Dayang Nurfaizah setelah hampir 24 tahun bermuzik masih utuh sebagai seorang penyanyi on demand pasaran muzik tempatan. Dayang singgah ke studio Muzik Roundtable bercerita panjang kisah susah senangnya sebagai penyanyi dan perancangan masa depan.
Lagu: Masihkah Ada Rasa Itu? Artis: Misha Omar Komposer / Lirik: Sharon Paul / Que Afiq
Menantikan lagu-lagu terbaru alunan Misha Omar saya kira benar-benar harus menuntut kesabaran kerana dia sangat jarang menghasilkan lagu-lagu baru. Mungkin kerana selektif dan hanya mahukan yang terbaik, setiap karya yang dihasilkan biar masih berlegar ilham Balada tetap memiliki kekuatan dan momen yang tersendiri.
Terakhir kali muncul dengan “Tanpa Rela” pada tahun 2020 dengan penuh kesyahduan, tahun ini Misha Omar kembali mengulang kesyahduan yang kita tunggu dalam sebuah lagi karya ciptaan Sharon Paul bersama Que Afiq menerusi lagu “Masihkah Ada Rasa Itu?”.
Dihasilkan dalam persembahan melodi yang sederhana namun cukup mengikat dengan sekali pendengaran. Sakti pada lagu ini sekali lagi bernadi pada persembahan vokal cukup beremosi Misha yang menyatukan melodi, lirik dan kemasan muziknya dengan sempurna.
“Masihkah Ada Rasa Itu?” memiliki feel Indo Ballad pada penghasilan keseluruhannya. Berbeza sedikit dengan apa yang biasa kita nikmati dalam karya-karya Sharon Paul sebelum ini, lagu ini lebih tenang dalam ribut dan resahnya.
Kekuatan utama lagu ini ada pada korusnya. Misha dalam kesederhanaannya bercerita lewat melodi yang dihasilkan dengan telus dan cukup. “Meski hati ini masih mengharapkan kamu hadir // Kembali dan meluah apa yang terjadi.”
Lirik yang dihasilkan simple, biar tidak tidak sekuat “Tanpa Rela” yang saya kira cukup kemas dan puitis susunan kata dan ceritanya. Tetapi hasil keseluruhan masih okey dengan persoalan “Masihkah Ada Rasa Itu?” yang jelas menggerakkan jalan ceritanya.
Dan persoalan-persoalan dalam lirik yang ditulis berterusan dengan baik di bait “Mungkinkah dikau bahagia? // Adakah bersama dia engkau bahagia?” yang saya kira tidak sukar untuk ramai jiwa-jiwa galau di luar sana untuk relate.
Kesederhanaan yang ada pada penghasilan lagu ini menjadikan ia tersendiri. Tanpa perlu menjadi terlalu kompleks dengan momentum turun naik yang kedengaran terburu-buru, ia dihasilkan sepenuh emosi yang terkawal. Dan sejujurnya sebeginilah Balada harus dihasilkan tanpa perlu kedengaran berteriak dan merintih-rintih.
Muzik Kita bertemu Jaclyn Victor di studio SYOK Podcast, berbual panjang tentang kembara bermuziknya tahun ini memasuki usia 20 tahun. Jac dalam temu bual ini bercerita tentang post-GV era, impian konsert perdananya dan impian to go abroad yang tergantung sebelum berterusan menjadi super singer di Malaysia.
Hampir setahun juga menunggu siapnya sepenuh sebuah album “I’ll Be Alright, Right” yang beredar single demi single menjerat pendengaran saya. Lunadira bakat R&B Pop tempatan yang sebetulnya harus sangat kita raikan cara bermuziknya.
Bergerak cukup bebas dalam radar dan tempo yang disusun tanpa perlu terikat ilham pasaran muzik semasa tempatan, Lunadira bersama produser muziknya Reddi Rocket menghasilkan sound yang cukup meninggikan standard Pop tempatan setanding apa yang ada di pasaran global hari ini.
Album penuh perdana ini terisi 9 lagu keseluruhan ini dibuka dengan intro berdurasi dua minit lebih dakam ambien muzik yang memberi idea buat pendengar how basically this album gonna be like. Transisi muziknya bergerak cemerlang dengan tiga single yang beredar lebih awal – “OVERTHINKING”, “GO SLOW” dan “i’ll be alright, right?”.
