
Album: Fasa
Artis: Dalia Farhana
Produser / Arranger: Bajai / Amir Firdaus / Mas Dewangga / Dalia Farhana
Bakatnya cukup hijau saat “Langit Yang Sama” mencuri perhatian namun potensi yang dia persembahkan lewat single tersebut memberi satu keyakinan akan bakat wanita yang mahu melakukan sesuatu yang sedikit berbeza daripada apa yang sedia ada. Duet bersama Aziz Harun “Akhir Cerita” antara yang paling saya gemari.
Ilham Folk yang disulam puitis lirik dalam persembahan Pop yang ada pengaruh Indo Folk ala Nadin Amizah dan Feby Putri menjadi arah muzik Dalia. Dan sebetulnya di Malaysia boleh dihitung dengan jari sebetulnya berapa saja bakat wanita yang mahu datang dengan ilham ini. Heidimoru satu antaranya yang selebihnya masih mahu menjual pesona suara nan lantang.
Dalia memiliki kelebihan pada bakat penulisannya. “Fasa” digerakkan dengan idea tersebut – meletakkan dia sebagai bakat yang ada ketersendirian tanpa terlalu bergantung pada kehendak pasaran muzik semasa sahaja. Dan jika mendasari market segmentation muzik hari ini, apa yang ditawarkan Dalia benar-benar ada pendengarnya. Tanpa perlu peminat yang riuh seribu, muziknya diraikan sebaiknya.
Cara terbaik menikmati album ini adalah bersama lirik-lirik yang ditulis puitis
Album ini dibuka dengan “Tuhan Tahu” (Dalia Farhana / Amir Firdaus) yang laju membuka ingatan saya pada lagu-lagu Feby Putri. Tidak mengapa kerana ia rujukan yang baik dan permulaan yang baik untuk Dalia bertumbuh sebagai pemuzik yang matang dan terus belajar. Penulisan Dalia sedap dan membuat saya leka dengan penciptaan melodinya “Kuat saja walau tiada bahu” // “Tiada telinga yang mendengari“ // “Siang saja teguh berdiri” – terhasil menawan.
Hal-hal lirik yang bersulam baik melodinya ini bersambung pada lagu-lagu seperti “Beban”, “Berat Sebelah” dan “Cancer” – yang berlandas ilham muzik serupa dan berbalut penulisan lirik yang menyentuh. Dalia memberi justifikasi emosi yang sebaiknya pada setiap lagu yang dia persembahkan. Suaranya lembut tapi masih ada weight dalam menyalurkan emosi yang bertepatan pada setiap lagu.
“Trauma” (Dalia Farhana / Mas Dewangga / Amir Firdaus) datang dengan kemasan muzik yang memberi sedikit sentuhan berbeza. Piano Mas Dewangga di lagu ini haunting dengan signature beat yang ada dalam setiap karya sentuhan bakat muda ini memberikan satu sentuhan berbeza dalam lagu ciptaan Dalia. Bahagian tengah ke hujung lagu bergerak dengan momentum yang lebih keras dalam lembut persembahan Dalia. Saya seronok mendengarkan setiap perincian instrumentasi di lagu ini, menarik. Ini antara lagu terbaik yang ada di album ini .
“Tsunami” (Dalia Farhana / Amir Firdaus) bergerak atas perlambangan. “Apa guna bernafas di bumi
// Jika sudah separuh aku di dia.” Lagu ini antara yang terhasil cukup deep emosinya. Semakin ke hujung Dalia menjadi semakin beremosi. “Nanti Pulang ke Aku Ya?” (Dalia Farhana) menjadi track kegemaran saya di album ini. Hanya dengan sekali mendengar, lagu ini sudah menjerat pendengaran.
Melodi yang dihasilkan cukup ramuan komersial dengan estetika kekinian dan sekali lagi datang dengan penulisan lirik yang baik. “Moga kita bertemu di titik terbaik // Menurut Sang Pencipta.” // “Pulang ke rumah sama // Pejam mata bersama.” Menerusi lagu ini saya kira Dalia akan memiliki sebuah lagi hits yang akan terus didengari penggemar muzik masa kini.
“Fasa” bergerak sebagai sebuah potensi Dalia Farhana untuk bertumbuh matang sebagai pemuzik yang akan dewasa dalam percaturannya. Apa yang perlu dia lakukan sekarang adalah untuk terus konsisten dan meneroka lebih lagi jaluran muzik lain yang mampu memberi infusi berbeza pada sound yang sudah dia hasilkan sekarang. Dan terbuka berkolaborasi dengan lebih lagi pemuzik lainnya.
7.8/10
ARTIKEL BERKAITAN