
Maliq & d’Essentials menjadi antara alasan mengapa saya terus mahu menikmati muzik Indonesia ketika usainya fasa Ruth Sahanya, Dewa 19 dan Sheila on 7 yang selepas itu dibanjiri band Pop cinta seperti Ungu, Seventeen, D’Massive yang kurang menarik minat saya.
Dengan debut berjudul “1st” yang beredar pada tahun 2005 menampilkan hits malar segar “Untitled” , “Terdiam” dan “Kangen” meledakkan nama mereka sebagai R&B Jazz band yang menyatukan feel Indonesia di lagu-lagu mereka.
Bagi rata-rata yang berada di Malaysia saya pasti “Sampai Kapan” kolaborasi bersama Camelia memperkenalkan nama Maliq & d’Essentials di sini. Single yang cukup sensual membuai rasa itu sehingga hari ini menjadi lagu terbaik mereka sepanjang bermuzik.
“1st” memertaruhkan Urban Pop yang disaduri R&B, Jazz, Funk dan Soul yang disatukan dalam ramuan rasa yang cukup kuat jiwa Indonesianya. Hal ini sangat boleh didengari dalam lagu seperti “Terdiam”, “Harus Bagaimana”dan “Berlayar”.
Menerusi album kedua mereka, “Free Your Mind” (2007) kugiran ini meneruskan ilham yang ada di album perdana tetapi dengan meletakkan lebih groove, lebih funk dalam sebuah adrenalin berbeza.
Muzik mereka melengkapkan jiwa-jiwa yang dahagakan sesuatu yang segar
Lagu-lagu seperti “Free Your Mind”, “Funk Flow” dan “Heaven” memperlihatkan keyakinan mereka untuk terus bereksperimen dengan muzik mereka. Dan sekali lagi tanpa gagal, album ini menampilkan sebuah lagi masterpeiece berjudul “Dia” yang sehingga hari ini sudah distrim lebih 11 Juta kali di Spotify.
Dan kejayaan formula dua album awal ini diteruskan di album “Mata, Hati, Telinga” (2009) dan “The Beginning of a Beautiful Life” (2010) yang sekali lagi tanpa gaga membuat kita sebagai pendengar menikmati satu pengalaman muzik yang cukup menarik sekali.
- Maliq MK1
- Maliq MK2
- Maliq MK3
- Maliq MK4
- Maliq MK5
- Maliq MK6
- Maliq MK7
Arah muzik Maliq & d’Essentials terarah ke satu fasa berbeza ketika mereka mengedarkan “Sriwedari” pada tahun 2013. Di saat ini sebagai pendengar saya benar-benar diduga dengan sound baru kugiran ini yang bereksperimen dengan nuansa swingingg 60’s dan plucking gitar The Beatles menerusi lagu “Setapak Sriwedari” sehingga pengaruh dangdut “Drama Romantika”.
Album ini antara yang lama saya hadami muziknya. Arah yang berbeza dalam muzik kugiran ini sebetulnya cukup menuntut kesabaran sebagai pendengar yang sudah biasa dengan alunan “Dia” atau “Untitled” dan vintage santai “Menari”.
Namun setelah berjaya mencari cara terbaik menikmati album ini yang saya mulakan dengan catchy melodi “Drama Romantika” diikuti “Dunia Sekitar” juga “Setapak Sriwedari” barulah roh sebenar “Sriwedari” menyatu dengan pendengaran saya.

Majlis pelancaran Album Senandung Senandika (2017)
Dan tidak berhenti di situ, mereka terus mencabar pendengaran saya dengan album “Musik Pop” (2014) dan “Senandung Senandika” yang menyatukan elemen muzik Maliq itu sendiri dengan pengaruh City Pop dan Synth yang cukup kuat sekali.
Kali ini mereka hadir dengan lebih berat isi muziknya untuk dinikmati dan tidak salah jika saya sehingga hari ini “Senandung Senandika” adalah album paling berat untuk dinikmati pendengar Pop seperti saya.
Lagu-lagu yang terisi di album ini agak sukar menemukan titik mesra pendengaran dengan eksperimentasi instrumen muzik yang bermacam-macam. Di pembuka album ini sahaja sudah mencabar saya dengan opening oriental “Sayap” yang kemudian menyatu dengan Synth Pop.
Saya sempat meninggalkan ke tepi album ini kerana agak sukar untuk pendengaran saya hadam isi muzik yang terisi di album tersebut namun saya faham sebagai pemuzik kugiran ini sudah tentu mahu evolve dengan sound baru yang meninggikan intelektual muzik mereka tanpa mahu berkompromi lagi menghasilkan apa yang sudah mereka tawarkan sebelum ini.

Sepanjang 19 tahun mereka bermuzik saya secara peribadi sudah menonton 3 kali persembahan Live mereka. Dua kali di Jakarta (Red White Jazz & Java Jazz) dan sekali ketika mereka melakukan persembahan di Life Centre Kuala Lumpur.
Tidak ada satu persembahan pun yang saya kira tidak menghiburkan. Setiap satunya memberi pengalaman berbeza buat saya sebagai penggemar muzik Maliq & d’Essentials yang sentiasa penuh dengan kejutan juga keterujaan baru setiap kali keluar dengan single, album mahupun persembahan live.
Namun yang akan pasti sentiasa saya ingat pasti di pentas Red White Jazz, Kemang yang cukup intimate sekali. Sempat saya bertemu mereka selepas show dan sejak daripada itu say amengumpul semua CD Maliq & d’Essentials yang tersempat baik dalam simpanan.

sesi rakaman album di abbey road studios
“Raya” yang beredar awal tahun ini di platform muzik digital merupakan sebuah rangkuman muzik yang menyatukan dua fasa karier mereka di tiga album pertama (1st, Free Your Mind, Mata Hati Jiwa & The Beginning) dan tiga album studio terakhir (Sriwedari, Musik Pop & Senandung Senandika).
Kugiran ini menemukan satu formula lengkap mengadun dua fasa ini dalam sebuah persembahan album yang menyantuni skop estetika dan komersilnya dalam sebuah pengalaman menikmati muzik Maliq & d’Essentials dengan cara paling mudah dan menyenangkan.
Dan secara peribadi saya meletakkan “Raya” sebagai album terbaik mereka sepanjang bermuzik dalam usia 19 tahun di tahun ini. Groove, soul dan feels yang dirasai secukupnya.
Selamat ulang tahun bermuzik buat Maliq & d’Essentials. Terima kasih untuk 19 tahun yang bercampur baur rasa menikmati muzik yang terkadang membuai, memberi kesenangan hati, membuat saya menari dan juga terima kasih untuk lagu-lagu yang merumit deria dengar saya. More music in future pastinya.
ARTIKEL BERKAITAN
Maliq & d’Essentials Merayakan Kembara Bermuzik Dengan Penghasilan Album Ke-8