Untuk menghasilkan sesuatu yang di luar zon komersil pasaran muzik tempatan bagi saya adalah sesuatu yang cukup berani seseorang pemuzik lokal mampu lakukan. Risikonya besar, jika ia berjaya hal ini mampu memberi pulangan pelaburan. Jika sebaliknya ia mungkin tidak merugikan daripada segi kepuasan berkarya namun investment dalam bentuk wang yang dikeluarkan mungkin menjadi satu pembaziran.
Beverly Matujal bukan nama besar pasaran muzik komersil mahupun indie. Namun setelah mendengar dan melihat kebolehan yang dimiliki, Beverly saya kira harus diangkat kerana keberaniannya memberi satu warna cukup berbeza pasaran muzik tempatan.
Keluar daripad zon selesanya yang sering tampil mellow menerusi beberapa single sebelum ini seperti “If I Fall in Love” dan “Escalate” – Beverly Matujal, bakat kelahiran Kota Kinabalu ini tampil dengan single up tempo berjudul “Goldmine”.
Lagu yang ditulis dan diproduksi sepenuhnya Beverly ini mengangkat isu materi dan nilai diri dalam merdu alunannya menerusi lagu berdurasi 3.42 minit ini.
“Goldmine” terlahir sebagai satu variasi yang cukup penting dalam pasaran muzik Malaysia. Melodinya dibikin dalam ramuan komersil dengan penelitian di bahagian produksi muzik yang baik. Formulanya sudah cukup untuk menjadi naskhah mesra pendengar.
Melewati kalender muziknya, Beverly banyak dipengaruhi legenda muzik folk dan country seperti Joni Mitchell, Carole King dan Dolly Parton dengan feel lebih current daripada bakat muda seperti Kacey Musgraves dan Gabrielle Aplin.
Keberanian Beverly membawa genre yang begitu jarang diambil peduli pasaran lokal ini saya kira harus diberi pujian. Setidaknya satu usaha daripada bakat muda sepertinya ini tidak membuatkan kita malu untuk diketengahkan ke peringkat lebih global. Hasil karyanya cukup tersendiri dan bersifat antarabangsa.
Bakat seperti Beverly dan beberapa rakan perjuangan lainnya, Amni Musfirah, Jamilah dan The Impatient Sisters memberi satu citarasa muzi yang lebih memikat. Semoga akan ada ruang untuk mereka diangkat ke peringkat lebih tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Mendampingi Feel Folk Pop Lokal Dalam Nota-Nota Lembut Beverly Matujal