang lebih matang dan bijak di masa depan. Sungguh!

#PerspektifMuzik,

#SeputarMuzik2017 Produksi Muzik Terbaik (Lagu Terbaik)

Kitaran Pop tempatan tahun ini tidaklah terlalu beragam atau punya evolusi skala besar tetapi kita masih bertuah masih memiliki anak muda yang serius dalam membuat muzik atas nama muzik itu sendiri tanpa berkompromi dengan corak pemasaran murah dan menjengkelkan.

Lagu bagi saya tidak perlu dan tidak patut diasosiasikan dengan peribadi penyanyi atau apa jua konteks yang keluar daripada seni pembikinan muzik itu sendiri. Penciptaan melodi yang bagus masih paksi utama sesebuah lagu itu diukur baik buruknya.

Penulisan lirik satu elemen lagi yang harus difikirkan pembikin muzik agar ia berkelas, puitis dan tidak merendahkan estetika Bahasa itu sendiri. Tidak salah menggunakan Bahasa bual asalkan ia disusun kemas dan bergerak atas aliran cerita yang baik. Dalam hal ini saya suka untuk merujuk penulisan Alif dalam lirik Buat Selamanya yang menggunakan Bahasa bual yang disusun kemas sekali.

Paling puitis tentu sahaja tulisan Imran bersama Najwa dalam Sentiasa Merinding – ibarat teks puisi yang dimelodikan dengan cukup indah sekali. Bait-bait “Ku tak perlu cintamu berterma bersyarat / ku tak perlu kasih sayang yang berdinding-dinding…” Matang sebagai sebuah persembahan Pop yang luar biasa.

Revolusi melodi Melayu dalam Sentiasa Merinding dimodenkan dengan efek bunyi serta susunan muzik yang cukup moden dan terkini. Ini naskhah paling bijak dalam rencana Pop semasa sepanjang tahun. Feel Najwa dan Imran masih berpaksi jiwa kemelayuan tetapi tidak konvensional atau terlalu meleleh mengambil ilham 90-an.

Banyak balada tahun ini tidak original bagi saya. Sekadar mencedok ilham Saari Amri, Adnan Abu Hassan, Eddie Hamid, Patrick Khamis yang dikitar semula. Jujur saya tidak ada masalah dengan Pop jiwang, leleh dan lentok sebab sebetulnya itulah jiwa kita. Tapi perlu ada jiwa, pembaharuan dan keaslian.

Evolusi harus ada dalam muzik jika bukan melodinya, susunannya, liriknya atau produksi keseluruhannya. Jika sekadar mahu meniru apa yang sudah ada, apa yang boleh dibanggakan? Sekadar juara semusim carta radio dan strim?

POP CARA “THE FAITHMEN” CORAK MODEN DALAM MELODI SYAHDU
The Faithmen – Faizal Tahir, Ezra Kong, Mike Chan dan Omar K (betulkan kalau salah) saya rasa banyak memberi warna dalam Pop semasa hari ini. Kolaborasi mereka bersama Aizat dalam Jangan Menangis bukti balada yang menyentuh itu tidak perlu jadi terlalu meleleh.

Faizal Tahir sekali lagi melakukan magis-magis hebatnya menerusi lagu Negaraku, Kulullhubbi dan Buta. Lagu Jangan (Aziz Harun), Sabar dan Demi Kita (Ismail Izzani) buat saya fikir masih ada bakat muda yang jiwa muziknya muda dan keluar daripada idea balada 90-an. Dua nama ini begitu baik sekali bakat yang mereka ada. Apa yang mereka perlu adalah masa untuk evolvesebagai pemuzik yang matang.

Selain Aziz dan Ismail, Hael tampil cukup solid dengan single Jampi yang saya letakkan sebagai naskhah luar biasa tahun ini. Saya sejujurnya tidak sabar menantikan magis seperti apa lagi yang bakal dia berikan pada kita.

Alif (The Good Fellas) selepas fasa SleeQ semakin matang, bijak dan berkelas. Sejak Bukan Hal Aku persembahan Kaka, Alif sudah saya letakkan sebagai produser muzik masa depan yang harus diberi perhatian. Lagu ciptaannya untuk Liyana Jasmay Selesa Tanpamu seriously not bad at all. Bunyi Pop yang cukup moden sekali garapannya. Cuma itulah sayangnya lagu ini tidak diberi justifikasi vokal yang baik.

Kembali (Kaka) sebuah lagi ciptaan Alif tahun ini bersama single solo perdananya selepas Mama tahun lalu dia muncul dengan Buat Selamanya. Lagu ini harus dijadikan rujukan muzik Pop melayu moden setidaknya dalam jangka masa tiga empat tahun mendatang (dengan lebih revolusi).

PRODUKSI MUZIK KELAS SATU – NOH, NORANIZA IDRIS, MONOLOQUE & AUBREY SUWITO
Tahun ini Noraniza Idris mengedarkan dua single Wangikanlah Hatimu yang cukup komersil penghasilannya (namun masih underrated) dan sebuah lagi produksi cukup kemas dalam lagu Permata Saadah.

Permata Saadah bergerak atas landasan muzik Zapin yang maha sempurna penghasilannya– daripada melodi, lirik, susunan string, vokal dan feel Noraniza Idris saya letak antara produksi muzik terbaik tahun ini. Namun potensi lagu ini untuk popular saya sifatkan sebagai sukar kerana ia sebuah naskhah berat yang cukup tinggi nilai estetika dan seni muziknya.

Sarawak (Noh Salleh) sebuah lagi lagu yang cukup hebat tahun ini. Namun seperti Permata Saadah, Sarawak bukan naskhah komersil yang biasa-biasa atau untuk pendengar biasa. Lagu-lagu begini menuntut citarasa tinggi, pendengaran yang tajam, pemerhatian terhadap muzik dan sudah tentu sistem bunyi yang mampu menangkap segala rakaman bunyi yang dilaksanakan.

Hal ini saya kira serupa dengan Jangan Puja Sampai Kecewa (Monologue) lagu Selagi Ada Waktu itu terlalu besar sifat produksinya dan jiwanya. A very good production!

