
Lagu: Berlalu
Artis: Monita Tahalea
Komposer / Lirik: Yoshua Gian / Monita Tahalea / Bayu Risakotta
Produser: Hook
Kesederhanaan Monita Tahalea itu saya kira tidak hanya pada keperibadiannya namun caranya merencana karier bermuzik yang sudah berusia lebih sepuluh tahun dengan cukup utuh beriring cara yang cukup tersendiri.
Tanpa perlu mengikut template muzik semasa yang memerlukan itu dan ini untuk menjadi bahan bicara atau ikutan, dia menjalani sahaja kembara muziknya dengan seadanya. Namun tidak berbekal kualiti yang biasa, semuanya terhasil dalam satu persembahan muzik yang cukup tinggi nilainya.
Terakhir kali menzahirkan sebuah album penuh pada tahun 2020 di kala pandemik melanda dunia, dia menghadirkan sebuah kedamaian di balik kegelapan dengan menghadirkan “Dari Balik Jendela” yang menghadirkan 10 lagu dalam nuansa Folk dan Pop.
Berehat seketika daripada melagukan karya-karya terbaru, Monita Tahalea tahun ini kembali dengan sebuah hadiah istimewa buat penggemarnya dengan sebuah single berjudul “Berlalu” karya Yoshua Gian dan dia sendiri.
Terhasil dalam sebuah nuansa biasa yang sering membuat kita senang dengan persembahan muziknya, lagu ini terhasil cukup menyenangkan sekali dalam barisan lirik yang sedih sebetulnya.
Bait-bait sedih ini dibaluti melodi yang santai tanda melepaskan dengan terbuka akan hal yang lepas. Melodi lagu ini sangat mengikat seawal pertama kali mendengar dan kesederhanaan nyanyian Monita menjadikan ia sebuah track yang cukup manis untuk dinikmati.
8.7/10
ARTIKEL BERKAITAN
Kolaborasi Tak Diduga Rendy Pandugo & Pamungkas Menerusi “Friends”