
Pasaran muzik independen tempatan sentiasa tampil dengan anak-anak muda yang sentiasa mahu melakukan sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Eksperimentasi muzik Salammusik, Margasatwa dan Ramayan antara yang cukup memikat sekali percaturan mereka.
Dan tentu saja dala legasi ini, nama “Pitahati” antara yang akan sering diberi perhatian. Berawal sekitar 2011 dengan pembikinan EP “Bintang Bru Kristal Salju” (2011) serta dua album penuh “Fonetik Anak Candal” (2013) dan “Selamat Datang ke Panggung Suara” (2016) sudah meletakkan kugiran ini antara yang tinggi estetika kerja mereka.
Ilham nusantara dalam eksperimental rock dalam puitis lirik yang cukup humanis menjadi signature muzik mereka sejak awal lagi. Mendengar tiga lagu terawal di album “Fonetik Anak Candal” pantas mengingatkan saya pada kraf muzik kumpulan Kembara.
Dan kekaguman serta obsesi saya terhadap muzik kugiran ini diteruskan dengan album maha dasyat “Selamat Datang ke Panggung Suara” sebuah pengalaman menikmati muzik yang bukan biasa-biasa.
Pitahati yang dianggotai Ilham, Yassin, Zahar, Masrin dan Hidayat mungkin bukan nama besar dalam pasaran muzik semasa namun untuk menolak karya-karya mereka bagi saya itu mustahil. Sekali pun lagu-lagu mereka bukan jagoan carta muzik tempatan namun perhatian masih perlu diberikan buat pemuzik serius seperti mereka.
Meneruskan kelangsungan katalog muzik mereka, Pitahati kembali dengan single berjudul “Naraka” yang merupakan runut bunyi drama bersiri terbaru “Jibril”
Lagu yang dihasilkan sendiri lima bersahabat ini meneruskan ilham folk dengan cara mereka tersendiri dalam penghasilan melodi yang cukup baik beriring produksi muzik yang tidak kalah pada kualiti yang biasa-biasa. Jujur lagu ini begitu kuat roh dan semangat “M.Nasir” dalam karya-karyanya di era 80-an.
“Naraka” kini siap untuk distrim dan ditonton muzik video rasminya. Dan kita sebagai pendengar harus juga siap untuk terus menyokong “Pitahati” bagi meletakkan standard muzik tempatan ke tahap yang lebih membanggakan.
8.6/10
ARTIKEL BERKAITAN
#Review Pamungkas Tampil Penuh Kenikmatan Dalam Pengalaman Muzik Kelas Satu Menerusi “Flying Solo”