
Memulakan karier bermuzik di pertengahan 80-an Imran Madjid atau lebih dikenali dengan komersial sebagai Oddie Agam menjadi nama legendaris muzik Indonesia sebaris Chrisye, Fariz RM dan Chandra Darusman. Sepanjang bermuzik Oddie Agam merakam empat album penuh – “Bellina” (1984), “Gadis Sentimentil” (1986), Oddie Agam (1990) and 50:50 (2012).
Lebih aktif sebagai komposer dan produser muzik buat nama-nama besar seperti Ruth Sahanaya, Sheila Majid, Vina Panduwinata, Harvey Malaiholo, Dewi Yull, Broery Marantika dan ramai lagi dengan rangkaian hits sepanjang zaman.
Antara hits malar segar yang masih didendang sehingga hari ini adalah “Antara Anyer * Jakarta”, “Surat Cinta”, “Hip-Hip Hura” dan lebih lagi. Semoga legasi muziknya akan diteruskan, diraikan dan terus dikenang sepanjang masa.
Berikut rangkaian lagu terbaik ciptaan Oddie Agam sepanjang dia bermuzik lebih 4 dekad lamanya.
JADI PRESIDEN – ODDIE AGAM & THE COLLABORATION (1998)
Jadi Presiden merupakan kolaborasi Oddie Agam bersama Sheila Majid, Warna, KLA Projek, Ahmad Albar dan Shania yang diedarkan lewat 90-an menerusi sebauh album kompilasi yang diberi judul serupa. Rakaman ini pertama kali saya dengarkan menerusi program Carta Baik Banget kelolaan KC Ismail dan sehingga hari ini masih lagi menjadi antara lagu wajib yang harus ada dalam senarai lagu yang kerap saya mainkan. Cukup kuat jiwa Indonesianya, tidak hanya pada penulisan lirik tetapi melodinya yang cukup solid sekali. Antara kolaborasi yang unik sekali.
MEMORI – RUTH SAHANAYA (1983)
“Memori” dirakam Ruth Sahanaya menerusi album “Seputih Kasih” yang juga merupakan album perdana legendaris Pop ini. Melodi lagu ini sangat kental feel 80’s Ballad yang menyatu sempurna dengan vokal merdu Ruth Sahanaya yang ketika itu siap bergelar bintang masa depan yang cemerlang. Dan dengan lagu ini juga membawa tuah buat Ruth Sahanaya untuk terus mengalunkan lagu ini sehingga hari ini yang sudah bergelar malar segar melodinya.
ANTARA ANYER & JAKARTA – SHEILA MAJID (1986)
The classic “Antara Anyer Dan Jakarta” membawa nama Sheila Majid jauh melayari kembara bermuzik ke Indonesia berdekad lamanya. Lagu ini saya kira sudah menjadi the Sheila anthem, naskhah wajib didendang dalam mana-mana persembahan pentasnya. Lagu ini terhasil cukup nostalgic sekali dan jika anda bukan penggemar muzik Sheila sekalipun pasti tidak mampu menolak naskhah hebat malar segar ini. Antara lagu lain ciptaan Oddie Agam buat Sheila adalah “Aku Cinta Padamu”, “Tua Sebelum Waktu”, “Begitulah Cinta”, “Jujur Saja” dan “Catat”.
ERTI KEHIDUPAN – CAMELIA (1998)
Rakaman asal Mus Muijono dirakam semula penyanyi asal Malaysia, Camelia dengan rendisi R&B yang cukup segar bersulam feel dan groove Camelia yang cukup memikat. Dan kerana lagu ini jugalah saya menjadi penggemar Camelia sehingga hari ini, di saat terlalu banyak penyanyi Balada muncul di pasaran muzik 90-an, dia hadir dengan pesona cukup berbeza. Rakaman semula “Erti Kehidupan” ini disusun kembali muziknya oleh Kenny Tay.
SURAT CINTA – VINA PANDUWINATA (1989)
Vina Panduwinata, Diva Pop seberang yang cukup dihormati sudah melewati kembara bermuzik berdekad lamanya. Dan dalam perjalanan panjang itu tersemat sebuah naskhah ciptaan Oddie Agam berjudul “Surat Cinta” yang masih didendang sehingga hari ini. Pop 80-an di lagu ini bergerak seiring pasaran muzik ketika diedarkan dan menjadi antara yang cukup klasik sehingga hari ini. Masakan tidak pergilah ke mana-mana senarai lagu yang dicipta di Spotify jika ada Vina pasti ada “Surat Cinta”. Lagu lain ciptaan Oddie buat Diva Vina adalah “Wow” dan “Bahasa Cinta”.
HIP-HIP HURA – CHRISYE (1985)
Hip-Hura merupakan naskhah penting kembara muzik Chrisye di era 80-an sehingga hari ini. Cukup groove, fun dan memorable sebagai sebuah lagu yang terus diingati sehingga hari ini. Lagu ini sendiri sudah dirakam beberapa kali penyanyi lain bagi meneruskan kelangsungan melodi hebat. Dengarkan rangkaian lagu-lagu terpilih lain ciptaan Oddie Agam di Spotify Muzik Kita.
ARTIKEL BERKAITAN