
Lagu: Sindiran
Artis: Waheeda
Komposer / Lirik: Waheeda
Produser:
Lama kiranya tidak mendengar perkhabaran Waheeda dalam radar muzik tempatan. Terkahir kali setelah melepas dua buah album bersama MIG Records, “Binafsha” (2004) dan “Melodi” (2007) Waheeda muncul di layar lebar mencuba di bidang lakonan sebelum menghentikan langkah seni muziknya dengan mendirikan rumah tangga.
Pesonanya saya kira setelah itu terus diingati dengan hits “Wassini” yang sudah menjadi melodi malar segar sehingga hari ini. Pasaran muzik timur tengah yang diterokainya bersama produser muzik seperti Yasin Sulaiman menciptakan sound yang komersil dan diterima.
Beberapa rangkaian lagu yang cukup saya gemari di dua albumnya adalah “Now I Do” dan “Binafsha” terhasil dengan solid mengikut kelebihan Waheeda sebagai penyanyi yang memiliki attitude tersendiri dalam persembahan vokalnya.
Hampir 2 dekad melodi “Wassini” bergema, Waheeda pada usia matangnya kembali mahu mewarnai pasaran muzik tempatan dengan merilis kembali salah satu lagu di album keduanya menerusi lagu “Sindiran” ciptaan sepenuhnya Waheeda.
Lagu ini sebuah, melodi fusion yang menyatukan instrumentasi muzik daripada jaluran muzik India, Timur Tengan dengan feel vokal soulful Waheeda. Mendengarkannya buat pertama kali ketika diedarkan dulu saya kira ia agak bereksperimentasi.
Sound dihasilkan Waheeda menerusi lagu ini agak heavy jika mahu diketengahkan sebagai single. Liriknya juga datang dengan ilham kemanusian dalam bait panjang sebuah kisah tentang keadilan, jati diri dan penjajahan jiwa.
Hal ini jelas dalam bait “Yang diatas mencalit emas // Yang dibawah menghayun cempala kala dusta.” sebelum melodinya berbabut stail nyanyian klasikal India di tengahnya. Elemen-elemen ini membentuk pemikiran Waheeda sebetulnya sebagai pemuzik yang besar idea dan kemahuannya.
Mendengarkannya hari ini sebagai sebuah lagu yang dirilis kembali masih berat saya kira namun mungkin dalam situasi dunia hari ini, ramai yang mampu mengorek isi mencari makna akan apa yang mahu dipersembahkan Waheeda di lagu ini.
7/10
ARTIKEL BERKAITAN