
Saya awal mengenali Romantic Echoes ketika dia berkolaborasi bersama Noh Salleh dan Bilal Indrajaya menerusi single “Yang Tercinta” beredar tahun lalu sebagai single yang membuka laluan lebih luas untuknya dikenali di pasar besar muzik nusantara khususnya sebelum sempat melepas album solo perdananya “Persembahan Dari Masa Lalu” yang juga beredar Jun tahun lalu.
Terus produktif dalam penghasilan muziknya, Romantic Echoes awal tahun ini merilis single bersama Indonesia’s million streams artists – Pamungkas menerusi single “Im Down” yang turut dimuatkan di EP terbarunya yang berjudul “Gaung Romantis”.
Meneruskan ilham Synth dan Psikedelik Pop dalam alunan melodi yang lembut, Romantic Echoes melayari perasaannya dengan rangkuman 6 lagu yang membawa isi cerita yang cukup personal. Tentang kekhilafan, keikhlasan dan perjalanan umat menuju fasa lebih baik dalam hidup.
Hal-hal ini sangat jelas dalam lagu seperti “Amarah” yang disusun kata-katanya dengan cukup baik sekali. “Amarah sentuh hati yang merana, Dalam keraguan terlukis senyuman indah” sebelum menutup ceritanya dengan penyerahan menerusi bait “Kutitip rindu pada yang Kuasa.”
Saya enjoy membaca penulisan lirik di EP ini yang rata-ratanya menyisip pesan-pesan kemanusiaan seperti apa yang ditulis dalam lagu “Celaka” antaranya. “Celaka bila hatiku berdusta, Apabila ku berpaling dari cinta.”
EP ini ditutup dengan lagu “Malam Itu Adalah Malam Saya Dibunuh Oleh Keindahan Itu Sendiri” dalam durasi lebih lima minit membawa pendengar masuk ke dalam gaung sebenar bunyian Romantic Echoes yang sudah begitu pasti dan yakin dengan garapan muziknya yang tersendiri.
Lagu terbaik di EP ini saya sifatkan buat kolaborasi bersama Pamugkas menerusi lagu “I’m Down” yang iya mungkin cukup kuat pengaruh muzik Pamungkasnya tetapi tidak menutup ruang Romantic Echoes untuk menyatu baik bersama Pamungkas bagi menghasilkan sebuah naskhah yang lebih universal dengan penghasilan bunyi yang memberi variasi berbeza di EP ini.
7.8/10
ARTIKEL BERKAITAN
Pamungkas Melepas Emosi Lewat Rakaman Ulang “Pupus” dan “Risalah Hati”