
BUNKFACE LEBIH SEDEKAD DI PERSADA MUZIK MALAYSIA
Membuka jilid terbaru dalam muka surat karier yang semakin berkembang, Bunkface bakal tampil dengan album terbaru yang diberi judul “Pop” tahun ini setelah kali terakhir tampil dengan album penuh “Malam Ini Kita Punya” pada tahun 2014.
Mengawali babak baru muzik mereka, Sam, Paan dan Youk awal tahun ini memperkenalkan single kolaborasi bersama legenda muzik Pop Yeh-Yeh, Jeffrt Din berjudul “Apa Pun Tak Boleh” yang turut tampil dengan muzik video penuh warna.
Dan bagi meneruskan kisah dalam kembara muzik mereka, Bunkface baru-baru ini tampil dengan lagu terbaru berjudul “Shiver” yang pada pandangan kami cukup segar sekali penghasilannya. Lagu yang dicipta sepenuhnya Sam Bunkface ini beredar di semua gedung muzik digital sejak 19 Oktober lalu bersama muzik video rasmi di YouTube rasmi mereka.
BAKAL TAMPIL ALBUM BERJUDUL “POP”
Kali pertama tampil dengan debut “Phobia Phoney” pada tahun 2010, Bunkface membuka mata ramai dengan gabungan muzik Punk Rock dan Pop yang berjaya memanjat carta teratas pasaran muzik negara. Lebih membanggakan mereka menjadi antara kugiran indie yang berjaya ke pentas Juara Lagu dengan single ulung mereka berjudul “Situasi”.
Selepas itu kelibat mereka dalam bidang ini menjadi perhatian dengan dua lagi album berjudul “Bunk Not Dead” (2012) dan “Malam Ini Kita Punya” (2014). Selepas itu Bunkface muncul dalam beberapa single seperti lagu “Orang Kita” bersama Amir Jahari, “Kembalii”, “Apa Pun Tak Boleh” dan lagu tema kemerdekaan tahun ini “Malaysia Kita Punya” juga pernah tampil dengan lagu tema Boboi Boy The Movie berjudul “Dunia Baru”.
Setelah itu, kiranya mereka sudah siap untuk tampil dengan sesuatu yang baru – lebih segar dan terkini. Album berjudul “Pop” yang akan diedarkan kelak menurut Bunkface sebagai satu eksperimentasi muzik mereka bagi kekal relevan dalam lapangan muzik semasa.
Album yang diterbitkan oleh Izzy Musa (Nastia, Yuna, Bil Musa) ini bakal menampilkan 8 lagu kesemuanya yang merangkumi empat lagu berbahasa Melayu dan empat Inggeris yang didahului dengan single “Shiver” yang baru dilancarkan ini.
Bunkface antara band yang saya sentiasa look forward. Sam dan rakan-rakan evolves seiring masa dan kematangan tanpa berkompromi dengan kualiti yang biasa-biasa sekali pun harus akur dengan kehendak pasaran semasa. Pastinya kelahiran album berjudul “Pop” ini akan sentiasa dinantikan penggemar mereka juga pemerhati muzik tempatan.