
Lagu: Panas
Artis: Nikki Palikat
Komposer / Lirik: Audi Mok / Shazee
Produser: Persatuan
Mengembalikan kelajuan adrenalin dalam lagu-lagunya, Nikki Palikat menghasilkan single kedua usai fasa “Gegar Vaganza”. Selepas kelahiran single “Sudah” (Naim Daniel) yang beredar tahun lalu hadir mempesona dengan kelantangan vokal serta feel terbaiknya. Lagu tersebut berjaya mengembalikan keyakinan penggemar muzik tempatan.
Meneruskan kelangsungan bermuzik, Nikki tampil lebih upbeat dalam persembahan Pop “Panas” yang dihasilkan oleh Audi Mok dan Shazee. Lagu yang pastinya cukup signifikan dengan muzik yang memperkenalkan Nikki di lapangan muzik tempatan dahulu seperti “Caramu”, “Drama” dan “Cantik”.
“Panas” datang sedikit berbeza dengan infusi muzik Koplo yang cukup booming di era TikTok ini. Gabungan EDM dan juga Dangdut membentuk satu jaluran muzik yang semakin digilai di sini dan cukup besar di Indonesia. Namun tidak tewas dengan kualiti yang biasa-biasa. “Panas” dihasilkan cukup tastefully produced di tangan Audi dan Shazee yang menggelar diri mereka sebagai Pahlawan.
Kekuatan lagu ini masih lagi terletak pada persembahan penuh attitude bermuzik Nikki yang sangat sesuai dengan lagu-lagu begini. Melodinya mudah mengikat dengan sekali pendengaran terutama korusnya yang datang dalam idea pengulangan perkataan ‘panas’ itu sendiri. Saya senang dengan sebutan Nikki yang cukup jelas dan memberi makna pada setiap bait cerita yang terisi.
Rentaknya mudah diikuti dan transisi dari verse ke pre-chorusnya menarik. Bahagian “Akulah pewarna dunia kelabu // Aku pelangi langit mendung” itu saya kira signature dalam kebanyakan Pop yang pernah dihasilkan Nikki bersama Audi sebelum ini.
“Panas” mungkin jika mahu saya bandingkan dengan apa yang pernah Audi dan Nikki hasilkan di album “Hawa” tidaklah terhasil terlalu kuat dan tersendiri. Namun saya faham lagu ini dihasilkan bagi melengkapi kehendak pasaran muzik hari ini dengan citarasa pendengar yang sukakan approach begini.
Semoga beriring rezeki untuk diterima meluas kerana saya sangat percaya Nikki sudah seharusnya berada di tahap cukup selesa bergerak sebagai penyanyi yang konsisten dalam penghasilan lagu-lagu dan mencipta lebih momen serta impak dalam karier bermuziknya.
6/10
ARTIKEL BERKAITAN