
Najip Ali mungkin lebih dikenali sebagai seorang Pengacara TV bagi kebanyakan orang namun sebetulnya Najip saya gelar sebagai Pop Icon of the 90’s. Pengaruhnya di TV tidak hanya sebagai seorang pengacara tetapi lebih daripada itu.
Kelibatnya sering dinantikan kerana imej quirky yang ada padanya setiap kali tampil di televisyen dengan idea-idea “Oonik” yang membentuk satu branding “Najip Ali” itu sendiri.
Dan semua hal quirky tersebut diterjermahkan juga dalam karier muziknya. Najip Ali sempat melahirkan dua buah album Pop dengan satu sound tersendiri yang tidak dimiliki mana-mana penyanyi di Singapura malah di Malaysia ketika diedarkan.
Dua album dihasilkan adalah “Oonik” (1995) dan “Rawjak” (1997) terhasil di bawah label Pony Canyon yang ketika itu berpusat di Jepun juga Malaysia. Antara artis lain yang berada di bawah Pony Canyon ketika itu adalah Amy Mastura sebelum dia menyertai Sony Music (M).
“Oonik” terhasil sebagi sebuah conceptual album dengan mengambil ilham Pop Dance. Menerusi album ini Najip Ali bekerja bersama trio KRU dalam penghasilan hit utama berjudul “Kita Oonik” dan terdapat sebuah lagu lagi ciptaan trio ini berjudul “Cinta Oonik” yang kemudian dirakam KRU sendiri dengan judul “Cinta Metropolitan”.
Album ini bergerak dalam pengaruh Pop Madonna, George Michael dan Michael Jackson sebetulnya. Pengaruh-pengaruh ini terasa sekali di beberapa trak seperti “Oonik Love” dan “Ooniknya Super Nona” yang kental ilham Dance yang diadun dalam feel Melayu menerusi penulisan penceritaan lirik.
Sample “Dodoi Si Dodoi” menerusi “Ooniknya Super Nona” antara yang cukup menrik pendengaran saya. Keseluruh album “Oonik” ini saya satu naskhah kreatif yang ada dalam diri Najip Ali sebagai artis yang tahu kraf muziknya.

Album keduanya tampil lebih menarik. Mengambil judul “Rawjak” sebagai signifikan kepada muzik fusion yang dihasilkan menerusi album ini, Najip Ali menjadi semakin interesting dalam persembahan 11 trak yang ada di album ini.
Dan kali ini dia bekerja dengan produser muzik Jepun iaitu Norihiko Yamanuki yang menghasilkan sebahagian lagu-lagu dalam album ini dan memberikan pengaruh J-Pop dalam Dance dan Jazz yang disusun cukup kemas dan menarik sekali.
Lagu berjudul “Ning” yang saya kira hanya sekadar judul, tetapi Najip benar-benar menghadirkan vokal Ning Baizura menerusi lagu ini. Such a great Pop song! Saya boleh mengulang berkali-kali lagu ini kerana saya sukakan Ning yang begini, muziknya terasa lebih cocok dan sesuai vokal Ning (sepertimana di album Natural Woman).
Sebuah lagi lagu yang cukup saya enjoy di album ini adalah rakaman semula kugiran The Doors berjudul “Strange” yang dibikin dengan satu momentum muzik yang cukup unik sekali di bahagian tengahnya seperti mendengar Bjork.
Najip Ali saya kira cukup tersendiri dalam mengemudi kraf muziknya dengan cukup tersendiri. Dua album ini saya kira cukup untuk membuatkan dia banggakan kerana penghasilannya bergerak jauh ke hadapan berbanding apa yang ditawarkan sekitar 1995 – 1997 di Malaysia juga Singapura.
Biar tidak ramai yang faham dan mampu menikmati album dengan konsep begini namun itu bukan hal penting kerana apa yang dia lakukan lebih 20 tahun lalu ini akan pasti menjadi sejarah penting muzik Singapura dan Malaysia.