Semakin disenangi sebagai kugiran Pop yang sentiasa dinantikan karya-karya terbaru mereka, Juicy Luicy meniti populariti dengan rangkaian hits mereka seperti “Tanpa Tergesa”, “Lantas” dan “Terlalu Tinggi”.
Berjalan semakin meyakinkan, mereka menghadirkan sebuah lagi lagu terbaru yang diberi judul “Tampar” yang masih lagi hadir dalam acuan muzik Pop mereka yang cukup menyenangkan. Aliran gitar akustik yang diselang-seli dengan iringan string di pertengahan ke hujung lagu melarutkan perasaan pendengar dengan melodi yang tercipta.
Mendengarkan Juicy Luicy itu harus hadir dengan pengalaman menikmati penulisan lirik mereka yang cukup kuat mengalihkan pendengaran kita. Bait seperti “Berdosa kah kuberdoa, minta kau terluka.” terhasil cukup berani dalam perbicaraan jiwa manusia.
Lagu ini sangat tidak sukar untuk buat kita enjoy menikmatinya. Korusnya menawan, mengikat pendengaran dengan alunan merdu vokalis yang minimal tetapi masih membuai rasa. Juicy Luicy saya kira sudah siap sebagai sebuah kugiran masa depan Indonesia yang akan sentiasa didengarkan berganti generasi.
Lagu: Kisah Sempurna Artis: Mahalini Komposer / Lirik: Marco Steffiano / Mahalini / Keke Kenata / Adrian Rahmat Purwanto
Meiniti populariti yang tidak berhenti sejak fenomenanya single “Melawan Restu” dan “Sisa Rasa”, nama bakat baru Mahalini yang lebih awal dilihat kelibatnya di pentas Indonesian Idol ini cukup dirasai dikalangan generasi muda hari ini.
Pertaruhan Balada yang bersulam melodi dan lirik yang cukup sinonim dengan jiwa-jiwa lara berjaya mengikat pendengaran ramai untuk melekat dengan pertaruhan melodinya.
Terkini menzahirkan sebuah lagi Balada berjudul “Kisah Sempurna” , Mahalini bekerjasama dengan barisan produser muda menggelar diri mereka S/EEK dalam sebuah persembahan Indo Pop yang masih cukup kuat pengaruh Balada yang biasa kita dengar di pasaran muzik semasa.
Kelebihan Mahalini dalam memberi rasayang secukupnya dalam penyampaian vokalnya menjadikan “Kisah Sempurna” terhasil cukup menyenangkan. Tidak sukar saya kira untuk ramai pendengar menyukai lagu ini biar pun menurut saya penghasilan keseluruhan lagu ini tidaklah terhasil terlalu berbeza dengan apa yang sedia ada di pasaran.
Progres melodinya mengikut template muzik sedia ada namun kelembutan yang ada di lagu ini pastinya mampu membuat kita senang untuk melayani perasaan dan jiwa yang ada. “Kisah Sempurna” saya pasti mampu memberi kejayaan berterusan buat Mahalini untuk kekal dalam radar popular muzik Indonesia.
Lagu: Sadar Artis: Budak Nakal Hujung Simpang Komposer / Lirik: John Bear / Syed H. Daniel
Kugiran Ska dan Reggae, Budak Nakal Hujung Simpang dalam pasaran muzik indie mungkin bukan nama asing dalam memikat pendengaran penggemar mereka. Pasaran muzik Ska Reggae begini juga bukanlah asing di pasaran mainstream. Sudah beberapa kali menawan pasaran komersial.
Ditubuhkan sekitar 2015, BNHS sudah memiliki sebuah album “Bumantara” yang berisi lima lagu sebelum merilis beberapa single seperti “Labu” dan “Mista Pollution” dalam rangka muzik mengutuhkan nama mereka di pasaran muzik tempatan.
Terkini BNHS yang dalam proses mengedarkan album kedua mereka mengedarkan sebuah single terbaru “Sadar” ciptaan Syed Daniel bersama John Bear.
Hadir dalam acuan muzik Ska yang menjadi kelebihan buat mereka, lagu ini terisi sarat pesan humanisme dalam penulisan liriknya yang pendek tetapi tajam dalam konteks kritikan sosialnya.
Bait awal liriknya saja sudah dibuka dengan persoalan besar “Dirasuk rindu, Mencari diri”. Pengisian berat begini menjadi pertaruhan perdana BNHS dalam memikat pendengar muzik semasa dengan pencalonan Muzik-Muzik baru-baru ini.