Aubrey Suwito menutup tahun ini dengan sebuah album rakaman langsung bersama MPO. Bersandar Cinta yang ditulis dan disusun semula ketika konsert istimewa ini antara yang paling hebat sekali impak orkestranya. Everything about this track is haunting. I mean dengarkan sahaja betapa flawless nya suara Siti dalam versi live ini! Begitu juga persembahan Dayang menerusi Layarlah Kembali. Terbaik antara yang terbaik tahun ini.

SENARAI PENUH LAGU TERBAIK 2017
Saya sudah menyenarai pendek lagu-lagu terhebat 2017 dalam entri sebelum ini. Beberapa lagu cukup kuat sebetulnya menjadi naskhah terbaik dan popular. Orang tanya apa kriteria lagu yang bagus? Macam mana menilai lag itu bagus atau tidak?

Bagi saya hal ini jelas. Naskhah yang baik adalah naskhah yang seimbang. Antara nilai komersil, originality, estetika muzik, kualiti rakaman, penyampaian dan penulisan lirik. Semuanya harus seimbang dan seiring. Selain itu, saya selalu ingatkan semua pemuzik untuk capai formula evergreen!

Bukan apa lagu-lagu hari ini impaknya hanya semusim tidak banyak yang mampu bertahan lama. Mungkin juga kerana visinya untuk mendapat perhatian semata. Apa yang perlu ada dalam naskhah evergreen / malar segar?

Paling penting adalah melodi yang baik. Ini asas yang perlu ada pada penciptaan lagu yang mampu bertahan lama selain originality atau twist dalam intepretasi muzik lama yang dibarukan atau dimodenkan seiring peredaran muzik semasa (Contoh: Sentiasa Merinding dan Bunga)

Kalau setakat nak cedok idea lama dan bikin semula percayalah naskhah itu hanya mampu bertahan semusim sahaja. Saya bagi contoh Projector Band – Sudah Ku Tahu. Di mana letaknya lagu tersebut hari ini? Impaknya hanya semusim sahaja.

Dan kenapa radio masih pasang Sinaran (Sheila Majid), Gerimis Mengundang (Slam), Cindai (Siti) dan Slumber (OAG)? Jawapannya mudah, lagu-lagu ini ketika diterbitkan, datang sebagai satu ilham baru yang menjadi benchmark untuk ‘ditiru’ hit-hit berikutnya.

Hujah saya ini tidaklah seratus peratus betul dan legit. Tapi sebagai seorang pengamat muzik tempatan yang mendengar dan menulis tentang muzik secara serius saya kira nota-nota ini penting untuk kelangsungan muzik tempatan yang lebih berkelas.

Lihat sahaja Indonesia hari ini. Line-up seperti Tulus, Raisa, Payung Teduh, Dipha Barus, Adrian Khalif dan Rendy Pandugo dah cukup menjelaskan betapa jauhnya mereka meninggalkan kita daripada segi taste muzik itu sendiri. Tak perlu ulas panjang – lagu popular di sana adalah yang terbaik juga di sana.

Kita? Masih lagi sibuk nak jual gimik bangang yang sudahnya keluar cumicumicumi, ayam mee dan nakanakanakal kamu sangat nakal! (defak!)

Berikut senarai lagu yang kami angkat sebagai naskhah terbaik tahun ini. Naskhah yang seimbang antara nilai komersil dan estetika tetapi masih kekal jiwa Melayunya. Saya juga percaya senarai lagu dibawah mampu menjadi naskhah malar segar yang akan diulang dengar sentiasa.  #semogabermanfaat


JAMPI / HAEL HUSSAINI
Komposer & Lirik: Hael & Ezra Kong

Ini lagu terbaik tahun ini! Saya cuba mencari lagu mana lagi yang boleh melawan segala formula Pop Jampi sangat dasyat, namun saya tidak menemui mana-mana lagu Pop yang sehebat ini. Imaginasi saya luas melihat naskhah ini mengikut corak Pop Justin Timberlake, Mirrors. Cuba dengar betul-betul struktur lagu ini. SpiritJampi cukup luar biasa! Penciptaan melodi yang sangat baik, bait lirik yang kreatif (Baca: Ha Ha Ha Aku Ketawa) dan killer chorus-nya need to say more?Pertaruhan paling berjaya sepanjang tahun.

SENTIASA MERINDING
Komposer & Lirik: Najwa Mahiaddin / Imran Ajmain / Az Avex Azman

Kita perlukan lebih banyak lagu dalam acuan serupa untuk kembangkan sikit pasaran muzik yang sempit hari ini. Jiwa Melayu dalam Sentiasa Merinding sangat kuat dalam moden muziknya. Tiada apa yang kurang tentang lagu ini – secukup rasa ramuannya untuk berdiri sebagai naskhah yang cemerlang tahun ini.

WANGIKANLAH HATIMU / NORANIZA IDRIS
Komposer & Lirik: Amir Jahari / AG Coco / Ahmad Fedtri Yahya

Saya rasa Amir dan AG dah buat kerja yang cukup smartuntuk membawa irama Melayu pada tahap paling moden dan segar untuk dinikmati. Wangikanlah Hatimu berpaksi pada melodi yang catchy, punya festival feels dan bukti lagu melayu asli itu tidak terikat pada idea konvensional serta masih boleh diperbaharui seiring peredaran muzik semasa. Tahniah AG, Amir, Fedtri dan tentu saja our own queen Noraniza Idris.

RAPUH / NASTIA

Komposer & Lirik: Rudy Iskandar / Leo Azman / The Faithmen

Nastia kalau dibikin dengan betul setidaknya kita ada harapan untuk ada Coldplay Malaysia. Kugiran ini antara bakat yang sangat penting untuk kita pelihara. Muzik Nastia cukup kuat nuasnsa lokalnya tetapi bercitarasa besar. Nastia kugiran harapan yang mampu menjadi band pop yang boleh kita banggakan kerena mereka seimbang untuk cater market mass juga bawah tanah.

BUNGA / MASDO
Komposer & Lirik: Ali Sariah Masdo

The whole idea tentang transformasi The Lipstik ke Masdo adalah genius! Terlalu banyak potensi untuk disukai, digemari dan digilai. Formula swinging 60’s yang diadaptasi dengan citarasa muzik hari ini menjadikan Bunga antara naskhah paling catchy, mudah dan paling menghiburkan sepanjang tahun! Tak mungkin untuk kita tidak suka dengan lagu ini.

