
2019 Menyaksikan satu gerakan secara menyeluruh generasi baru produser muzik lokal yang rata-ratanya hadir dalam ilham Pop yang cukup membanggakan dengan signatur muzik mereka yang tersendiri.
Pop segar seperti “Bila Entah” (Aisyah Aziz), “Flashes” (Bil Musa & MFMF.), “Donde” (Andi Bernadee), “Sumpah” (Naim Daniel) “Diamonds” (Kaka Azraff), “Sebentar” (Dayang Nurfaizah) dan soulful Ballad “I Want You To Love Me” (Alif Satar) antara yang memberi warna dalam pasaran muzik Pop yang lebih beragam sifatnya.
Berikut senarai 5 Pop Creator Tempatan paling berpengaruh tahun ini dalam menghasilkan naskhah muzik Pop yang membanggakan dalam rencana meninggikan standard muzik tempatan.

MFMF.
Pasaran muzik EDM yang cukup dominan di pasaran antarabangsa dibesarkan sifatnya buat pasaran lokal oleh tiga bakat muda yang menggelar diri mereka MFMF. Sepanjang tahun ini saja, MFMF. sudah menerbitkan sepuluh lagu yang cukup moden dan terkini. Bermula dengan single Pop Hani & Zue menerusi lagu “Aku & Laguku” sehingga lagu paling tinggi jumlah strim “Flashes” bersama Bil Musa, MFMF. tentu saja sudah cukup buat muzik tempatan bergerak cemerlang.

ALIF
Pasaran muzik Hip-Hop digerakkan terus oleh Alif setelah Joe Flizzow dan Altimet. Alif berjaya mencipta satu kosmik Pop lokal dengan begitu current sekali sifatnya. Daripada ilham reggaeton “Donde” sehingga groove “Diamonds” Kaka dan lagu paling menjadi tahun ini – “Mimpi” K-Clique dan “Berserah” Kolaborasi Zizan bersama Ismail Izzani, Alif saya kira cukup genius dalam rencana membentuk standard berbeza muzik Pop semasa tempatan.

THE FAITHMEN
Faizal Tahir bersama Mike Chan, Mage & Romeo menghasilkan sebuah formasi kolaboratif dalam mengembangkan ilham Pop dalam acuan muzik mereka yang tersendiri. Bergerak aktif sejak 3-4 tahun kebelakangan, kolaborasi yang bergerak di bawah syarikat rakaman Faithful Music ini sudah menghasilkan hits buat Siti Nurhaliza, Aziz Harun, Nastia, Hanna Delisha, Dayang Nurfaizah, Zamani dan Faizal Tahir sendiri yang tampil dengan album terakhirnya “Rojak”.

FAROUK ROMAN & AMYLEA
Teras Balada tahun ini ternyata dimonopoli duo ini. Farouk bijak dalam memberi sentuhan yang lebih “emas” agar balada yang dihasilkan tidak kedengaran terlalu biasa. Dengan produksi muzik yang cukup berkelas, terperinci dan besar sifatnya, lagu-lagu Farouk Roman bersama Amylea ini dibantu vokal hebat pelantun-pelantunnya seperti Shila Amzah (Tiada Dirimu), Picisan (Adzrin Big Stage) dan Amylea sendiri menerusi lagu “Bukan Cinta”.

HAEL HUSAINI & EZRA KONG
Sejak penghasilan “Jampi” sehingga duet hebat “Haram” kolaborasi Hael & Ezra terus menghasilkan Pop yang berbeza feel nya untuk pasaran tempatan. Tidak meminggirkan elemen “Melayu” dalam lagu ciptaan mereka maka terhasil “Anta Permana” tahun lalu dan “Bila Entah” yang diterbitkan tahun ini dengan cukup berkelas sekali. Tidak salah saya sifatkan lagu yang dilantun sensual Aisyah Aziz ini sebagai naskhah terbaik kolaborasi duo ini.
ARTIKEL BERKAITAN