Mendengarkan “Sadar” membuatkan saya mahu mendengarkan kembali “Labu” yang menurut saya lebih baik acuan komersialnya untuk pendengar Pop seperti saya. “Sadar” kurang daya pengikat dengan sekali pendengaran berbanding “Labu” yang sangat catchy dan menghiburkan dengan durasi yang lebih pendek.
Pengaruh Slam dalam pasaran muzik Pop tempatan 90-an antara yang sudah terisi dalam sejarah muzik tempatan. Populariti mereka sebagai Pop band yang menjual ilham Balada dan moderate Pop yang disatukan dengan penghasilan melodi yang dekat dengan jiwa pendengar Melayu khususnya memberi kelebihan untuk mereka sangat bersinar ketika itu.
Dengan rangkaian album yang berawal pada tahun 1994 dengan mengambil judul self-titled sebagai percaturan membawa nama mereka begitu mencuri perhatian ketika album kedua “Kesan Terbukti” (1995) dengan hits “Tak Mungkin Berpaling”, “Manisnya Rindu”, “Kembali Terjalin” dan “Nur Kasih” menjadikan Slam sebagai the future of pop band ketika itu.
Tidak terikat dengan album studio sahaja, Slam utuh sebagai band yang cukup aktif di pentas konsert dan mengalbumkan naskhah konsert tersebut dalam pengalaman audio. Namun dalam kembara bermuzik mereka sepanjang 90-an album “Kembali Merindu” saya sifatkan sebagai sebuah album paling solid yang pernah mereka siapkan.
“Kembali Merindu” diproduksi sendiri tenaga band ini dengan bantuan produser berpengalaman (dan terbaik ketika itu) seperti Saari Amri, Johari Teh dan Ramli M.S dengan kelolaan Johan Aziz. Maka dengan kolaborasi hebat individu-individu hebat dalam muzik ini terhasillah “Kembali Merindu”.
Dibuka dengan melodi emas Saari Amri menerusi “Malam Ku Kesiangan” menjual jiwa Zamani dalam penyampaian vokalnya yang lunak merdu. Saari Amri di album ini saya kira telah menghadirkan naskhah yang terbaik yang dihasilkan dengan sangat indah. Melodinya lebih tersusun kemas dengan bait lirik dan produksi muzik yang tastefully produced.
Saya mesti mengatakan bahawa vokal Zamani sangat membantu untuk menyedapkan hampir kesemua lagu yang ada di album ini. Sebuah lagi lagu ciptaan Saari Amri yang cukup baik adalah “Kembali Merindu” yang hadir lebih Pop. Lagu ini cukup evergreen saya kira – didengar sehingga hari ini masih bernadi dan tidak canggung merentasi batas masa.
Slam saya kira di album ini sudah jelas dengan arah muzik mereka. Setiap lagu diisi dengan tertib agar tidak ada satu pun yang mampu kita sebagai pendengar mahu skip. “Suratan” (Kamal Halim) antara yang paling mellow di album ini dan saya malah tertarik dengan penghasilan melodi Zamani menerusi lagu “Masih Ada Cahaya” yang keluar daripada kepompong Balada mereka.
Killer album ini tentu saja kita letakkan “Jika Kau Rasa Getarnya” karya Johari Teh yang saya pasti biar sehingga hari ini masih ramai yang mendengarkannya selain “Kita Terpaksa Bermusuhan” yang masih menjadi antara all time favorite saya di album ini.
Kesemua rangkaian lagu-lagu Slam kini boleh anda nikmati di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
Suki Low antara bakat bukan Melayu alaf baru yang berjaya memasuki pasaran mainstream dengan kelebihan menyanyikan lagu-lagu berbahasa Malaysia dengan sangat baik. Kalau saya tidak tahu hits “Terlalu Mencintaimu” itu miliknya hampir sukar untuk menebak ia dinyanyi sebaik itu olehnya.
Namun rezeki Suki untuk sustain dalam pasaran mainstream itu adalah hal yang datang dengan naik turunnya. Setelah penghasilan album perdananya menampilkan sentuhan Pop Audi Mok menerusi album tersebut dia bergerak agak perlahan sehingga “Terlalu Mencintaimu” diedarkan.
Dan perlahan-lahan selepas hits tersebut Suki seperti memperlahankan langkah bermuziknya yang saya pasti jika dia teruskan pasti mampu membuka ruang yang luas untuk dia bergerak dalam skala yang lebih luas dalam pasaran muzik tempatan.