“BITTER” ketika awal beredar tahun lalu benar-benar membawa memori saya mendengarkan lagu-lagu Bic Runga di album “Beautiful Collision”. Feel Lunadira di sepanjang album ini menjadi nadi penggerak untuk setiap lagu di album ini terisi soulful.
“I HATE IT HERE” datang dengan groove memikat terutama di bahagian korusnya yang menjadi killer utama sebelum “BIRTHDAY” menjadi mellow baik lirik mahupun persembahan melodinya. “I wonder // If you could tell I’m struggling.”
Pendengaran saya lebih terikat di lagu “WISH YOU WERE DEAD” yang lebih catchy. This is my repeat mode in this album. Lagu ini terhasil simple tetapi datang dengan hook, groove dan soul yang tersendiri. Lunadira dalam bersahaja penyampaiannya masih beremosi dalam pengucapannya.
“Wish you were dead // But I don’t wanna waste my wish”
Lunadira dalam persembahan perdana di album penuh ini cukup membanggakan saya kira. Setiap lagu terisi dengan persembahan yang cukup current, penuh attitude dan idea yang diberi justifikasi yang sebaiknya.
Album ini seharusnya diraikan sebagai tanda keterbukaan kita sebagai pendengar muzik tempatan. Agar ruang yang ada diisi dengan kesaksamaan dalam muzik dan penting juga untuk artis independen seperti Lunadira ini bergerak lebih jauh, lapang dan panjang jalannya.
Lagu: Wanita Biasa Artis: Ziva Magnolya Komposer / Lirik: Yafi Aria / Trakast / Seto Bramana
Pasaran muzik Balada dengan persembahan jiwa galau masih belum menemukan penghujungnya. Nama-nama seprti Lyodra, Tiara Andini, Mahalini antara yang teratas dalam mendominasi pasran lagu-lagu begini. Tidak ketinggalan Ziva Magnolya yang sudah memiliki barisan hits yang meyakinkan.
Ziva sebagai persona Pop yang tidak asing lagi dengan hits seperti “Pilihan Yang Terbaik” dan “Munafik” serta rakaman semula “Peri Cintaku”datang dengan feel yang cukup tersendiri dan sudah memikat ramai pendengar nusantara.
Meneruskan kelangsungan bermuziknya, Ziva hadir dengan single terbaru yang sekali lagi menjual ilham galau dalam komposisi melodi “Wanita Biasa” karya cipta bersama Yafi Aria, Trakast dan Seto Bramana.
Ilham asas pada lagu ini masih berlegar ilham Balada dengan kemasan muzik daripada S/EEK menzahirkan ilham yang cukup timeless untuk dinikmati. Vokal Ziva masih menjadi sakti untuk kita benar-benar melayani lagu ini.
Pengucapan dalam bait-bait lirik yang disusun dipersembahkan sebaiknya Ziva dengan feel serta gaya nyanyiannya yang cukup tersendiri. Melodi lagu ini masih biasa belum ada apa-apa yang terlalu berbeza dengan apa yang banyak ada di pasaran.
Namun mungkin hal ini masih dibutuhkan pendengar muzik tempatan dalam pemilihan lagu-lagu yang mudah meresap jiwa mereka. Percaturan yang terbaru daripada Ziva ini pasti mampu membawakan namanya terus relevan di pasaran muzik nusantara.
Lagu: Shallow Water Artis: Afgan Komposer / Lirik: Afgan / James Essien / Adam Knight
Menyeimbangi perjalanan bermuziknya dengan cara yang cukup konsisten, Afgan bergerak dalam momentum berkarier dengan begitu baik. Saat ada yang masih mahukan lagu-lagu galaunya terus berkumandang dia tidak lupa untuk evolve sebagai seorang penyanyi.
Setelah menzahirkan album inggeris perdana pada tahun 2021 Afgan tidak menghentikan langkahnya untuk meneruskan kelangsungan yang dihasilkan dalam persembahan “Wallflower”. Percaturannya yang terkini adalah sebuah lagi album yang akan beredar tahun ini berjudul “Sonder”.
Sebagai sebuah pengenalan, “Shallow Water” dihasilkan sebagai sebuah single perdana di album tersebut. Bekerjasama dengan James Essien dan Adam Knight, “lagu ini terhasil cukup catchy “Shallow Water” mendepani ilham Pop dalam feel R&B.
Vokal Afgan menjadi pengemudi untuk kita larut dalam persembahan keseluruhan lagu ini. Korusnya catchy, menawan dalam bait lirik yang tidak sukar difahami dan dirasai pendengar muda khususnya. “Whenever it’s good // It always turns into bad.”
