Muzik Kita mengulang dengar rangkaian Pop 90-an yang mungkin sudah lama tidak kita perdengarkan hari ini. Nama seperti Krisya, Kumpulan Visa, Mac Rahayu, Korie, Aida Agil dan Fauziah Latif mengisi pilihan 90-an kami!
Nama Rahmat mungkin sudah jarang diperkatakan hari ini namun akan terus diingati dan dikenang sebagai salah seorang dalam legasi penyanyi lelaki hebat seiring Saleem, Zamani, Hattan dan Aris Ariwatan. Persembahan vokalnya yang membawa jiwa ‘rempit’ cukup tersendiri dan tidak terbanding dengan penyanyi lainnya. Lagu “Siapa Di Hatimu” ini antara rangkaian malar segar 90-an yang akan sentiasa didengari.
Nama Krisya menjengah pasaran muzik 90-an dengan suara manisnya mengalunkan single “Gemersik” ciptaan maestro Pop, Adnan Abu Hassan dengan cukup baik sekali. Korus lagu ini killer sebenar membawakan ia sebagai salah satu lagu Balada indah sepanjang 90-an. Bagai dicipta khusus buatnya, lagu ini antara one hit wonder yang akan diingati sehingga hari ini.
“Exist” menjadi kugiran Pop paling berpengaruh di era 90-an. Tidak hanya di Malaysia, nama mereka begitu dikenali di Indonesia dengan rangkaian hits yang tidak hanya satu tetapi beberapa hits berbeza daripada album berbeza. “Untukmu Ibu” satu daripadanya yang begitu terkesan buat semua pendengar. Hati mana yang tidak tersentuh sayunya melodi, lirik serta penyampaian Mamat menerusi lagu ini. Sebuah klasik!
Nama Mac Rahayu seorang lagi penyanyi wanita yang sempat singgah dengan satu naskhah yang akan diingati sepanjang masa. Lagu berjudul “Ditakdir Kita Bersama” ini terhasil dalam kraf Balada jiwang yang sangat banyak diedarkan ketika itu namun datang dengan kemasan muzik serta power vocal Mac Rahayu yang akan sentiasa didengarkan.
Suara emasnya dalam mengalunkan Soft Rock dan Balada sememangnya akan menghantui sehingga hari ini. Bersama produser hebat M.Nasir, Awang BPR, Wan Zul maka terhasil sebuah album yang masih diingati sehingga hari ini single perdananya yang berjudul “Segalanya Pasti” dan seperti judulnya, segala tentang lagu ini terlalu sempurna sifatnya menyelimuti kesempurnaan vokal Aida dengan melodi yang terhasil sangat hebat sekali.
“Untukmu” mungkin sangat diingati dengan persembahan kumpulan Feminin namun pabila pencipta lagu ini yang membawakan sendiri lagu karya ciptaan mereka, ia terhasil dengan satu garapan yang lebih baik. KRU merakam semula lagu ini di mini album mereka berjudul “Awas” dengan rendisi baru yang lebih cocok dengan karakter mereka.
Melodi emas Adnan Abu Hassan menerusi lagu ini menghasilkan sesuatu yang cukup tepat dengan karater vokal serta feel Fauziah Latiff yang cukup dikenali dengan jolokan Ratu Balada. “Batas Menanti” menjadi antara karya penting Fauziah Latiff sepanjang 90-an. Melodi lagu yang datang dengan kesyahduan lengkap diisi dengan kemerduan seorang penyanyi yang baik sepertinya.
Visa antara kugiran Pop yang memiliki momen mereka tersendiri di era 90-an. Lagu “Dalam Gerimis” yang dihasilkan Adnan Abu Hassan dengan lirik Amran Omar ini antara yang cukup ikonik dalam legasi kugiran Pop 90-an. Melodi laguya terhasil dalam acuan muzik Adnan yang biasa kita dengar, mampu mengikat pendengaran dan membuat kita sukan dengan hanya sekali dengar sahaja.
Antara duet paling ikonik yang pernah terhasil. Korie ketika menghadirkan single ini menerusi album perdananya, berjaya mencuri tumpuan pendengar dengan originality yang dia miliki sebagai seorang singer song writer yang bakal memiliki masa depan yang baik dalam bidang muzik tempatan. Kolaborasi bersama kakaknya Ella menerusi lagu ini menyatu sangat baik, chemistry vokal serta feel kedua-duanya sangat baik sekali. You can never say no to this song.
“Lamunan Terhenti” antara karya emas ciptaan Saari Amri yang meninggikan karier solo Aris Ariwatan selepas fasa bersama kumpulan muziknya. Terhasil dengan acuan muzik Balada 90-an yang cukup kental jiwa Melayunya. Lagu ini antara yang akan sentiasa didengari berganti generasi. Cukup melankolik dan memiliki elemen malar segar yang cukup tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN
Getaran Melodi Legenda S.Atan Dalam Karya Terbaiknya Sepanjang Zaman