Apa yang jadi setelah itu namanya perlahan-lahan kabut dalam riuhnya mendatang bakat-bakat baru dan muda yang lebih progresif percaturan pemasaran muzik mereka. Namun begitu jika anda pengikut muzik tempatan, Suki akan sentiasa di ingatan.
Kemunculannya di pentas Gegar Vaganza tahun lalu mengembalikan segala keyakinan kita terhadap bakat bermuzik dan berpentasnya. Suki sangat menyinar setiap minggu dengan suara yang masih sedap, persembahan yang semakin kreatif dan pastinya kematangannya sebagai penyanyi itu jelas terbukti saban minggu.
Sudah dari awal diduga bakal menjadi finalis, nama Suki meluncur cemerlang di pentas akhir. Tanpa mengecewakan penggemarnya, biar tidak bergelar juara Suki saya kira sudah memuaskan hati semua yang rindu melihatnya kembali menyanyi.
Lahir terkini lagu terbarunya berjudul “Nelangsa” yang membawa maksud terlalu sedih, dihasilkan Farouk Roman bersama Senna dalam acuan Balada yang biasa kita dengar yang pernah dihasilkan Farouk sepanjang dia bermuzik.
Hadir dengan ilham big ballad yang dikemaskan dengan persembahan vokal Suki yang begitu beremosi. Penceritaannya dalam melodi lagu yang terhasil benar-benar memberi kelebihan untuk lagu ini menyerlah tersendiri.
Saya tidaklah begitu tertarik dengan penghasilan melodinya yang kurang daya pengikat tetapi justifikasi yang diberikan dalam persembahan vokal Suki sangat baik dan harus diberi pujian. Feel “melayu” nya juga sampai dalam memaknakan isi cerita pada lirik yang tertulis.
Umum mengetahui pasaran muzik Tradisi Melayu hari ini impaknya tidak lagi sebesar era kegemilangan 50-an – 70-an Ketika Sharifah Aini, Kamariah Noor atau Saloma merayakan dengan suara merdu mereka.
Dan apa yang pasti juga era arwah Pak Ngah meninggikan standard lagu-lagu Zapin, Inang dan Joget agak payah untuk kembali mencuri perhatian pendengar baru setidaknya dalam masa terdekat ini.
Saya kira ini hakikat yang menyedihkan dan tidak berhujung jika mahu dibicarakan. Apa yang pasti muzik harus evolve seiring citarasa pasaran muzik semasa. Dan begitu juga muzik Tradisi Melayu yang saya kira harus digerakkan dengan cara lebih kekinian. Approach baru dalam ilham meninggikan standard teks lama itu yang harus difikirkan.
Usaha melestari dan meniggikan Tradisi Melayu menerusi muzik juga harus bergerak seiring pasaran muzik global. Dan sebetulnya gerakan ini sudah berjalan tetapi dalam skala yang sangat kecil dan tidak diangkat sepenuhnya.
Saya berbicara tentang beberapa usaha yang dilakukan bakat berjiwa besar seperti NJWA, Monoloque, Asmidar dan yang terkini Dayang Nurfaizah dalam usaha mereka meninggikan standard muzik Tradisi Melayu ke tahap yang lebih baik – tastefully produced.
NJWA menerusi “Seri Mersing” yang dirakam semula menerusi EP “Aurora” sudah memulakan langkah ini dengan memberi suntikan muzik moden dalam rencah Seri Mersing. Dan saya pasti apa yang dilakukan NJWA visinya adalah untuk melestarikan “Seri Mersing” sebagai naskhah Klasik yang harus terus diperdengarkan generasi baru dengan cara baru.
“Seri Mersing” itu sendiri jika dilihat sejarahnya sudah merentas zaman dari versi Saloma, Sharifah Aini, Kamariah Noor, Klthom, Fauziah Idris, Siti Nurhaliza dan sehingga NJWA semuanya diperbaharui dengan suntikan muzik yang sesuai dengan zaman.
NJWA dalam sebuah lagi rilis terbarunya “Togok” memanipulasi ilham asal instrumental melodi Gamelan menjadi sebuah naskhah yang cukup menarik untuk dinikmati.
Ada yang pernah mendengar “Seri Mersing” versi Alleycats? Jika belum silalah ke Spotify atau YouTube. Semuanya versi-versi ini diperbaharui mengikut zaman masing-masing. Asas melodinya masih sama, namun digubah susunan muziknya dengan tujuan meneruskan kelangsungan kehebatan lagu tersebut.
