
Tampil cemerlang sejak single “Bukan Hal Aku” yang beredar awal di tahun 2015, Kaka Azraff bergerak cukup tersendiri dengan konsep muzik Urban Pop yang didukung sejak awal bersama produser muda, Alif.
Tanpa perlu bergantung dengan kehendak pasaran semasa yang sentiasa mahukan penyanyi wanita yang melaung nada-nada tinggi dalam setiap lagu, Kaka saya kira cemerlang mencorak perjalanan karier bermuziknya dengan caranya sendiri.
Setelah, “Bukan Hal Aku”, “Terima Kasih”, “Kembali” dan kali terakhir “Sibuk” – Kaka tampil dalam dua single projek istimewa lainnya iaitu “Shout It Out” menerusi runut bunyi Gol & Gincu Vol.2 serta sebuah single duet bersama Maya Karin awal tahun ini berjudul “Getaway”.
Terkini setelah hampir setahun “Sibuk” menjadi siulan, Kaka tampil sekali lagi penuh cemerlang dengan sebuah lagi karya cipta Alif bersama lirik Bil Musa menerusi love anthem berjudul “Diamonds”.
Lagu ini lagu cinta saya untuk Adam.
Mendedikasikan single ini sebagai permulaan jalan bahagia kehidupan rumah tangganya, Kaka berkata “Lagu ini tentang luahan rasa seseorang isteri itu mensyukuri nikmat bahagia yang dikecapinya. Dicintai, dibelai dan diberi perhatian sepenuhnya oleh suami.”
“Saya bersyukur dikurniakan suami seperti Adam dan berharap agar kebahagiaan yang kami rasakan ini akan kekal selamanya walaupun sudah beranak pinak, bercucu cicit nanti.” Tambah Kaka lagi tentang ekspresi cintanya menerusi lagu ini.
Lagu yang beredar 6 September lalu ini sekali lagi mengekalkan signatur muzik Kaka dalam pasaran muzik Urban Pop yang diproduksi Alif dengan cukup kemas. “Diamonds” merupakan sebuah rilis terbitan dan edaran Warner Music Malaysia.