KU SEDIA / ELLA
Komposer & Lirik: Faizal Tahir / Ezra Kong / Omar K

Lagu ini membawa Ella ke satu tahap yang lebih baik dalam rencana kariernya. Jujur kali pertama mendengar Ku Sedia saya tidak boleh menebak ini karya battalion The Faithmen. Mereka smart dalam mengekalkan jiwa besar Ella dalam melodi Pop yang cukup berkelas ini.

RENJANA / NOH SALLEH
Komposer & Lirik: Noh Salleh / Rahne Putri

Noh kalau dia Indonesian saya rasa dia sudah sebaris Sore, Payung Teduh dan lain-lainnya. Renjana membawa Noh jauh meninggalkan mana-mana bakat solo lelaki tempatan hari ini dengan persembahan muzik kelas satu. Semua tentang idea menyiapkan Renjana sebagai sebuah naskhah muzik ada cukup sempurna sekali.

TERUS MENCINTAI / SITI NORDIANA
Komposer & Lirik: Nana Alias

Menolak Balada untuk diasosiasikan dengan masyarakat kita adalah sesuatu yang mustahil. Ramai orang marah banyak sangat balada 90-an dan ya sejujurnya saya juga pelik kenapa budak-budak sekarang nak buat muzik yang 10 – 20 tahun ke belakang. But when it comes to the right personuntuk mempersembahkan sebuah Balada yang jiwa melayu paling leman sekali, saya tidak mampu menolak naskhah ini. Siti Nordiana sepatutnya menjadi satu-satunya penyanyi wanita yang seharusnya mengendong ilham melodi begini. Kita tak perlukan yang lain-lain tu. Jiwa Nana dalam penyampaian lagu begini dasyat bagi saya. Dia tahu kraf muzik yang bagus untuknya dan yang paling penting Terus Mencintai ada struktur melodi yang sangat besar jiwanya.

#PerspektifMuzik,

#SeputarMuzik2017 Produksi Muzik Terbaik (Album Terbaik)

Prisma muzik tempatan tahun ini mengujakan dengan jumlah album penuh yang lebih banyak berbanding beberapa tahun sebelumnya. Dan apa yang lebih manis nama-nama senior dalam persada muzik menghasilkan album-album yang cukup solid kualitinya.

Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Sheila Majid, Ella, Search, Atilia, Noh dan Monoloque saya kira sudah melakukan tugas dan tanggungjawab mereka menghidupkan pasaran muzik yang lebih kompetitif dan beragam.

Saya secara peribadi sangat berterima kasih pada bakat muzik yang masih mahu melaburkan sejumlah wang yang besar untuk penghasilan album di saat generasi hari ini yang tidak lagi peduli tentang kepentingan fizikal album dan hanya mahu hiburan dalam bunyian semata-mata.

Album fizikal sangat penting sebagai portfolio yang boleh disimpan dan dibanggakan bagi satu jangka masa panjang. Hal-hal ini terbukti jelas pabila harga album Too Phat seperti 360 dan Whuttadilly dijual hampir RM500 untuk cetakan pertama hari ini.

Nilai serupa juga ditawarkan untuk album-album Butterfingers (Malayneum, Transcendence) dan Ning Baizura (Natural Woman) yang dianggap sebagai rare item atau saya sebut gems dalam pasaran muzik tempatan. (Anda boleh rujuk hal yang saya sebutkan ini dalam group FB: Group Jualan Kaset/EP/CD /LP Online)

Begitu tinggi sekali nilai album-album fizikal ini selepas lebih sedekad di pasaran yang dicari semula kerana tingginya kualiti muzik yang dipersembahkan. Ini belum lagi album-album artis 80-an seperti Wann, Sharifah Aini serta KRU, O@G, Ella (EL), Zainal Abidin (Gamal), Nora (Kirana) dan semua album Sheila Majid cetakan Jepun yang dijual pada harga lebih tinggi berbanding harga asal.

Value begini yang saya kira semakin tiada dalam perkembangan strim digital muzik. Sebagai seorang yang pernah bekerja secara langsung dalam industri strim muzik tempatan – saya melihat nilai sentimental pengedaran muzik secara digital hampir tiada.

Sense of belonging – perasaan memegang fizikal CD dengan inlay album serta membaca lirik, kredit dan pengalaman penyanyi dalam menghasilkan album itu tiada dalam pengedaran muzik secara digital.

Hal ini sangat penting bagi saya kerana dengan membaca inlay kita sebagai pendengar dapat terdidik secara tidak langsung tentang penghasilan sesebuah album dan pada masa yang sama lebih menghargai karya yang dihasilkan.

Sayangnya, generasi masa hadapan tidak lagi dapat merasai nilai-nilai ini andai penerbitan album fizikal dimatikan dengan pengaruh digital. Terus terang saya tidak memiliki ilmu muzik secara formal tetapi saya banyak belajar daripada membaca inlay dalam album. Siapa yang menulis, mencipta, siapa pula yang bermain gitar, drum dam siapa pula yang membuat susunan muzik menjadi seindah yang tercipta.

Excitement begini yang saya kira faktor penting mengapa muzik itu istimewa dan membuat kita dekat dengan setiap karya yang dihasilkan. Saya ulang sekali lagi sense of belonging – memegang, mendengar, membaca dan menjadi sebahagian daripada penghasilan album tersebut.

 

Dan saya yakin kerana hal-hal inilah membuatkan nama-nama senior seperti Ella, Search, Siti, Dayang dan Sheila masih menghasilkan album fizikal kerana mereka tahu akan nilai-nilai ini akan terus dihargai dalam masa sepuluh, dua puluh dan tiga puluh tahun akan datang. Sepertimana kita masih menikmati P.Ramlee, Sudirman, KRU dan Siti.

Album-album mereka akan terus menjadi rujukan kerana visibility itu masih ada. Dan satu perkara yang anda perlu tahu tentang strim digital adalah bergantung pada lesen yang dibayar. Jika syarikat pengedaran tidak lagi mahu meneruskan lesen digital maka lagu-lagu serta album-album ini akan diturunkan dan anda tidak lagi dapat menikmati muzik tersebut di platform digital (kecuali YouTube kerana tak perlu lesen).