Hal modenisasi dalam muzik tradisi Melayu ini juga dilakukan Zainal Abidin Bersama Tan Sri S.M Salim menerusi lagu berjudul “Satu” dan lihat kebijaksanaan M.Nasir dalam memanipulasi Keroncong, Langgam dan Joget dalam lagu-lagunya.
NJWA tidak bersendirian dalam memberi suntikan baru muzik Tradisi Melayu ini. Asmidar Bersama Kugiran Keronchong Bilek Ayer merakamkan semula “Selamat Tinggal Bungaku” (Tan Sri S.M Salim) dalam ilham moden yang cukup segar penghasilannya.
Segala kemodenan bunyi dalam rendisi KBA masih dijaga keaslian melodi asalanya tanpa mengubah tetapi mencantikkan naskhah tersebut seiring dengan sound pasaran muzik global hari ini. Dan usaha yang sama diteruskan KBA menerusi lagu “Bahtera Merdeka” (Aishah) dan “Keroncong Hujan” (Adibah Noor).
Asmidar saya kira memang cukup memahami kepentingan melagukan Kembali naskhah Tradisi Melayu ini dengan cara baru, bunyi baru. Hal ini diteruskannya dalam lagu “Sireh Pinang” yang juga pernah dirakamkan Azlina Aziz.
Bersama MonoloQue Asmidar sekali lagi merakamkan lagu Tan Sri S.M Salim berjudul “Tak Seindah Wajah” yang saya letakkan sebagai naskhah rakaman terbaik tahun lalu. Cara Loque mengemas kembali perincian di lagu ini dengan isntrumen muzik yang pelbagai menjadikan versi ini antara yang cukup penting dalam sejarah baru muzik Tradisi Melayu.
MonoloQue juga menerusi album “Hikayat Halimunan” yang beredar sekitar 2011. Lagu seperti “Batu Belah Batu Konkrit” menampilkan Azlina Aziz hadir dengan bunyian Gamelan dan suntikan Keroncong dalam lagu “Penghormatan Terakhir” memberi ilham baru dan segar yang disatukan dengan bunyian signature MonoloQue.
Hal memperbaharui lagu-lagu Melayu klasik dan Tradisional ini sangat penting bagi saya untuk kelangsungan karya-karya emas ini untuk terus didengari berganti generasi. Apresiasi muzik tidak patut dihentikan.
Ushera seorang lagi bakat tempatan yang hadir dengan ilham Pop Klasik menerusi album perdananya b yang beredar sekitar 2016. Beberapa lagu di album ini seperti “Jikalau Abang Merindu” dan “Bunga Raya” mengambil ilham Klasik Melayu dengan cukup menarik sekali penghasilannya.
Jika di barat saya kira hal ini berterusan. Lihat sahaja bagaimana legasi Jazz Nat King Cole, Frank Sinatra, Billie Holiday atau Etta James masih dilagukan sehingga hari ini oleh generasi baru yang menggubah semula teks melodi asal dengan bunyi baru yang dekat dengan pendengar tempatan.
Dayang Nurfaizah Bersama Aubrey Suwito menerusi projek istimewa “Belagu” sudah melakukan hal serupa. Album ini digarap dengan cukup membanggakan sebagai sebuah apresiasi lagu-lagu lama ini untuk kekal diperdengarkan sehingga hari ini. Saya tidak sabar untuk anda semua menikmati betapa cantiknya susunan muzik Aubrey untuk lagu “Malam Ku Bermimpi” yang cukup grand sekali penghasilannya.
Hal-hal modenisasi muzik Tradisi Melayu ini tentu saja sudah bermula dulu lagi. Masih ingat rencana Ning Baizura memberi suntikan moden di rakaman semula “Sayang Di Sayang” dan Aishah menerusi melodi “Jari-Jariku Sakit Semua” karya P.Ramlee? Kedua-dua lagu ini menjadi naskhah Fusion Traditional yang dirangka dengan cukup menarik.
Usaha ini harus diteruskan lebih ramai bakat-bakat muzik hari ini. Namun saya juga faham tidak semua punya visi yang sama dengan NJWA, Asmidar, MonoloQue juga Dayang dalam memberi tafsiran segar muzik Tradisi Melayu lama dengan sentuhan moden. Dan ya tidak ramai pendengar yang terbuka dengan idea ini.
Sebagai pendengar anda perlu faham kegemilangan muzik Tradisi Melayu itu bukan hanya ada di era Pak Ngah sahaja.
