
Lagu: Terpikat Senyummu
Artis: Idgitaf
Komposer / Lirik: Burigita Sriulima Beru Meliala
Produser: Idgitaf
Lewat hujung tahun lalu pasaran muzik Indonesia diperkenalkan dengan bakat-bakat baru yang cukup menarik untuk diberi perhatian akan persembahan muzik mereka yang cukup membanggakan.
Dua nama yang begitu menarik perhatian saya adalah Dere yang cukup booming dengan single “Kota” dan baru-baru ini hadir dengan single terbarunya “Tanya” yang kedua-duanya hasil kolaborasi bersama Tulus.
Dan seorang lagi bakat muda yang cukup menarik untuk dikongsi bersama anda adalah persona yang memperkenalkan dirinya sebagai Idgitaf yang mengendong ilham Akustik Pop dalam cerita penuh humanisme.
Berawal dengan single “Hal Indah Butuh Waktu Untuk Datang” yang beredar Disember tahun lalu, Idgitaf menawan pendengaran pasaran muzik Indonesia dengan kelembutan bermuzik yang dipersembahkan.
“Hal Indah Butuh Waktu Untuk Datang” tidak hanya hadir dengan melodi lembut yang terhasil dengan hook tersendiri, namun ia lengkap dengan penulisan lirik yang cukup meraikan kepelbagaian kita sebagai manusia.
Hal-hal indah di lagu tersebut diteruskan Idgitaf dengan sebuah lagi single yang meneruskan ilham Pop Akustinya di lagu terbaru berudul “Terpikat Senyummu”.
Lagu ini saya kira begitu mudah menarik pendengaran, tanpa perlu memaksa pendengar larut dalam kesederhanaan Idgitaf yang dalam alunan lembutnya.
“Terpikat Senyummu” membawa cerita patah hati dalam satu persembahan lirik yang cukup positif, empowering self emotion dengan sangat baik sekali. Bait-bait lirik ini cukup menarik dihayati “Tak mau lagi aku Terpikat senyummu yang memabukkanku…”
Lagu ini benar-benar mengingatkan saya pada karya awal Tulus seperti “Sewindu” yang hadir dalam pesona bermuzik yang cukup sederhana tetapi cukup menangkap perasaan.
Idgitaf saya kira menjadi bakat muda yang akan terus dinantikan karya-karyanya di masa mendatang. Dan di saat baru beberapa bulan dia memperkenalkan diri di lapangan komersil ini saya sudah boleh letakkan dia antara yang paling menarik untuk dinikmati muziknya.