Tahun lalu, Muzik Kita telah memilih Pitahati (Selamat Datang Ke Panggung Suara), Faizal Tahir (Anatomi), Anuar Zain (Self-titled), Estranged (Sepenuhnya), Ali Aiman (Circles) dan Altimet (Amboi) sebagai album terbaik 2016. Tahun ini hampir semuanya sudah ditulis review dalam posting sebelumnya dan kami menyenarai pendek 10 Album Terbaik tahun ini mengikut turutan seperti berikut. #semogabermanfaat

 


DAYANG NURFAIZAH
Produser: Aubrey Suwito / Ajai / Genervie Kam / Omar K / Hael / Ezra Kong / Aizat Amdan / Tam Spider

Kali terakhir kita memiliki sebuah killer album adalah debut Hafiz (2012) yang hampir kesemua lagu dalam album tersebut menjadi hit belaka. Dan setelah lima tahun Dayang Nurfaizah memecah rekod tersebut dengan album self-titled Balada sepenuhnya ini. Pada tahap ini saya fikir Dayang sudah bertemu formula tepat yang seimbang dengan apa yang pasaran mahu dengan apa yang dia sendiri mahu tanpa berkompromi dengan penghasilan lagu yang biasa-biasa. Album ini bergerak cukup cemerlang sebagai sebuah persembahan Pop terbaik sepanjang tahun!

ELLA / PEACE.LOVE.RINDU
Produser: M.Nasir / Edrie Hashim / Omar K / Ezra Kong / Sam Bunkface / AG Coco

Produksi album kelas satu yang meneruskan segala kehebatan album Ella U.S.A dan EL. Peace Love Rindu memiliki semua estetika muzik Ella sepanjang 32 tahun dalam pasaran muzik tempatan yang berjaya dimodenkan dengan cukup hebat sekali. Album ini bergerak sebagai satu pelayaran muzik cukup solid dalam persembahan penuh jiwa dan semangat Ella yang cukup kuat!

MALIQUE / TKO: PEJAMKAN MATA
Produser: Malique

Malique menyifatkan TKO sebagai album kompilasi. Tapi naskhah ini terlalu bagus untuk saya pinggirkan sebagai sebuah album yang hebat. Malique individu bijak merencana muziknya tanpa peduli apa yang pasaran mahukan. Malah saya fikir dialah yang berjaya mencorak Hip-Hop dalam acuan Melayu sehingga menjadi ikutan rapper baru yang mahu menjadi sehebatnya. Pejamkan Mata kental jiwa Pop Melayu nya dengan lirik geniusnya buat saya fikir siapa yang boleh menulis sepuitis Malique?

SHEILA MAJID / BONEKA
Produser: Sheila Majid / Tohpati / Irwan Simanjuntak / Jenny Chin

Boneka sebuah persembahan Pop malar segar bagi saya. Album ini berjalan atas aliran Pop Sheila yang sudah berusia lebih 30 tahun tetapi lebih polish, fun, seronok didengar. Dengar sahaja lagu-lagu seperti Boneka, Melukis Dunia dan Lebih Dewasa – saya kira lagu-lagu begini tidak akan kedengaran tua atau old-fashion malah ballad dalam album ini juga punya nilai evergreen yang cukup tinggi.

SEARCH / KATHARSIS
Produser: M.Nasir / Search

Seawal trak pembuka, Gagalista sehingga Bebas Liar – rif gitar keras, derum deram, sehingga feel penyampaian Amy Search dalam Katharsis tidak mengecewakan langsung. Sidang Kangaroo sahaja sudah menjadi bukti kugiran legenda ini seharusnya menjadi rujukan mana-mana anak muda yang mahu bikin rock dengan citarasa lokal yang berkelas. Nama Yang Kau Lupa antara lagu terbaik album ini yang membawa penjenamaan muzik Search berada di standard yang sangat tinggi.

NOH SALLEH / ANGIN KENCANG
Produser: Adink Permana / Romondo Gascaro

Album ini dibikin semula dengan cukup solid sekali. Saya sangat setuju dengan idea Noh merilis kembali Angin Kencang kerana terlalu banyak lagu dalam album ini yang potensinya cukup besar untuk dipasarkan dengan justice pemasaran yang betul. Dengan 3 lagu baru melengkapkan album ini Renjana, Mr. Polia dan produksi maha hebat Sarawak yang jauh membuat saya melayang kagum dengan kualitinya. Syabas Noh!

EYZA BAHRA / SUARA
Produser: DJ FUZZ

Seperti review saya sebelumnya, Eyza Bahra adalah Suara yang harus didengar! Everything about this album cukup tersendiri. Saya paling suka rendisi serba baru Kau Yang Ku Nanti (Yusni Hamid) yang punya elemen ska / reggae yang cukup fun juga karakter vokal Eyza yang cukup unik sekali. Pengisian Suara berkelas dan cukup ramuan rasanya.

MONOLOQUE / JANGAN PUJA SAMPAI KECEWA
Produser: loQue / Aiyad Sakti / Hafiz Ahmad

Biar secara peribadi saya lebih sukakan produksi album Jejak Tanah namun album ini memiliki sebuah lagu yang cukup besar jiwanya. Selagi Ada Waktu adalah lagu terbaik dalam album ini. Feel lagu ini luar biasa, penulisan Loque sekali buat saya kagum. Lagu ini ibarat satu kalam humanisme yang cukup religious digerakkan dengan penciptaan melodi yang bagus dan feel Loque yang baik dalam caranya tersendiri.

ATILIA / NO.3
Produser: Atilia / Jason Voo / TK / Adam Sofian

Saya sejujurnya gembira dengan kemunculan semula Atilia dengan album penuh No.3 ini. Seperti yang saya katakan sebelum ini Atilia evolve sebagai pemuzik juga penyanyi yang tahu apa terbaik buatnya. No.3 bukan untuk pendengar radio semasa atau yang masih mengharapkan esen Sangkar tetapi sempurna bagi mereka yang faham struktur karier muzik penyanyi ini.

ORKES A. HIZADIN
Produser: AG Coco

Kelebihan Orkes sebetulnya adalah pada penulisan lirik mereka. Segala kritikan sosial yang cukup real, brutal dan telus ada dalam teks lagu-lagu mereka. Untuk faham lebih dengan apa yang saya maksudkan anda boleh baca review maha panjang saya untuk debut kugiran ini.