Tolehlah sedikit ke belakang. Dengarkan album-album hebat seperti “Lela Manja” (Sharifah Aini & Hamzah Dolmat), “Bimbang” (Saloma), “Phoenix Bangkit” (M.Nasir) dan “Sawo Matang” (Noraniza Idris) – di sini anda dapat lihat betapa besarnya skop muzik Tradisi Melayu itu.
Atau lihatlah usaha yang dilakukan anak-anak muda seperti Alena Murang meninggikan instrumen muzik Sape dalam ilham Etnik yang cukup authentic sekali hasilnya. Sang Rawi juga antara kugiran baru yang tinggi nilai estetika muzik Melayu dalam penghasilan lagu-lagu mereka.
Ia hanya menuntut kebijaksanaan dan kerajinan untuk anda sebagai pemuzik mengkaji juga memanipulasi muzik ini mengikut peredaran zaman yang berganti. Saya pasti juga apa yang dilakukan NJWA, MonoloQue juga Asmidar menerusi sound baru the brand new traditional ini ada yang tidak akan menyokong.
Tetapi percayalah muzik itu harus evolve seiring pasaran semasa apa yang penting akar muziknya dijaga baik. Demi mengutuhkan dan meneruskan keunikan muzik tradisi Melayu itu perubahan harus juga dilakukan.
Lagu: Lip Lap Raya Artis: Siti Nurhaliza Komposer / Lirik: Ajay Amai / Mike Chan / Glow Rush / Karim Karam Produser: Mike Chan / Glow Rush
“Ikhlas” yang diedarkan pada tahun 2019 persembahan Siti bersama rakan penyanyi Indonesia Nissa Sabyan dan soloist popular Singapura Taufik Batisah antara yang terhasil dalam produksi muzik yang cukup matang dan current ketika diedarkan.
Penulisan liriknya juga sangat baik menjadikan ia sebagai arah baru Pop Kerohanian yang harus menjadi benchmark dalam penghasilan lagu keraian dalam nafas serba baru. “Ikhlas” antara senarai lagu wajib meraikan perayaan yang akan saya ulang dengar setiap kali menjelma Ramadan dan Syawal.
Setelah itu persembahan lagu Raya Siti terhenti seketika sebelum menzahirkan lagu terbaru yang berjudul “Lip Lap Raya” yang hadir baru-baru ini mengisi sebagai sebuah lagi lagu raya yang melengkapi diskografi lagu-lagu raya popularnya sejak “Sesuci Lebaran” yang sudah menjadi the classic hari ini.
“Lip Lap Raya” terhasil daripada tenaga pemuzik muda Ajay Amai, Karim Karam, Glow Rush dan dikepalai Mike Chan. Dizahirkan dalam sebuah naskhah Pop Raya yang datang dengan feel festive lebaran yang cukup menghiburkan. Lagu ini tidak sukar untuk membuat kita suka dengan sekali pendengaran sahaja.
Daya pengikatnya dibaluti oleh melodi dan penulisan lirik yang sangat mudah diingati. Esen lagu-lagu raya Siti yang biasa kita dengar dalam lagu-lagu Pop Raya sebelumnya cukup kuat dengan dikemaskan susunan muziknya menjadi lebih kekinian dan relevan dengan pasaran muzik hari ini. Elemen Dikir Barat di hujung lagu memberi warna menarik sebagai pengisian lagu ini.
Universal Music Malaysia yang cukup pantas dalam menzahirkan rangkaian Pop Raya tahun ini dengan beberapa rilis yang cukup menarik. Setelah kolaborasi YonnyBoii, Kmy Kmo dan Luca Sickta menerusi rakaman semula “Balik Kampung” muncul beberapa lagi lagu lain yang nyata memeriahkan pasaran Pop Raya tahun ini.
Kolaborasi berikut yang ditampilkan adalah gabungan tiga penyanyi wanita Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha dan Sophia Liana menerusi single “Raya Terbaik” hasil ciptaan bersama komposer muda Ja’a, Ajay Amai dan Bani Basyishar.
Dizahirkan sebagai naskhah yang fun dan ringan. Adunan muzik tradisional dengan instrumentasi moden memberi rencah baru dalam pengalaman menikmati lagu raya. “Raya Terbaik” menggabungkan tiga suara yang saya sifatkan awkwardly matched – menyatu dalam perbezaan identiti dengan baik.
Korusnya terhasil cukup menarik dan seronok untuk dinikmati berulang dengar. Dalam durasi 2 minit lebih saya kira its a fun way untuk menikmati rasa nostalgia raya dengan cara baru.