Penghasilan keseluruhan lagu in simple sebetulnya tiada apa yang terisi kompleks dan merumitkan. Sedehana dalam hal yang begitu dituntut dalam penghasilan lagu hari ini tanpa perlu terlalu bereksperimen dengan hal-hal asing.
Menerusi single ini juga saya kira sudah dapat kita membayangkan sebagaimana sound yang akan terhasil di album “Sonder” nanti.
Lagu: Urat Artis: Naim Daniel & Jamal Abdillah Komposer / Lirik: Yeshua Iskandar / Firdaus Rahmat
Lama sebetulnya tidak mendengar naskhah muzik terbaru persembahan Naim Daniel setelah kali terakhir dia menghadirkan album solo perdananya. Naim sejak awal bermuzik sudah menampakkan potensi sebagai pelapis muzik yang harus diraikan.
Sejak kejayaan “Sumpah” berterusan dengan “Sembah”, “Lara”, “Purnama” dan “Mainan” sudah menghasilkan Pop yang sifatnya membaluti jiwa Naim sebagai komposer juga penyanyi. Tidak hanya terikat dengan lagu ciptaannya Naim mencuri perhatian penyanyi lain yang mahukan sentuhan emasnya.
Terkini bersama Jamal Abdillah dia menzahirkan “Urat” sebuah persembahan Balada dengan kolaborasi istimewa bersama Jamal Abdillah.
Dihasilkan dengan persembahan tipikal Naim yang biasa kita dengar sebelum ini, “Urat” menjual ilham emosi untuk menarik perhatian pendengar. Saya tidak begitu terikat dengan penciptaan melodinya namun saya sukakan kolaborasi suara kedua-dua mereka.
Persembahan cukup beremosi Jamal dan Naim memberi peranan besar untuk pendengar benar-benar larut dengan lagu ini. Liriknya juga masih baik, bait-bait korusnya “Pujukkanlah hati mu // Lihat ku di depan mata // Jangan kau biarkan // Ku berdirian sendiri.” terisi dengan tersusun sebelum ditulis lebih puitis “Seakan tersekat // Simpul tiap urat // Tiada lagi kasih dan juga erti.”
Dalam persembahan melodi begini, ia masih kuat nilai komersilnya. “Urat” pasti akan meniti bibir penggemar muzik semasa khususnya.
Lagu: Sayap Artis: Elly Mazlein Komposer / Lirik: Naim Daniel / Omar K / Iqie Hugh
Nama Elly Mazlein dalam pasaran muzik secara amnya mungkin tidak begitu diraikan dengan besar. Kelibatnya bermuzik sejak era 90-an juga agak ditenggelami bakat-bakat lain yang nyata lebih menyerlah dengan originality vokal berbanding Elly. Namun momennya dalam bidang muzik masih ada walau tidaklah konsisten.
Setelah fasa Gegar Vaganza Elly sempat hits dengan rakaman semula “Empat Dara” bersama Faizal Tahir dan menghasilkan sebuah single berjudul “Dusta Cinta” yang mengembalikan ilham Balada “Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan” dan “Bungaku Bakawali”.
Setelah itu namanya lebih dominan sebagai pengacara dan DJ radio. Terkini bagi meneruskan minat serta kelangsungan bermuzik sebagai seorang penyanyi senior Elly Mazlein kembali menghasilkan sebuah single berjudul “Sayap”.
Dihasilkan tenaga baru Pop tempatan, Naim Daniel dan Iqie Hugh bersama Omar K – “Sayap” terhasil dalam standard Balada yang semakin banyak di pasaran muzik hari ini. Melodi begini sudah diguna ulang formulanya dalam lagu-lagu Naim sebelum ini yang menjadikan ia agak predictable.
Saya mencari apa yang istimewa lagu ini namun mungkin secara peribadi saya tidak menggemarinya. Idea masih sama, execution juga begitu-begitu sahaja. Vokal Elly juga saya kira tidak begitu evolve. Seperti sama sahaja dengan apa yang kita dapat dalam hitsnya di era 90-an.
Namun yang pasti ia akan membahagiakan penggemar Elly Mazlein yang menantikan lagu-lagu baru daripadanya. “Sayap” percaturan yang mengena dengan penggemar lagu-lagu Balada Melayu namun jika anda seorang yang mahu dicabar pendengaran dengan sound yang baru, “Sayap” tiada apa-apa yang baru.
