
Lagu: Cukup Derita Itu
Artis: Siti Nordiana
Komposer / Lirik: Tam Spider / Siti Rosmizah
Siti Nordiana bergelar persona Balada sejak awal memunculkan diri di persada muzik tempatan dengan debut hits “Cinta Hanya Sandaran” pada tahun 1999 cukup selesa dengan jaluran muzik ini tanpa masih belum mahu menghentikan langkah bermuziknya.
Sudah banyak bekerjasama dengan nama-nama besar tempatan seperti Adnan Abu Hassan, Azmeer, LY di awal karier bermuzik bersama FMC. Nana terus bernafas dengan rencana barunya setelah fasa Gegar Vaganza dengan menghasilkan lagu-lagu sendiri sebagai kesinambungan karier.
Maka terhasil sudah hits seperti “Terus Mencintai”, “Hatiku Milikmu” dan “Satukan Rasa” yang meletakkan nama Nana dalam radar popular sehingga hari ini.
Setelah tahun lalu menghadirkan single “Angkara” bersama Sharon Paul, Nana menerbitkan dua projek istimewa bersama Nubhan dengan penghasilan lagu “Sekali Lagi” dan yang terkini bersama Ustaz Sharizan menerusi album kerohanian “Hasbi Rabbi”.
Tanpa mahu terus menghampakan penggemarnya, Nana muncul dengan sebuah lagi Balada berjudul “Cukup Derita Itu” yang melatari drama bersiri yang mengambil tajuk serupa.
Bekerjasama dengan komposer berpengalaman Tam Spider (Di Pintu Syurga), Nana sekali lagi mengalirkan emosinya dengan cukup baik menerusi lagu ini.
Lagu ini seperti biasa saya kira terhasil mengikut acuan biasa Balada OST yang sebetulnya tidaklah hadir dengan formula baru Balada yang baru. Namun syahdu dan rayunya itu menarik kerana persembahan vokal sederhana Nana.
Hal yang jelas dalam nyanyian Nana saya kira adalah dia bukan penyanyi yang suka berteriak. Nada tingginya cukup terkawal, dibaluti emosi yang sepatutnya. Dan hal-hal ini juga anda dapat dalam nyanyiannya dalam lagu-lagu sebelum ini.
“Cukup Derita Ini” jika dipandang dari sudut pengisian runut bunyi drama saya kira ia masih okey dan acceptable. Namun untuk perkembangan karier Nana sejujurnya ia terlalu biasa. “Angkara” saya letakkan setakat ini masih menjadi Balada terbaik yang pernah Nana rakamkan sepanjang kariernya.
5.8/10
ARTIKEL BERKAITAN