
Kelibat Afgan mengisi frekuensi radio tempatan bermula mudah dengan hits “Terima Kasih Cinta” yang berjaya memikat pendengar tempatan dengan alunan merdu suaranya. Setelah itu Afgan mencipta momennya tersendiri dengan barisan hits lainnya sepert Jodoh Pasti Bertemu, Bukan Cinta Biasa, Katakan Tidak dan juga termasuk hits rakaman semula Sheila Majid berjudul “Ku Mohon”.
Beberapa siri konsertnya di sini sentiasa akan dipenuhi dengan kelompok penggemarnya saban tahun. Dan melengkapkan lagi portfolio karier muziknya, Afgan sekali lagi akan ke Kuala Lumpur 5 Oktober nanti dalam sebuah persembahan langsung yang diberi nama Inspirasi – Afgan Live in KL.
Nama “Inspirasi” bertujuan untuk menyuntik semangat, memberi ilham dan berkongsi sumber inspirasi sepanjang bermuzik. Memberi kelainan bagi konsert ini, istimewanya Afgan mengundang ikon muzik tempatan Sheila Majid sebagai artis undangan.
Kolaborasi yang berawal dengan duet rakaman semula “Bawalah Cintaku” yang dipetik daripada album Dekade ini meneruskan hubungan baik dua penghibur hebat nusantara ini menerusi konsert yang dibawakan oleh Popcorn Studio Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Popcorn Studio, Erik Ong berkata “Pengaruh muzik Afgan dan kekuatan populariti serta permintaan tinggi dari peminat muzik tanahair antara sebab utama Popcorn Studio memilih untuk menganjurkan konsert ini. Belum pernah ada mana-mana penyanyi lelaki khususnya artis bukan tempatan yang setiap tahun mengadakan konsert berskala besar kecuali Afgan.” Ini sekaligus membuktikan Afgan berada di dalam kelasnya yang tersendiri.
HGH Convention Centre Kuala Lumpur telah dipilih sebagai lokasi rasmi konsert dan peralatan serta teknologi terkini di sana pasti dapat memberi impak dan pengalaman berbeza buat penonton. “Kita menjangkakan sebuah konsert yang sold-out kerana pastinya tiada siapa mahu ketinggalan untuk menyaksikan sebuah magis duet di antara Afgan dan idola beliau” kata Erik.
Tiket konsert telah dijual bermula 25 Jun 2019 (Selasa) dan boleh didapati pada harga RM299 (Silver), RM399 (Gold), RM599 (VIP) dan RM1200 (Royal Box). Sebarang maklumat lanjut, sila layari https://proticket.com.my/inspirasi2019-afganliveinkualalumpur
ARTIKEL BERKAITAN
Tulus Live At Istana Budaya – Kesempurnaan Dalam Kesederhanaan Seorang Tulus