
Lagu: Kinrara
Artis: Dalia Farhana & Ezra Kairo
Komposer / Lirik: Dalia Farhana / Amir Firdaus
Banyak bakat-bakat baru hari ini datang dengan ilham muzik tersendiri dan meneruskan apa yang mereka percaya tanpa putus. Dalia Farhana dan Ezra Kairo antaranya yang berjaya dalam perjalanan mencuri perhatian pendengar muzik hari ini.
Setelah kejayaan “Langit Yang Sama”, Dalia Farhana pantas menyusun kembara bermuziknya dengan beberapa lagi single seperti “Rumah” dan kolaborasi bersama Aziz Harun. Kesemua single yang berhasil dalam nuansa Pop dengan elemen Folk dan Akustik tersebut dihasilkan sendiri daripada pemikiran kreatif anak muda ini.
Dan Ezra pula yang semakin hari mencuri perhatian di platform TikTok menerusi lagu-lagu yang dinyanyikan semula meyakinkan kita dengan ketersendirian yang ada pada kualiti vokalnya.
Dan atas keseiringan muzik dan bakat yang ada, kedua-dua bakat muda ini bersatu dalam sebuah persembahan melodi patah hati berjudul “Kinrara” ciptaan sepenuhnya Dalia Farhana Bersama Amir Hassan.
Dihasilkan dalam persembahan biasa yang kita dengar dalam lagu-lagu Dalia Farhana, kekuatan “Kinrara” kali ini saya kira benar-benar bergantung pada kemunculan Ezra Kairo sebagai teman duetnya. Melodi lagu ini kedengaran terlalu biasa dan bagai tiada daya pengikat yang kuat.
Namun saya masih harus memuji penulisan lirik Dalia yang masih terjaga puitisnya. Bait seperti “Sejauh manapun // Ku berkendara // Ku kembali ke tempat sama.” Walaupun bait “Di Kota Kinrara Kita Berjumpa // Dan kita berpisah.” kedengaran agak canggung tapi saya faham jika itu rujukan personal Dalia dalam penulisan.
Liriknya semakin baik di bahagian “Apakah doa ku tak diangkat ke langit tujuh // Barangkali doa yang tak terjawab itu // Itulah jawapanku.” Dalia saya kira penulis yang baik dan memiliki potensi yang besar dalam penulisan lagu dan lirik. Apa yang dia hasilkan setakat ini memperlihatkan rujukan-rujukannya banyak dari Indonesia.
Namun again lagu ini masih kurang mengikat. Saya lebih puas dan senang dengan penghasilan duet “Akhir Cerita Kita” persembahan Dalia bersama Aziz Harun yang lebih terasa emosi dan kesayuannya.
6.7/10
ARTIKEL BERKAITAN