#PerspektifMuzik,

#SeputarMuzik2017 Produksi Muzik Terbaik (Pop)

Faizal Tahir dan batalion Faithful Music tahun ini antara yang banyak menghasilkan karya Pop yang bermutu. Daripada karya Faizal sendiri sehingga kolaborasi nama besar seperti Aizat, Nastia, Caliph Buskers sehingga ratu Rock – Ella mencipta satu kosmik muzik Pop yang lebih segar dan terkini.

Hael Husaini saya angkat sebagai the next singer songwriter yang memiliki potensi yang cukup besar untuk berkembang sebagai penyanyi juga komposer. Selain Alif (SleeQ) yang sudah saya ulas dalam entri Produksi Muzik Urban. Berikut Pilian Pop Terbaik sepanjang tahun ini. Beberapa lagu dalam senarai ini akan diulas panjang bagi entri Produksi Muzik Terbaik (Lagu Terbaik) jadi saya hanya ulasan ringkas 10 Lagu Pop Terbaik untuk entri ini.

JAMPI / HAEL HUSSAINI
Komposer & Lirik: Hael & Ezra Kong

Hael bergerak solo dengan cukup cemerlang menerusi lagu ini yang saya kira sudah pasti semua mampu menikmatinya. Jampi harus menjadi benchmark Hael dalam menghasilkan single seterusnya dan pada masa yang sama menjadi cabaran besar buatnya untuk sustain dalam radar Pop serupa.

RAPUH / NASTIA
Komposer & Lirik: Rudy Iskandar / Leo Azman / The Faithmen

Saya kira Nastia sudah bertemu formula terbaik untuk rencana karier mereka sebagai pemuzik. Keputusan untuk bersama Faithful Music membawa arah lebih jelas band Pop ini untuk terus berjaya di masa depan.

SABAR / ISMAIL IZZANI
Komposer & Lirik: Omar K / Adib Hamdi / Ismail Izzani / Zyn

TBH Sabar lebih layak ke AJL berbanding beberapa lagu lain (Sebut:  Warkah Untukku) yang terlalu old fashion! Sabar sangat baik penciptaannya. Ia mengendong ilham Pop R&B yang sangat segar dan cantik komposisinya. Saya ulang lagu ini jauh lebih baik berbanding Warkah Untukku.

KU SEDIA / ELLA
Komposer & Lirik: Faizal Tahir / Ezra Kong / Omar K

Magis-magis The Faithmen diteruskan lagi dalam lagu hebat buat ratu Rock ini. Ku Sedia memberi definisi Pop yang cukup segar untuk Ella. Namun saya masih pelik lagu ini tidak mendapat high rotation di radio. This is a masterpiece! Baca review penuh dalam entri sebelumnya.

BONEKA / SHEILA MAJID
Komposer & Lirik: Kevin Chin / Irwan Simanjuntak

Sheila is a genius in music. Dia tahu apa yang baik untuknya, peminat dan kraf muzik yang akan didengar biar dalam masa sepuluh atau dua puluh tahun mendatang. Boneka akan meneruskan gemilangnya Dia, Sinaran, Warna, Memori, Tua Sebelum Waktu dan lain-lainnya. Tapi sayang generasi hari ini banyak yang tidak faham akan hal-hal yang saya hujahkan dalam review penuh album ini.

RENJANA / NOH SALLEH
Komposer & Lirik: Noh Salleh / Rahne Putri

Noh matang dalam segala perkara. Muziknya berkembang begitu drastik dan semakin baik sebetulnya. Renjana membuktikan sekali lagi Noh seorang legenda yang sedang dibikin. Selain Renjana saya terlalu terbuai dan melayang mendengar karya Sarawak yang ditulisnya dalam album pembikinan semula Angin Kencang yang diedar tahun ini.

KITA MANUSIA / DAIYAN TRISHA
Komposer & Lirik: Omar k / Daiyan Trisha

Terlalu banyak potensi yang sangat besar pada Daiyan. Angelic voice yang dimiliki Daiyan benar-benar dirasai dalam trak Kita Manusia yang diproduksi bersama Omar K ini. Pop Daiyan saya kira matang berbanding penyanyi muda seangkatannya yang lebih memilih menjual gimik berbanding muzik itu sendiri.

BUNGA / MASDO
Komposer & Lirik: Masdo

Masdo mampu mengubah piramid muzik tempatan kalau radio bagi peluang yang sama dengan apa yang mereka beri pada artis-artis FMC khususnya. Bunga bukan calang-calang komposisi. Melodi lagu ini punya potensi besar menjadi naskhah malar segar yang akan bertahan lama dipendengaran massa.

AKU BUKAN DEWA / HAZAMA & ALTIMET Komposer & Lirik: Hazama / Taja / Ad Samad

Selain Noh, saya kira Hazama seorang lagi bakat muda yang semakin bijak dalam percaturan muziknya. Aku Yang Sebenar dan Aku Bukan Dewa membawa Hazama ke tahap yang lebih tinggi dalam penghasilan muzik yang bukan sahaja komersil tetapi punya kualiti tinggi.

JATUH / SISSY IMANN
Komposer & Lirik: Sissy Imann / AG Coco

Sissy sudah mengalihkan perhatian saya padanya seawal single Mungkin Kamu yang beredar beberapa tahun lalu. Jatuh membawa Sissy ke tahap yang tersendiri. Tidak banyak bakat muda yang membawa idea Pop yang sedikit keluar daripada kepompong pop semasa. Bakat begini seharusnya kita angkat lebih tinggi. I mean dengar sahaja kualiti produksi Jatuh yang luar biasa sekali.

