
LEGASI MUZIK PAK NGAH TERHENTI 25 SEPTEMBER 2018 LALU
Luluh kiranya hati saat membaca pautan berita Utusan Online, 25 September 2018 lalu akan perginya khazanah berharga Muzik Melayu nusantara Pak Ngah atau nama sebenarnya Shuhaimi Md. Zain pada usia 59 tahun. Perkhabaran pilu Pak Ngah pergi buat selamanya itu dilaporkan ketika dia masih berada di Batam atas urusan kerja.
Perjuangan muzik Melayu asli nusantara yang dikendong bakat berharga ini bagai terhenti tanpa terbayang atau terlintas mana kan lagi pelapis yang mempu memberi aspirasi muzik sebesar yang pernah Pak Ngah sumbang sejak dia mula aktif di era 60-an dengan penyertaan kugiran Sisco Kid sehingga menjadi pengarah muzik festival-festival muzik terbesar se-Malaysia.
Melihat kembali portfolio muzik maestro yang satu ini membawa kita kembali ke tahun 1997 ketika sebuah album solid bunyian Melayu asli didondang dendangkan oleh sang primadona bernama Noraniza Idris. Kemunculan album berjudul Ala Dondang dengan hit malar segar berjudul “Awallah Dondang” (Anak Sarawak / Hairul Anwar Harun) membuka mata ramai orang akan keindahan muzik Melayu yang dikomersilkan dengan cukup segar dan merdu penghasilannya.
“Ala Dondang” menjadi titik temu Pak Ngah, Noraniza Idris dan pengikut muzik tempatan (Malaysia) ketika itu bersatu untuk meninggikan lagi darjat muzik Melayu asli ke tahap paling harum dan membanggakan.
Aturan yang sudah disusun itu diteruskan dengan legasi bintang Pop terheboh ketika itu, Siti Nurhaliza yang meneruskan penerimaan luar biasa “Awallah Dondang” dengan single asli pertamanya “Cindai” yang pengaruhnya tidak hanya di Malaysia malah menyeberang selat Melaka untuk terus dihargai peminat muzik Singapura juga Indonesia.
Dan ketika itu saya kira, irama Melayu asli berada di tahap paling membanggakan sekali. Ternyata dengan masa dan rezeki yang tepat sesebuah naskhah itu mampu menjadi begitu berharga sama seperti kilaunya emas yang takkan runtuh nilainya.
“Cindai itu sebenarnya menceritakan tentang seorang wanita yang cekal dalam perjuangannya. Perlambangan kain songket yang jika dipintal mampu sekuat senjata lain. Cerminan itu yang mahu disampaikan dalam lagu tersebut.” – Pak Ngah
Kelangsungan akan kejayaan Awallah Dondang dan Cindai diteruskan dengan deretan hit seperti Manira (Noraniza Idris), Balqis (Siti Nurhaliza), Tinting (Noraniza Idris) sehingga ke album duet terbaik Seri Balas (1999) dengan hit Hati Kama yang menjadi album tradisional pertama dinobat sebagai Album Terbaik Anugerah Industri Muzik Malaysia pada tahun 2000.
Sejarah yang dicipta tidak hanya sekadar ilham Siti & Ani tetapi Pak Ngah turut menjadi aspirasi label muzik selain Suria Records untuk mencipta the next Siti & Ani. Maka lahirlah Dwi Sabitah (Fadilah & Norazimah) yang terlahir daripada program pencarian bakat TV3 namun impaknya tidaklah sehebat Seri Balas tetapi masih penting bagi saya dalam menyemarakkan kebangkitan muzik tradisional.
Dan selepas itu mucul lagi beberapa bintang Pop yang mencuba irama tradisi ini dengan menggunakan formula serupa Pak Ngah. Maka lahirlah another duo bernama Siti Nordiana & Syura.

Menerusi album duet berjudul “Firus” pada tahun 2000 dengan barisan produser otai seperti S.Atan. Namun sebelum itu Nana terlebih awal merakam lagu berjudul Zapin Pak Ngah Balik (Rosli Selasih) menerusi debut yang diedarkan tahun 1999.
Langkah Syura dalam pemasaran genre muzik Melayu asli diteruskan dengan single “Nazam Berkasih” yang akhirnya menggunakan khidmat Pak Ngah sebagai produser album diberi judul “Balaghah” album penuh irama tradisional.
Dan the list goes on dengan bakat-bakat terrnama Sharifah Aini (Yayadan), Ziana Zain (Bagai Gahara) dan Jamal Abdillah (Samrah Mentari) sehinggalah bakat-bakat muda seperti Syazliana, Haziq, Zehra Zambri dan lain-lain yang menggunakan khidmat arwah secara meluas dan komersil.
SURVIVAL PAK NGAH MENERUSKAN CITA DAN JUANG IRAMA TRADISI
Saya kira selain Noraniza Idris yang tinggal mungkin hanya Pak Ngah yang sentiasa mahu meneruskan survival muzik tradisi agar tidak hilang ditenggelami muzik moden semasa khususnya.
Usaha berterusannya dalam memartabatkan irama ini tidak hanya di negara lahirnya dia tetapi sehingga ke Indonesia dalam mensejagatkan muzik tradisi ini menjadi satu.
Selepas program 3 Juara anjuran TV3, Pak Ngah aktif sebagai juri program Dangdut Akademi Asia (DAA) dalam mencungkil bakat serta mengembangkan legasi muzik tradisi. Dan dengan progam ini juga maka lahirlah bintang seberang bernama Lesti yang merakam lagu ciptaan Pak Ngah berjudul “Zapin Melayu” yang turut meledakkan nama Lesti dalam pasaran muzik Dangdut di Indonesia.

Pak Ngah Ketika Menjadi juri 3 Suara
Setiap usahanya adalah kejayaan bagi muzik tradisional sebetulnya. Dia memartabatkan genre muzik ini tanpa lelah dan putus asa. Saya cukup tertarik dalam kenyataan yang dibuat menerusi Utusan Online
“Saya faham ini waktu yang sukar tapi perjuangan harus diteruskan. Saya yakin, kalau kita berusaha peluang yang lebih baik bakal muncul. Kita kena fokus terutama dari segi promosi,” – Katanya merujuk akan penerimaan muzik tradisional hari ini.
Dalam artikel berjudul “Kalau Bukan Saya Siapa Lagi?” tulisan Alif Fadli itu, Pak Ngah turut menyatakan cabaran sebenar muzik tradisi hari ini adalah soal kreativiti yang harus diolah seiring pasaran muzik sekarang. Selain itu strategi pemasaran yang betul dalam meneruskan kelangsungan muzik ini.
Cindai, Hati Kama, Dikir Puteri, Nazam Berkasih, Nirmala dan ratusan lagi lagu ciptaannya akan terus dikenang sebagai sebuah naskhah malar segar yang melodinya akan kita hafal, dendangkan merentasi zaman dan generasi.
Semoga akan ada yang masih mahu meneruskan legasi yang ditinggalkan ini agar mengalir terus dalam jiwa-jiwa yang mahu terus membudayakan muzik tradisi Melayu untuk kembali diangkat di peringkat yang lebih tinggi dan mendunia.
Al-Fatihah.