
Lagu: Terus Hidup
Artis: Aina Abdul
Komposer / Lirik: Aina Abdul
Produser: Jenny Chin
Dominasi Pop Aina Abdul dalam pasaran muzik hari ini membawa namanya sebagai salah satu bakat baru yang semakin utuh dan diyakini pendengar semasa.
Barisan hits demi hits beriring cerita-cerita sisi lain selain muzik menjadi topik bual yang pasti terus menjadi bahan bicara. Tanpa mahu memperlahankan kembaranya dia terus menzahirkan single demi single yang pastinya dekat dengan jiwa pendengar.
Pertaruhan Balada tahun ini menerusi naskhah diberi judul “Terus Hidup” meneruskan kelangsungan ilham “Sumpah”, “Semalam” dan “Sepi” yang menjadi lagu cari makannya sehingga hari ini dalam pelayaran emosi melodi lara yang menjual kemampuan bersuaranya.
Sekali lagi melangkah yakin dengan komposisinya muziknya sendiri, “Terus Hidup” bergerak dalam ilham Pop dengan pengaruh K-Ballad seperti yang terhasil dalam “Sepi”. Transisi muziknya hadir dalam kemasan muzik yang sangat baik dan dinamik.
Emosi Aina sangat terkawal baik di awal lagu. Saya benar-benar larut di bahagian awal lagu ini dengan persembahan sederhananya sebelum momentum lagu ini bergerak dalam fasa lebih dramatik di pertengahan ke penghujung lagu. Jenny Chin meramu melodi Aina ini dengan sebuah produksi muzik yang cukup berkelas.
Cuma saya sedikit terganggu dengan penulisan lirik Aina dalam pemilihan perkataan dengan imbuhan yang agak canggung. Perkataan seperti “Menjanji” “Menjarak” itu rasanya harus berakhir dengan apitan -an dan saya kira jika dijaga tatabahasanya juga tidak salah. “Berjanji” dan “Menjarakkan” itu lebih tepat.
Sama juga dengan perkataan “membisa” yang saya tidak pasti dari mana datangnya. Hal pemilihan perkataan dalam lirik Aina ini sudah saya perhatikan sejak lagu “Sumpah” lagi di saat saya amat terganggu dengan bait “Bodohnya aku..”
Bukan apa you going to sing this song for the rest of you career. Kenapa you nak membodohkan diri setiap kali menyanyi lagu ini? Kan lebih baik diganti dengan perkataan lain seperti “Mengapa aku..”
“Terus Hidup” lagu yang pasti akan meneruskan lagi slogan #RoadToAJL penggemarnya yang pastinya. Melodi lagu ini antara yang paling beremosi pernah Aina hasilkan dengan daya pengikat sekali dengar namun masih berlegar ilham serupa tanpa ada hal baru yang terlalu berbeza selain kemasan muziknya yang berjaya meninggikan standard Balada ini.
5.8/10
ARTIKEL BERKAITAN