 

Uncategorized,

#SeputarMuzik2017 Produksi Muzik Terbaik (Balada)

Dua tahun kebelakangan ini menjadi tahun penting Balada dalam mendominasi kembali carta radio. Kitaran muzik selepas trend Pop YouTube (Najwa Latiff, Tasha Manshahar), indie dan hip-hop yang agak perlahan sambutannya tahun ini.
Nama-nama besar seperti Dayang Nurfaizah kembali kepada apa yang peminat mahukan iaitu Balada dan melupakan seketika segala beat beat rancak Dayang Sayang Kamu dan Inginku Miliki. Nama Mike Chan, Ezra Kong, Omar K, Haqiem Rusli dan Hael antara komposer yang paling aktif tahun ini mencipta hit semasa.
Kebangkitan semula Siti Nordiana semakin diterima cukup meluas. Tahun ini sahaja Nana berjaya rilis dua single dengan jayanya – Terus Mencintai (Siti Nordiana) dan duet bersama Jaclyn Victor (Hael, Mike Chan, Ezra Kong) melalui lagu Nisan Cinta. Pertaruhan Dato Siti menerusi Segala Perasaan (Ivan Lahardika) antara yang paling merdu.
Ajai antara senior yang masih aktif dalam mencipta lagu-lagu hit semasa. Separuh Matiku Bercinta (Dayang Nurfaizah) dan Akhirnya Cinta (Salma) dua lagu yang cukup cemerlang penciptaannya. Bakat baru seperti Haqiem Rusli, Ismail Izzani dan Hael antara yang paling cemerlang mendapat perhatian. Dan mungkin juga Wany Hasrita juga Tajul. (Saya tidak berminat dengan Floor 88)
Bernanah juga telinga saya seminggu dua Ini mendengar dan mencari balada yang baik. Daripada feel hebat Salma dalam Akhirnya Cinta sehingga balada paling worst Pertama Kali (Shaa). Berikut 10 Lagu Balada Terbaik Penghujung 2016 sehingga 2017
TERUS MENCINTAI / SITI NORDIANA
Komposer & Penulis Lirik: Nana Alias
This is how you do Leman songs. Dalam syahdu, merintih dan sayunya masih ada merdu yang menyentuh. Nana bijak dalam kraf yang dirasakan baik buatnya dan peminat khususnya sebab jika dia terus bikin lagu macam Pesanan Teragung (personallysaya lebih suka lagu ini) dia tidak bergerak atas landasan muziknya. Terus Mencintai bukan naskhah yang asli tetapi jiwa sebenar Nana begitu dirasai.
ANDAINYA TAKDIR / ANUAR ZAIN
Komposer & Penulis Lirik: Helen Yap & Habsah Hassan
Lagu ini beredar sekitar penghujung tahun 2016 dan sehingga Oktober hari ini saya menulis sambil mendengar lagu ini, saya masih lagi meremang, sedih dan sayu dengan balada ciptaan Helen Yap ini. Anuar Zain bijak dalam mencari formula Balada yang cukup indah penciptaannya dan ya, lirik paling puitis Habsah Hassan “Diriku air tenang mengalir, tuju muara…” itu masih buat saya goosebumps setiap kali mendengarnya. This is the most beautiful ballad this year!
AKHIRNYA CINTA / SALMA
Komposer & Penulis Lirik: Ajai & Slen
Ajai is the master of Ballad. Dia selalu punya satu formula yang baik mencipta melodi yang tepat dengan ability penyanyi yang menyampaikan lagu hasil tulisannya. Salma saya kira vokalis yang tahu bagaimana  mahu bercerita dalam nyanyiannya. Saya benar-benar merasi dan terbuai dengan lagu ini. Feel Salma saya bagi kredit teratas melebihi feel Dayang dalam SMKB.
TERGANTUNG SEPI / HAQIEM RUSLI
Komposer & Penulis Lirik: Goufran & Ibnu
Saya tak tahu mana datangnya Goufran dan Ibnu ini. Tetapi so farlagu-lagu ciptaan mereka agak dasyat juga penghasilan melodinya. Bagi saya duo ini faham apa yang pendengar lokal suka dan mahu. Memang agak mendayu (sangat mendayunya sebenarnya) tapi saya kira ini sudah sebati dan umpama paten muzik yang cukup sinonim dengan orang kita. Dan budak bernama Haqiem Rusli yang saya kenal masa kena buat lirik di aplikasi JOOX untuk single Segalanya ini punya masa depan yang cerah juga panjang hayatnya (kalau tak poyo).
SEGALA PERASAAN / SITI NURHALIZA
Komposer & Penulis Lirik: Ivan Lahardika
SimetriSiti sucks but this song is everything. Sepertimana judulnya, Segala Perasaan seperti itu jugalah tafsiran buat balada hebat ini. Saya benar-benar puas mendengar betapa merdunya nyanyian Siti menerusi lagu ini.
SEPARUH MATIKU BERCINTA / DAYANG NURFAIZAH
Komposer & Penulis Lirik: Ajai
Ajai mencorak SMKB dengan acuan balada era 2000. Tak ramai yang mampu menghasilkan melodi sebegini dan magis ini hanya ada pada Ajai. Lagu ini bukanlah terlalu bagus atau asli tetapi ia sebuah naskhah yang sarat dengan feel. Dari melodi, lirik dan vokal Dayang sendiri.
AKU CINTA / SYAMEL & ERNIE ZAKRI
Komposer & Penulis Lirik: Syamel
Penstrukturan komposisi dalam melodi Syamel sebetulnya banyak pengaruh 90-an. Aku Cinta dilengkapkan dengan kuasa vokal luar biasa Syamel dan Ernie yang menyatu cukup sempurna. Jika disuruh pilih duet terbaik tahun ini saya akan pilih duo ini. Dan saya kira if they do another duet songs pun bagus!
TERBUANG DALAM PELUKAN / BOB
Komposer & Penulis Lirik: Hafiz Hamidun / Bob
Sebahagian daripada lagu ini sebenarnya ada feel lagu-lagu james bond. Cuba dengar muzik di bahagian korus. Selebihnya, kehebatan lagu ini ada kerana vokal Bob yang begitu flawless sekali. Lagu ini tepat untuk meneruskan kelangsungan karier Bob di masa akan datang. Cuma perlu berlegar di radio secara berterusan sahaja untuk mengekalkan momentumnya. Tahniah Bob.
MENUNGGU BAYANGMU / ALYAH
Komposer & Penulis Lirik: Manusia Putih & Alyah
Lagu ini sebetulnya lengkap sebagai sebuah balada yang cukup baik meneruskan populariti Kisah Hati, dan Sesal Separuh Nyawa namun lagu ini kurang mendapat perhatian. Kenapa? Kerana formula berulang yang digunakan Alyah buat lagu ini sekadar sama serupa dengan lagu hitsnya yang lain. Namun saya tidak menidakkan struktur lagu ini cukup baik susunan muziknya.
MENANG / FAIZAL TAHIR
Komposer & Penulis Lirik: The Faithmen

Faizal Tahir bijak dalam mencari formula menerbitkan melodi yang sedap didengar dengan lirik yang menyempurnakan melodi ciptaannya itu. Menang yang dipetik daripada album Anatomi ini antara yang paling cemerlang pengolahan dalam penciptaan melodinya. Versi akustiknya juga not bad at all!
#PerspektifMuzik,

#SeputarMuzik2017 Produksi Muzik Terbaik (Urban)


Dalam kelangsungan Balada serta pemasaran gimik bangang mendominasi carta radio dan strim digital hari ini, saya kira kita harus berterima kasih buat anak-anak muda yang mahu memberi variasi dan berani melakukan sesuatu yang keluar daripada kepompong Balada copycat tetapi masih berjaya menghasilkan sesuatu yang seimbang antara nilai komersil dan estetika muzik.

