
Usai tour konsert 3 negara Malaysia, Indoesia dan Singapura awal tahun ini, Siti Nurhaliza bakal membuat persembahan sulung di Australia pada Oktober ini bersempena OzAsia Festival 2019.
Dalam wawancara bersama Mediacorp, penyanyi berusia 40 tahun itu mendedahkan bahawa dia berbesar hati diberikan peluang tersebut. Beliau menganggap persembahannya itu sebagai satu kesinambungan kejayaan jelajah Asia baru-baru ini – Dato’ Siti Nurhaliza On Tour – yang meraikan 24 tahun pelibatannya dalam bidang nyanyian.
“Pihak penganjur dari OZAsia Festival datang ke Singapura untuk menyaksikan persembahan saya dan mereka menunjukkan minat terhadap muzik saya,” Menurutnya. Lebih istimewa lagi menurut Siti dia berharap dapat bekerjasama dengan seorang penyanyi tempatan kelak.
“Saya sangat teruja dan mengalu-alukan konsert ini kerana ia peluang keemasan untuk saya berkongsi muzik dan budaya Malaysia. Muzik yang akan saya dendangkan adalah gabungan etnik tradisional, pop dan irama moden.”
Acara tahunan Festival OzAsia ke-13 berlangsung dari 17 Oktober hingga 3 November. Ia menawarkan pelbagai acara dari panggung imersif hingga ke tarian kontemporari, selain persembahan yang menampilkan bintang-bintang antarabangsa. Siti dijadual membuat persembahan pada 18 Oktober di Festival Theatre.