
Lagu: Nelangsa
Artis: Suki Low
Komposer / Lirik: Farouk Roman / Senna
Suki Low antara bakat bukan Melayu alaf baru yang berjaya memasuki pasaran mainstream dengan kelebihan menyanyikan lagu-lagu berbahasa Malaysia dengan sangat baik. Kalau saya tidak tahu hits “Terlalu Mencintaimu” itu miliknya hampir sukar untuk menebak ia dinyanyi sebaik itu olehnya.
Namun rezeki Suki untuk sustain dalam pasaran mainstream itu adalah hal yang datang dengan naik turunnya. Setelah penghasilan album perdananya menampilkan sentuhan Pop Audi Mok menerusi album tersebut dia bergerak agak perlahan sehingga “Terlalu Mencintaimu” diedarkan.
Dan perlahan-lahan selepas hits tersebut Suki seperti memperlahankan langkah bermuziknya yang saya pasti jika dia teruskan pasti mampu membuka ruang yang luas untuk dia bergerak dalam skala yang lebih luas dalam pasaran muzik tempatan.
Apa yang jadi setelah itu namanya perlahan-lahan kabut dalam riuhnya mendatang bakat-bakat baru dan muda yang lebih progresif percaturan pemasaran muzik mereka. Namun begitu jika anda pengikut muzik tempatan, Suki akan sentiasa di ingatan.
Kemunculannya di pentas Gegar Vaganza tahun lalu mengembalikan segala keyakinan kita terhadap bakat bermuzik dan berpentasnya. Suki sangat menyinar setiap minggu dengan suara yang masih sedap, persembahan yang semakin kreatif dan pastinya kematangannya sebagai penyanyi itu jelas terbukti saban minggu.
Sudah dari awal diduga bakal menjadi finalis, nama Suki meluncur cemerlang di pentas akhir. Tanpa mengecewakan penggemarnya, biar tidak bergelar juara Suki saya kira sudah memuaskan hati semua yang rindu melihatnya kembali menyanyi.
Lahir terkini lagu terbarunya berjudul “Nelangsa” yang membawa maksud terlalu sedih, dihasilkan Farouk Roman bersama Senna dalam acuan Balada yang biasa kita dengar yang pernah dihasilkan Farouk sepanjang dia bermuzik.
Hadir dengan ilham big ballad yang dikemaskan dengan persembahan vokal Suki yang begitu beremosi. Penceritaannya dalam melodi lagu yang terhasil benar-benar memberi kelebihan untuk lagu ini menyerlah tersendiri.
Saya tidaklah begitu tertarik dengan penghasilan melodinya yang kurang daya pengikat tetapi justifikasi yang diberikan dalam persembahan vokal Suki sangat baik dan harus diberi pujian. Feel “melayu” nya juga sampai dalam memaknakan isi cerita pada lirik yang tertulis.
4.7/10
ARTIKEL BERKAITAN
Kesyahduan Nikki Dalam Memikat Pasaran Semasa Dengan “Sudah”