Alif selepas fasa SleeQ saya kira antara yang semakin matang dalam penghasilan muziknya. Lihat sahaja lagu-lagu ciptaannya buat Kaka seperti Terima Kasih dan yang terbaru Kembali cukup groove, moden dan segar untuk pasaran tempatan

Nik Qistina, Eyza Bahra, Talitha Tan, Ali Aiman, Ismail Izzani dan Aziz Harun antara yang datang dengan sesuatu yang lebih segar dan up to date. Melodi mereka tidak terikat pada idea tipikal pop mendayu tetapi masih kental jiwa dan perasaan melayunya tanpa menjadi terlalu layu.

Nama-nama sedia teguh seperti Joe Flizzow, Malique, SonaOne dan Altimet masih kekal relevan dengan kehadiran naskhah yang semakin matang biar saya kira Altimet semakin provokatif dalam albumnya Amboi namun mungkin itu cara dia evolve sebagai pemuzik

Berikut lagu-lagu terbaik dalam sepanjang tahun ini yang memberi sedikit feel urban, groove namun masih kental dengan penciptaan melodi yang baik serta penulisan lirik yang puitis.

SENTIASA MERINDING / NJWA & IMRAN AJMAIN

Komposer & Lirik: Najwa Mahiaddin / Imran Ajmain / Az Avex Azman

This is the most poetic songs of the year. Lagu ini terlalu indah penciptaannya, revolusi diberi dalam susunan muziknya yang sangat moden dan segar sekali. Killer lagu ini selain daripada kolaborasi istimewa duo yang sangat sempurna ini tentu saja penulisan lirik yang paling indah pernah saya baca dan dengar tahun ini.

BUAT SELAMANYA / ALIF

Komposer & Lirik: Alif

Lagu ini mendapat perhatian saya seawal bait “Kenapa susah mengaku, yang kau perlukan aku…” Struktur muzik Alif sangat genius bagi saya. Dia bijak dalam penyatuan melodi dan lirik yang tidak kedengaran janggal sekali pun menggunakan bahasa bual dalam penulisan liriknya. Lagu ini sebetulnya sempurna sebagai naskhah PATUT popular yang datang dengan produksi muzik yang sangat kemas serta sangat-sangat sedap didengar.

KEMBALI / KAKA  

Komposer & Lirik: The Good Fellas

Sejak pertama kali kerjasama Kaka bersama The Good Fellas (Alif) menerusi Bukan Hal Aku diikuti Terima Kasih dan yang terkini Kembali – saya fikir Kaka antara pelapis muzik yang harus kita beri perhatian. Kembali masih kekal ilham Bukan Hal Aku dan Terima Kasih tetapi dengan produksi muzik yang lebih berkelas dan matang. This is definitely one of the best song this year!

DROP / JOE FLIZZOW

Komposer & Lirik: Alif & Joe Flizzow

Sebuah lagi lagu ciptaan Alif yang begitu hebat sekali. Kolaborasi bersama Joe dalam lagu ini cukup dahsyat sekali. Produksi ini berkelas antarabangsa. All that beat and groove buat saya fikir muzik kita sudah ke depan jauh sebenarnya meninggalkan semua katak-katak yang masih di bawah tempurung.

PULANG / YUNA & SONAONE

Komposer & Lirik: AG Coco / Yuna / SonaOne

Pulang bukan naskhah yang sukar untuk kita suka dan nikmati. Penyatuan muzik Yuna dan SonaOne diberi justifikasi secukupnya menerusi trak Pulang. Mungkin tidak se-solid penciptaan Alif namun Pulang saya kira membawa muzik kita terus ke depan dalam skala yang lebih besar, lebih komersil.

JUMPA LAGI / EYZA BAHRA & LAWA NIE GENG

Eyza Bahra is my ultimate fav new soloist. Selain daripada keunikan vokal yang dia miliki, Eyza punya citarasa muzik yang besar. Antara Hip-Hop, Pop dan Groove yang disulam baik. Lagu Jumpa Lagi bersama Lawa Nie Geng salah satu lagu yang hebat dalam debutnya berjudul suara selain rakaman semula Kau Yang Kunanti nyanyian asal Yusni Hamid.

YOUNG HEARTS / NIK QISTINA

Komposer & Lirik: Choong Jee Yan / Kieran Kuek

Kieran Kuek bukan nama baru dalam memberi groovedalam lagu-lagu lokal. Awal tahun 2000 dia menghasilkan beberapa trak R&B buat Jaclyn Victor menersi lagu seperti Cepat-Cepat, Star dan Jealous. Young Hearts sebuah lagu yang sempurna untuk bakat seperti Nik Qistina dan ini seharusnya menjadi benchmark untuk Nik Qistina dalam penghasilan single seterusnya.

PLEASE STAY / TALITHA TAN

Komposer & Lirik: Talitha Tan & Tatsuro Miller

Meneruskan kesinambungan Okay, Please Stay bergerak seiring dengan single pertama bakat baru ini. Talitha punya citarasa muzik yang baik serta imej yang mampu membawa dia pergi lebih jauh. Cuma jika dia mahu sustainperlu ada formula yang lain dan sedikit berbeza kerana jika mahu berbekal dua lagu ini saya kira jalan Talitha akan tergantung di tengahnya.

