Dominasi layar perak Ogy Ahmad Daud di era 80-an tidak hanya kerana lakonan hebatnya yang mengisi setiap slot susur masa tayangan filem-filem sepanjang era tersebut. Malah kehebatannya dalam berlagu, mengalunkan lagu-lagu tema dalam setiap filem yang dilakonkan turut memberi impak yang cukup tersendiri.
Bersama teman layarnya Ebby Saiful, mereka berdua antara pelakon filem yang cukup banyak diketengahkan sebagai penyanyi runut bunyi filem. Kebolehan kedua-dua bintang 80-an ini menyanyi dengan baik memberi kelebihan buat mereka terus dikenali di pasaran semasa.
Melewati album kompilasi Ogy & Ebby yang beredar padatahun 1986 ini jelas membuktikan kedua-dua mereka memiliki kelebihan buat bercerita dalam lagu yang dihasilkan. Album ini terhasil dengan rangkaian lagu-lagu ciptaan M.Nasir dan Adnan Abu Hassan yang bertindak sebagai produser.
Album berisi 12 lagu ini diambil daripada 3 filem iaitu “Suara Kekasih”, “Ali Setan” dan “Balik Kampung” yang menggabungkan dua nama superstar ini dalam satu filem.
Ogy hadir sangat meyakinkan dalam lagu-lagu malar segar yang pernah dirakamnya seperti “Bila Bunga-Bunga Berguuguran” ciptaan Ebby Ali. Feel Ogy dalam mentafsirkan naskhah cerita di lagu ini terhasil cukup tanpa perlu terlalu berlebihan dalan penyampaiannya.
Saya tertarik dengan beberapa lagu lain seperti “Senandung Duka” petikan lagu daripada filem Suara Kekasih yang begitu 80-an sekali sifatnya. Seperti terilham daripada karya-karya Datuk Ahmad Nawab, Ogy cemerlang dalam penyampaian vokalnya yang sederhana.
Ebby dan Ogy menerusi duet ciptaan M.Nasir dan Habsah Hassan berjudul “Hasrat Suci” hadir dalam kraf muzik unik M.Nasir yang cukup jarang saya dengarkan daripada sifu muzik tempatan ini. Struktur lagu ini mellow tetapi tidak tipikal dalam ilham Balada Melayu 80-an yang biasa kita dengar.
Sebuah lagu ciptaan M.Nasir yang cukuo malar segar oleh duo ini ada lagu berjudul “Kisah Cinta”. Sekali lagi ia sebuah kejutan bagi saya kerana saya tidak pernah tahu lagu ini adalah hasil ciptaan sifu dan terus terang tidak langsung boleh menangkap idea tersebut.
Ogy & Ebby di era 80-an saya kira sudah mencipta sesuatu yang not bad at all untuk karier muzik mereka yang hampir kesemuanya terhasil kerana lakonan dalam filem-filem hebat yang sudah menjadi naskhah malar segar sehingga hari ini. Lagu-lagu di album ini masih boleh didengari dan dinikmati tanpa rasa ia sebagai sebuah naskhah yang lapuk.
ARTIKEL BERKAITAN
Mendengarkan Kembali Pasaran Muzik Era 80-an Ramlah Ram Sebagai Brand New Pop Sensation