
Perginya gitaris terkemuka tempatan, Fauzi Samin atau lebih senang disapa Aji di kalangan rakan pemuzik, penyanyi dan pengikut muzik tempatan hari ini mengejutkan dalam sibuknya persiapan show bersama Papa Rock, Ramli Sarip yang sepatutnya berlangsung malam ini.
Nama Aji sering saya lihat di inlay album-albumnya Anuar Zain (Keabadian Cinta), Dayang Nurfaizah (Dayang Sayang Kamu), Sheila Majid (Boneka) dan tentu saja di hampir semua produksi muzik Roslan Aziz.
Arwah Aji saya kira cukup dekat dengan nama-nama pemuzik kelas satu tempatan selain Roslan Aziz dia juga sering sepentas bersama Mac Chew, Jenny Chin, Wan Gigi serta Pacai dan Fendi – menghasilkan debut Afdlin Shauki berjudul “Fuuyo!”
Namakan saja siapa penghibur berportfolio tinggi yang tidak pernah mendapatkan sentuhan gitarnya – dari Jamal Abdillah, Amy Search, Ramli Sarip, Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Sheila Majid semuanya pernah diiring profesionalisme Aji dalam bermuzik.
Melewati kisahnya sebagai gitaris menemukan semula artikel temu bual Harian Metro yang cukup menarik sekali pengisiannya. Sedikit sebanyak lembar cerita hidupnya sebagai gitaris diceritakan menerusi artikel Mei 2010 seperti di bawah.
“Datang Seremban, Gitar Menunggu”
SEJARAH Aji mula bermain gitar bermula apabila menerima sebuah poskad tertera empat perkataan Poskad dihantar oleh pakciknya dari Seremban ke Kota Tinggi, Johor mengubah hidupnya yang kini bergelar gitaris profesional dan ‘sessionist’ yang kerap mengiringi ramai artis bertaraf antarabangsa termasuk penyanyi terkenal Taiwan dan China.
Kisah Aji atau Fauzi Samin, 43, menerima gitar jenis Aria Pro II bukan saja mengubah mentaliti beliau. Bukan itu saja, bakatnya turut mendapat perhatian produser Roslan Aziz di Roslan Aziz Production (RAP) dan pernah menjadi gitaris kumpulan muzik Afdlin Shauki selama beberapa tahun.
“Saya tak sangka sampai ke tahap sekarang kerana saya mula bermain gitar secara serius pada umur 16 tahun. Pakcik saya seorang pegawai polis di Seremban yang mahu melihat saya mahir bermain gitar. Dia mendorong dan berjanji membeli gitar dan mahu saya menjadi gitaris yang bagus dan mampu bermain muzik dengan baik. Beliau juga mengajar saya melukis gitar hinggalah bentuknya sempurna,” kata Aji, mengimbau kenangan lalu.

FENDI, AJI, ACIS, PACAI DAN AFDLIN
Kini bukan saja menjadi gitaris ratu jazz, Datuk Sheila Majid malah sering mengiringi Zainal Abidin, Jamal Abdillah, Amy, Dayang Nurfaizah, Anuar Zain, Mohram, Datuk Siti Nurhaliza, Kris Dayanti dan ramai lagi pada konsert berstatus besar.
Bahkan, tiada siapa tahu Aji juga pernah tinggal dan belajar gitar selama tiga bulan bersama gitaris hebat, Man Kidal di rumahnya di Kuala Lumpur. Ditanya beberapa pemuzik profesional antarabangsa, mereka menyifatkan Aji adalah seorang gitaris serba-boleh mengalunkan muzik jazz, blues, rock, pop atau apa saja muzik moden.
“Bukan saja mendapat gitar malah saya juga bermain muzik di sebuah kelab malam selama setahun di Wisma Punca Emas, Seremban dan antara artis rakan menyanyi di kelab terbabit adalah Adi Wow.
“Saya kemudian berhijrah di kelab malam di Kuala Lumpur sebelum bertemu Roslan (Aziz) yang menyuruh saya menyertainya dan meninggalkan kelab malam. Sejak itu, sambil mengiringi Afdlin, saya belajar gitar jazz dan mendalami disiplin dan nota muzik diajar Datuk Ramli MS.”
“Apapun, ingatan paling berbekas adalah kata-kata Roslan Aziz. Beliau mahu saya menjadi anak Melayu pertama bermain di kelab jazz masyhur dunia iaitu Ronnie Scotts Jazz Club di Frith Street, London.

arwah aji bersama jamie wilson
Akhirnya pada 1996, saya bersama Acis (keyboards), Pacai (bass) dan Che Mat (dram) berada di kelab itu bersama Sheila Majid dan lagu pertama kami mainkan adalah Di Sisi Daku. Antara nama besar pernah beraksi di Ronnie Scotts adalah Jeff Beck, salah seorang tiga bekas anggota The Yardbirds. Dua lagi adalah Eric Clapton dan Jimmy Page.
“Sejak itu, saya terus membuat persembahan bersama Sheila hingga sekarang. Bagi saya, muzik jazz Sheila ‘kompleks’, Jamal Abdillah memiliki ‘serious ballad’, Zainal perlu permainan ‘groove’ dan untuk lagu-lagu Amy Search ‘energy-driven’ dan seterusnya,” katanya.
Ditanya mengenai masa depan dan motivasi bermain gitar, Aji berkata dia tidak petik gitar untuk menjadi “wira gitar” atau menunjuk kemahiran bermain pelbagai gaya dan ‘chord’.
“Bagi saya, seberapa banyak lagu pun dimainkan, sejauh mana pun merantau, jati diri Melayu mesti kuat ibarat ikan di laut.

Aji bersama Jenny Chin.
“Paling menghairankan saya, ramai generasi muda tidak berminat menimba ilmu dengan orang lama yang hebat seperti Fauzi Marzuki, Manan Ngah dan Mac Chew. Mereka sudah memainkan pelbagai muzik tetapi apabila mencipta lagu, ‘perisa’ Melayu sangat kuat.
“Ramli Sarip ada memberitahu, meniru lagu orang luar tidak membawa ke mana dan lagu-lagu tidak mampu bertahan lama. Cuba tengok Blues Gang, mereka bermain muzik blues dengan lirik bahasa Negeri Sembilan, orang suka sampai sekarang kerana ada mengena dengan orang Melayu dan mendidik orang berfikir mengenai kerja.
“Saya tidak hairan jika kumpulan rock seperti XPDC atau May masih mempunyai pengikut yang ramai dan tidak ada masalah mengatasi populariti kumpulan rock baru yang cuba bermain muzik dengan gaya dan ‘flavour’ daripada orang luar.
“Apapun, buat masa ini, saya menjayakan 55 konsert setahun di merata tempat dan mahu terus berbakti kepada artis tempatan dengan permainan terbaik saya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN
15 Tahun Fuuyo! Sebagai Album Urban Pop Paling Tastefully Produced