
Lagu: Hati Besi
Artis: King Vanta Black
Komposer / Lirik: Helmy Azizan / Aliff Hiew
Produser: Helmy Azizan
Pasaran muzik Rock tempatan agak kabur arah jalannya terutama di pasaran mainstream yang semakin hilang dalam radar popular hari ini. Ilham muzik Rock hari ini juga sebetulnya sudah bercampur budayanya dengan jaluran muzik lain yang menjadi sound Rock itu semakin sukar ditafsirkan.
Ruang indie sentiasa hadir dengan bakat-bakat yang konsisten melakukan sesuatu yang di luar daripada apa yang tersedia di arus perdana. Banyak kugiran hari ini bereksperimen dengan sound yang lebih terdahulu di era-era berbeza yang disatukan dengan sound baru lantas menghasilkan sesuatu yang segar.
Kugiran seperti Margasatwa, Ramayan dan Pitahati antaranya bermain dengan elemen muzik lain seperti Psychedelic, Synth dan Folk mencipta sound yang menarik sebetulnya. Dan datang sebuah lagi kugiran yang menarik perhatian saya adalah King Vanta Black yang didukungi dua anak muda Helmy Azizan dan Aliff Hiew.
“Hati Besi” menjadi percaturan yang baik dalam bingit dan keras riff gitar yang melatari beriring derum deram yang melonjak adrenalin pendengar. Melodinya mengikat tanpa memberi ruang untuk kita berasa bosan. Lagu ini sangat dibantu persembahan vokalis utamanya, Aliff yang penuh attitude. Clarity dalam penceritaannya menyatu sempurna dalam bait lirik serta melodi yang terhasil.
Lagu ini diisi dengan pengaruh 80’s Synth dan Rock n Roll yang banyak dalam pasaran muzik tempatan di era 80-an dan 90-an. Rujukan tempatan terbaik tentu saja Search, Wings dan May antara yang dominan. King Vanta Black saya kira memberi nostalgia dalam muzik yang sangat baik lewat single ini.
Mendengar “Hati Besi” di tahun 2023 saya kira bergerak sebagai sebuah retrospektif muzik yang baik dalam lambakan Pop juga Hip-Hop dalam pasaran muzik tempatan yang mendominasi. Lagu ini terhasil komersil biar dalam keras muziknya kerana melodi asas yang dicipta masih ringan dan mengikat.
7.8/10
ARTIKEL BERKAITAN