Lagu: Cinta Pasti Bersatu
Artis: Margosa / Aepul Roza
Komposer / Lirik: Raja Nazrin Shah / Resya Rahman
Produser: AG Coco
Margosa mula saya kenal ketika mereka menjuarai Anugerah Lagu Indie musim pertama kira-kira 2 tahun sudah. Mempertaruhkan lagu berjudul “Penawar” mereka pulang sebagai pemenang pertama pertandingan yang mempertaruhkan bakat-bakat muzik indie tempatan itu.
Sempat merilis sebuah album berjudul “The Phase” pada tahun 2020 berisi 14 lagu keseluruhannya. Menampilkan beberapa single utama seperti “Jane Doll” dan “Abadi Tak Semestinya Indah” selain “Penawar” yang turut mengisi album terbitan perdana mereka itu.
Terkini, di bawal label antarabangsa Sony Music, Margosa mengatur langkah besar untuk lebih dikenali dan dinikmati pendengar muzik semasa. Single “Cinta Pasti Berlalu” hadir sebagai pertaruhan mereka dalam menawan pendengar dalam skala yang lebh besar pastinya.
Menghadirkan Aepul Roza sebagai rakan duet vokalis utamanya Resya, kolaborasi ini menerbitkan rasa yang sedikit berbeza dengan apa yang mereka lakukan sebelum ini. Persembahan muzik mereka kedengaran lebih komersial dan mudah mengikat pendengaran.
“Cinta Pasti Berlalu” dihasilkan Reysa bersama Raja Nazrin (S.O.G) dihasilkan dalam asas Balada yang mengikut acuan pasaran muzik hari ini dengan penulisan lirik cinta yang sepastinya dekat dengan jiwa-jiwa yang mahu dipujuk.
Hal-hal ini jelas dalam bait “Bertahanlah nyawaku Untuk seketika kau sendirian.” Sebelum disambut dengan pengharapan “Akan aku menunggumu Cinta kita pasti bersatu.”
Korusnya dibaluti melodi yang mesra pendengaran dan mudah diikuti, persis kebanyakan rangkaian lagu-lagu yang menjadi tema drama bersiri, lagu ini jika kena percaturan pemasarannya sangat mudah menembus pasaran mainstream.
Saya sukakan karakter vokal Resya yang bercerita dalam melodi yang disusun baik dengan penulisan liriknya yang mudah. Tidak terlalu beragam tetapi semangat muziknya ditinggikan menerusi instrumentasi dalam susunan muzik.
Lagu ini ada banyak ruang dan peluang mengikat pendengar namun sekali lagi ia harus beriring strategi pemasaran yang betul.
7.5/10
ARTIKEL BERKAITAN
Repertoire Pop Hael Husaini Diteruskan Menerusi “Sama Seperti Dulu”