
Umum mengetahui pasaran muzik Tradisi Melayu hari ini impaknya tidak lagi sebesar era kegemilangan 50-an – 70-an Ketika Sharifah Aini, Kamariah Noor atau Saloma merayakan dengan suara merdu mereka.
Dan apa yang pasti juga era arwah Pak Ngah meninggikan standard lagu-lagu Zapin, Inang dan Joget agak payah untuk kembali mencuri perhatian pendengar baru setidaknya dalam masa terdekat ini.
Saya kira ini hakikat yang menyedihkan dan tidak berhujung jika mahu dibicarakan. Apa yang pasti muzik harus evolve seiring citarasa pasaran muzik semasa. Dan begitu juga muzik Tradisi Melayu yang saya kira harus digerakkan dengan cara lebih kekinian. Approach baru dalam ilham meninggikan standard teks lama itu yang harus difikirkan.
Usaha melestari dan meniggikan Tradisi Melayu menerusi muzik juga harus bergerak seiring pasaran muzik global. Dan sebetulnya gerakan ini sudah berjalan tetapi dalam skala yang sangat kecil dan tidak diangkat sepenuhnya.
Saya berbicara tentang beberapa usaha yang dilakukan bakat berjiwa besar seperti NJWA, Monoloque, Asmidar dan yang terkini Dayang Nurfaizah dalam usaha mereka meninggikan standard muzik Tradisi Melayu ke tahap yang lebih baik – tastefully produced.
NJWA menerusi “Seri Mersing” yang dirakam semula menerusi EP “Aurora” sudah memulakan langkah ini dengan memberi suntikan muzik moden dalam rencah Seri Mersing. Dan saya pasti apa yang dilakukan NJWA visinya adalah untuk melestarikan “Seri Mersing” sebagai naskhah Klasik yang harus terus diperdengarkan generasi baru dengan cara baru.
“Seri Mersing” itu sendiri jika dilihat sejarahnya sudah merentas zaman dari versi Saloma, Sharifah Aini, Kamariah Noor, Klthom, Fauziah Idris, Siti Nurhaliza dan sehingga NJWA semuanya diperbaharui dengan suntikan muzik yang sesuai dengan zaman.
NJWA dalam sebuah lagi rilis terbarunya “Togok” memanipulasi ilham asal instrumental melodi Gamelan menjadi sebuah naskhah yang cukup menarik untuk dinikmati.
Ada yang pernah mendengar “Seri Mersing” versi Alleycats? Jika belum silalah ke Spotify atau YouTube. Semuanya versi-versi ini diperbaharui mengikut zaman masing-masing. Asas melodinya masih sama, namun digubah susunan muziknya dengan tujuan meneruskan kelangsungan kehebatan lagu tersebut.
Hal modenisasi dalam muzik tradisi Melayu ini juga dilakukan Zainal Abidin Bersama Tan Sri S.M Salim menerusi lagu berjudul “Satu” dan lihat kebijaksanaan M.Nasir dalam memanipulasi Keroncong, Langgam dan Joget dalam lagu-lagunya.
NJWA tidak bersendirian dalam memberi suntikan baru muzik Tradisi Melayu ini. Asmidar Bersama Kugiran Keronchong Bilek Ayer merakamkan semula “Selamat Tinggal Bungaku” (Tan Sri S.M Salim) dalam ilham moden yang cukup segar penghasilannya.
Segala kemodenan bunyi dalam rendisi KBA masih dijaga keaslian melodi asalanya tanpa mengubah tetapi mencantikkan naskhah tersebut seiring dengan sound pasaran muzik global hari ini. Dan usaha yang sama diteruskan KBA menerusi lagu “Bahtera Merdeka” (Aishah) dan “Keroncong Hujan” (Adibah Noor).
Asmidar saya kira memang cukup memahami kepentingan melagukan Kembali naskhah Tradisi Melayu ini dengan cara baru, bunyi baru. Hal ini diteruskannya dalam lagu “Sireh Pinang” yang juga pernah dirakamkan Azlina Aziz.

Bersama MonoloQue Asmidar sekali lagi merakamkan lagu Tan Sri S.M Salim berjudul “Tak Seindah Wajah” yang saya letakkan sebagai naskhah rakaman terbaik tahun lalu. Cara Loque mengemas kembali perincian di lagu ini dengan isntrumen muzik yang pelbagai menjadikan versi ini antara yang cukup penting dalam sejarah baru muzik Tradisi Melayu.