Kemeriahan sambutan perayaan tahun ini benar-benar diraikan dengan rilis-rilis baru yang sama ada rangkaian lagu-lagu ciptaan baru juga naskhah-naskhah Pop Raya terdahulu yang dirakam semula dengan rendisi terbaru yang terhasil serba moden.
Terkini giliran kolaborasi pemuzik muda YonnyBoii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Asyraf Nasir dan Siqma meraikan kembali nyanyian asal Sudirma menerusi hits malar segar “Balik Kampung”. Dirakam kembali dengan kemasan muzik semasa dalam pengaruh Hip-Hop yang menjadi signature muzik bakat-bakat muda ini.
Lagu ini terhasil cukup menarik dalam kemasan Pop yang cukup menarik untuk diraikan tahun ini. Melodi muzik asal dikekalkan dan ditambah dengan ruang Rap yang dibahagikan beberapa bahagian lagu ini terisi cukup segar dan menarik untuk dinikmati.
Penulisan lirik kesemua yang terlibat di lagu ini terisi dengan cara mereka sendiri. YonnyBoii dalam baitnya menulis “Ketibaanku perjalananku ditemaninya radio irama shahdu buat ku rindu” sebelum Kmy Kmo menutup dengan “Ku peluk erat ayah dan ibu, Hari raya yang penuh ceria, Akhirnya kita semua bersama.”
Nama Ahmadi Hassan dalam pasaran muzik 60-an 70-an pernah menyinggah dengan beberapa EP yang diterbitkan oleh M.Shariff bagi memeriahkan lagi jaluran muzik tersebut. Namun impak Ahmadi Hassan tidaklah begitu dirasai sebagai penyanyi Pop Yeh Yeh, dia lebih dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu ketuhanan.
Digelar dan dikenali di kalangan pengamat muzik sebagai Pak Chat, dia memulakan karier dalam bidang radio sebagai perantara drama radio sebelum menemukan peluangnya untuk bergelar penyanyi. EP “Ke Mana Mona” yang diedarkan pada tahun 1975 menjadi titik tolaknya bergelar penyanyi secara komersial.
Album kolaborasi bersama kugiran The Zurah itu membuka ruang dan peluang buatnya untuk lebih dikenali. Setelah itu bersama M.Shariff yang masih menerbitkan album-albumnya terhasil beberapa lagi EP seperti “Di Mana Kau Berada”, “Hanya Bayangan” dan “Kerunsingan”.
Ahmadi Hassan kemudiannya aktif dalam penghasilan lagu-lagu ketuhanan menerusi pengahsilan album “Iman Manusia” yang diterbitkan pada tahun 1980 di bawah label muzik NSR ketika itu. Menampilkan lagu seperti “Imannya Manusia”, “Bila Lagi”, dan “Kehidupan & Perjalanan”.
Dia yang mula mendapat tawaran nyanyian oleh M.Shariff ketika terlibat dalam pembikinan drama bersiri “Fajar di Bumi Permata” membawanya ke medan popular ketika itu. Percubaan menyanyikan lagu-lagu Hindi, Pop Yeh-Yeh menerusi penghasilan EP dan single untuk siaran radio RTM ketika itu.
Sepanjang berkarier Ahmadi Hassan menghasilkan lebih 8 album berunsur ketuhanan dengan infusi Nasyid Padang Pasir yang meletakkan namanya selepas fasa bersama pengurusan M.Shariff untuk lebih dikenali sebagai penyanyi Nasyid.
Sempat merakamkan sebuah album penuh berbahasa Arab yang penerbitannya dibuat di Cairo dengan judul “Samrah Ya Samrah” yang diedarkan pada lewat tahun 80-an. Namun album tersebut tidaklah begitu diberi perhatian media dan penggemar muzik ketika diedarkan sehingga membuatkan album tersebut sepi tanpa sambutan dan tidak diperkatakan.
Terakhir muncul dengan album berjudul “Bahagia Berkasih“, Ahmadi Hassan memperoleh trofi Album Nasyid Terbaik di pesta muzik Anugerah Muzik Indonesia ke-14. Kemenangan terakhir itu dinikmatinya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Ahmadi Hassan telah kembali ke Rahmatullah pada 17 Februari 2010 kerana komplikasi buah pinggang. Semasa hayatnya, Ahmadi Hassan berpeluang merakamkan 16 buah album berentak hindustan serta 8 buah album Pop dan Nasyid.