PEJAMKAN MATA / MALIQUE & DAYANG NURFAIZAH

Komposer & Lirik: Malique

Kelebihan Malique sudah tentu pada patah katanya dalam mencipta bait-bait yang cukup meaningful. Melodi Malique masih berlegar ilham Teman Pengganti – rendisi pop 90-an pada korus yang diberi twist pada rap yang cukup solid. Formula yang digunakan Malique ini paling bijak untuk cater semua pasaran muzik – baik yang suka Aiman Tino sehinggalah kelompok-kelompok bawah tanah.

 

#PerspektifMuzik,

#SeputarMuzik2017 Produksi Muzik Terbaik (Persembahan Vokal)

Vokal masih lagi menjadi instrumen penting untuk dinilai dalam muzik. Tahun ini sahaja senarai vokalis hebat daripada Siti, Dayang, Bob sehingga nama-nama baru seperti Syamel, Haqiem Rusli dan Ernie Zakri telah membuktikan sesuatu yang baik untuk dibanggakan.

Saya paling tertarik dengan Ernie Zakri yang hampir pasti menempah tiket untuk terus dikenali sepanjang 2018 begitu juga dengan Hael Hussaini yang punya kelebihan tersendiri dalam corak penyampaian lagunya Jampi.

Kembalinya Idayu dan Bob dengan single masing-masing menyemarakkan kebangkitan penyanyi yang berbakat besar. Cuma saya tidak faham kenapa sokongan yang diberikan pada mereka hanya dalam pertandingan sahaja. Naskhah Bob cukup solid namun single studio idayu berjudul Selamanya itu tidak fully justice. Perhaps dalam masa terdekat Idayu akan keluar another single.

Rangkuman muzik 2017 diteruskan bagi kategori vokal dan berikut senarai pendek vokal terbaik sepanjang tahun pilihan Muzik Kita. Buat adik-adik yang sibuk nak nyanyi guna auto-tune tu dengar betul-betul senarai lagu dekat bawah ni lepas tu belajar ok!

ANDAINYA TAKDIR / ANUAR ZAIN
Intensity dan dinamik vokal Anuar Zain dalam menyampaikan perasaannya menerusi teks Habsah Hassan dalam trak ini begitu hebat sekali. Saya kira Andainya Takdir karya Helen Yap memang dibikin khusus untuk Anuar. Saya pasti jika naskhah ini ditangan penyanyi lain tidak menjadi sehebat ini.

LAGU UNTUK LAILA / AKIM (ATM)
Akim bermain dengan karakter dalam penyampaiannya seiring dengan teks lirik yang ditulis. Dia bijak dalam beberapa bahagian yang harus ditutur merdu (Bait: Pukau dengan kejelitaan dari dahulu / Dan bebas terbang di udara) dan di bahagian yang dinyanyikan dengan sedap (Bait: Memang dunia tidak adil untuk kita…) Dan momentum vokal Akim semakin menaik ke hujung lagu. Okey pergi dengar sekarang!

PERMATA SAADAH / NORANIZA IDRIS
Meremangnya saya saat kali pertama mendengar persembahan maha sempurna legenda muzik irama Melayu menerusi lagu Permata Saadah ini. Air lagu serta perasaan Noraniza Idris dalam zapin yang cukup indah dicipta Rosli Selasih ini saya angkat antara naskhah paling cemerlang tahun ini.

AKU CINTA / SYAMEL & ERNIE ZAKRI
The best duo this year. Syamel dan Ernie patut fikir untuk duet seterusnya. Chemistry mereka dalam Aku Cinta begitu baik sekali emosinya, penyampaiannya dan memberi justifikasi secukupnya untuk lagu ciptaan Syamel ini. Saya tidak sabar melihat persembahan live mereka di AJL nanti.

AKHIRNYA CINTA / SALMA
Salma penyanyi yang sangat-sangat baik. Dia bijak dalam permainan suara dan emosi yang tidak melebih-lebih. Persembahan vokal Salma menerusi Akhirnya Cinta begitu kemas sekali – perjalanan vokalnya daripad verse ke korus dan dihujungnya cukup merdu sekali.

SEGALA PERASAAN / SITI NURHALIZA

Bagilah lagu apa pun pada Siti memang akan sedap. But this one paling sedap, paling merdu dan paling merinding. Saya sukakan segala kejelasan butir bait yang disebut Siti sangat-sangat jelas dan penuh perasaan seperti mana judulnya lagu ini. Melodi lagu ini saja sudah cukup buat saya melayang.

TERBUANG DALAM PELUKAN / BOB YUSUF
Flawless. Dengar betul-betul bagaimana Bob melantun bait-bait korus tanpa perlu auto-tune! Melodi lagu ini memberi seratus peratus justifikasi pada vokal Bob yang serba hebat ini. Saya berharap kita tidak hanya mengakui bakatnya di mulut sahaja. Lagu ni pun layak berada dalam carta teratas lagu popular seperti yang lain.

SEPARUH MATIKU BERCINTA / DAYANG NURFAIZAH
Momen-momen cemerlang Dayang diteruskan lagi pada tahun ini dengan kelahiran album penuh yang menampilkan lagu Separuh Matiku Bercinta yang cukup deep ini. Saya pasti semua pun tahu akan kebolehan Dayang melakukan sesuatu yang lebih besar dalam versi live berbanding studio. Dan ya, ini juga yang kita semua nantikan di pentas AJL nanti.

TERGANTUNG SEPI / HAQIEM RUSLI
Haqiem ada banyak potensi dalam dirinya untuk jadi bakat yang mampu bertahan lama (kalau tak poyo, sombong dan mendongak langit) Vokalnya sangat original dan raw. Segalanya dan Tergantung Sepi bukti anak muda ini sangat pandai menyanyi dan bijak dalam mewarna nyanyiannya. Tapi kerisauan saya hanya satu kalau dia tak pandai bawa diri dan hanyut, di tengah gemilangnya nama Haqiem Rusli ini akan tergantung sepilah jawabnya.

SELAMANYA / IDAYU 
Merdunya suara Idayu dengan segala skil nyanyian yang dimiliki saya pasti tiada siapa yang mahu menyangkal. Lagu ini benar lagu yang baik sebagai naskhah juara biar ia tidaklah seratus peratus menerbitkan segala kehebatan Idayu. Tapi saya pasti ini hanya permulaan untuk Idayu back in track.