Lagu: War Cry Artis: Velvet Aduk / Alena Murang / Marsha Milan Komposer / Lirik: Velvet Aduk / Alena Murang / Marsha Milan
Pasaran muzik Etnik Borneo khususnya dihidupkan Alena Murang dalam persembahan instrumental menerusi karya-karyanya seperti “Gituan”, “Warrior Spirit” dan “Liling”. Pasaran muziknya agak kecil namun sebetulnya ia menambah warna di pasaran muzik tempatan yang begitu memerlukan variasi yang diberikan Alena.
Velvet bersama Marsha juga tidak pernah perlahan dalam terus merilis lagu-lagu Etnik Borneo. Menerusi single mereka seperti “Sumandak Sabah” dan “Aramaitiii” mereka membuktikan sudah bahawa pasaran muzik begini harus diteruskan kelangsungannya sebagai satu apresiasi budaya.
Dan pabila tiga nama bear pasaran muzik Borneo ini bergabung menerusi “War Cry” karya cipta bersama mereka bertiga menjadikan ia sebuah lagi kelangsungan yang begitu baik persembahan lagu-lagu Etnik untuk dikomersilkan.
“War Cry” terhasil dalam sebuah persembahan muzik dengan momentum kemasan muziknya begitu uplifting sekali. Bersama dengan penciptaan melodi yang tidak sukar menangkap pendengaran, lagu ini dipersembahkan sebaiknya Velvet dan Marsha.
Penulisan liriknya yang datang dengan semangat patriotisme yang kuat dalam menguat akar budaya Borneo sebagai sumber kekuatan. “Wake me up when the sun tries to set upon me // I will not take you for granted.” Terisi kemas dengan kendahan Sape petikan Alena Murang.
Lagu begini saya kira penting untuk turut sama diraikan dalam pasaran muzik tempatan. Sbeetulnya tanpa usaha tiga darah Borneo ini, kali terakhir saya aware tentang lagu-lagu Etnik Borneo adalah ketikan Noraniza idris mengeksplorasi muzik begini di era kegemilangannya.
Apa yang diusahakan Alena Murang, Velvet dan Marsha Milan ini adalah satu pemerkasaan budaya dalam bentuk muzik yang terhasil cukup komersil, merdu dan seimbang. Mendengarkannya seperti melayani sebuah persembahan muzikal yang magikal.
Lagu: Nukilanmu Artis: Arish Mikael Komposer / Lirik: Arish Mikael / Muhammad Radzlan Produser: Hidayat Nasir
Pasaran muzik tempatan bergerak semakin melaju dengan bebasnya untuk menghadirkan bakat-bakat baru mencuri perhatian pendengar tempatan dengan idea juga pemikiran. Ditafsir dalam penghasilan melodi, lirik dan kemasan muzik yang semakin mudah banyak rujukannya.
Arish Mikael seorang lagi bakat cukup muda yang datang sedikit berbeza dengan attitude bermuzik yang sedikit jauh daripada ilham Pop yang biasa kita dengar. Pengaruh muzik 80-an yang ada padanya ditafsir sebaiknya menerusi single “Nukilanmu” yang menjadi pertaruhan perdana.
Melodinya dibaluti kemasan muzik yang cukup baik membentuk satu feel berbeza. Seperti membawa kita pada ilham Balada nostalgia yang banyak di era 80-an. Mendengarkan “Nukilanmu” seperti mendengarkan persembahan Alleycats, Kembara juga Headwind.
Persembahan vokal Arish agak unik dan cukup berat feel nostalgianya. Persembahan keseluruhan lagu ini sangat banyak dibantu dengan kemasan muzik Hidayat Nasir dan Izzat Latiff yang memberikan infusi psikedelik yang minimal dan mengena dengan melodi yang terhasil. Kemasan string di lagu ini membentuk feel nostalgia di lagu ini.
Korusnya menarik dengan penulisan lirik yang sedap dibaca, sedap didengar. “Aku rindukan sejuta puisi // Nurbisa jiwa // Nurbisa lara // Sentuhan darimu.” Arish Mikael menerusi single ini memiliki potensi yang sangat baik berkembang di masa mendatang dengan konsistensi bermuzik. Perjalanannya masih panjang namun permulaan “Nukilanmu” ini sudah cukup sebagai fundamental dia bergerak dalam radarnya tersendiri.