MonoloQue juga menerusi album “Hikayat Halimunan” yang beredar sekitar 2011. Lagu seperti “Batu Belah Batu Konkrit” menampilkan Azlina Aziz hadir dengan bunyian Gamelan dan suntikan Keroncong dalam lagu “Penghormatan Terakhir” memberi ilham baru dan segar yang disatukan dengan bunyian signature MonoloQue.
Hal memperbaharui lagu-lagu Melayu klasik dan Tradisional ini sangat penting bagi saya untuk kelangsungan karya-karya emas ini untuk terus didengari berganti generasi. Apresiasi muzik tidak patut dihentikan.

Ushera seorang lagi bakat tempatan yang hadir dengan ilham Pop Klasik menerusi album perdananya b yang beredar sekitar 2016. Beberapa lagu di album ini seperti “Jikalau Abang Merindu” dan “Bunga Raya” mengambil ilham Klasik Melayu dengan cukup menarik sekali penghasilannya.
Jika di barat saya kira hal ini berterusan. Lihat sahaja bagaimana legasi Jazz Nat King Cole, Frank Sinatra, Billie Holiday atau Etta James masih dilagukan sehingga hari ini oleh generasi baru yang menggubah semula teks melodi asal dengan bunyi baru yang dekat dengan pendengar tempatan.
Dayang Nurfaizah Bersama Aubrey Suwito menerusi projek istimewa “Belagu” sudah melakukan hal serupa. Album ini digarap dengan cukup membanggakan sebagai sebuah apresiasi lagu-lagu lama ini untuk kekal diperdengarkan sehingga hari ini. Saya tidak sabar untuk anda semua menikmati betapa cantiknya susunan muzik Aubrey untuk lagu “Malam Ku Bermimpi” yang cukup grand sekali penghasilannya.
Hal-hal modenisasi muzik Tradisi Melayu ini tentu saja sudah bermula dulu lagi. Masih ingat rencana Ning Baizura memberi suntikan moden di rakaman semula “Sayang Di Sayang” dan Aishah menerusi melodi “Jari-Jariku Sakit Semua” karya P.Ramlee? Kedua-dua lagu ini menjadi naskhah Fusion Traditional yang dirangka dengan cukup menarik.
Usaha ini harus diteruskan lebih ramai bakat-bakat muzik hari ini. Namun saya juga faham tidak semua punya visi yang sama dengan NJWA, Asmidar, MonoloQue juga Dayang dalam memberi tafsiran segar muzik Tradisi Melayu lama dengan sentuhan moden. Dan ya tidak ramai pendengar yang terbuka dengan idea ini.
Sebagai pendengar anda perlu faham kegemilangan muzik Tradisi Melayu itu bukan hanya ada di era Pak Ngah sahaja.
Tolehlah sedikit ke belakang. Dengarkan album-album hebat seperti “Lela Manja” (Sharifah Aini & Hamzah Dolmat), “Bimbang” (Saloma), “Phoenix Bangkit” (M.Nasir) dan “Sawo Matang” (Noraniza Idris) – di sini anda dapat lihat betapa besarnya skop muzik Tradisi Melayu itu.
Atau lihatlah usaha yang dilakukan anak-anak muda seperti Alena Murang meninggikan instrumen muzik Sape dalam ilham Etnik yang cukup authentic sekali hasilnya. Sang Rawi juga antara kugiran baru yang tinggi nilai estetika muzik Melayu dalam penghasilan lagu-lagu mereka.
Ia hanya menuntut kebijaksanaan dan kerajinan untuk anda sebagai pemuzik mengkaji juga memanipulasi muzik ini mengikut peredaran zaman yang berganti. Saya pasti juga apa yang dilakukan NJWA, MonoloQue juga Asmidar menerusi sound baru the brand new traditional ini ada yang tidak akan menyokong.
Tetapi percayalah muzik itu harus evolve seiring pasaran semasa apa yang penting akar muziknya dijaga baik. Demi mengutuhkan dan meneruskan keunikan muzik tradisi Melayu itu perubahan harus juga dilakukan.
ARTIKEL BERKAITAN
Dangdut Not Dead: Struggle & Survival Dangdut Dalam Pasaran Muzik Tempatan