
35 Tahun kita dilayar mimpi dalam lagu-lagu yang membuai jiwa resah, galau sehingga jiwa-jiwa rebellious dalam ratusan karya yang dirakamkan dengan satu cara yang cukup tersendiri, cukup ikonik – Ella, The Irreplaceable Rock Queen of Malaysia.
Berawal di tahun 1989, album perdananya diedarkan dalam sebuah persembahan cukup rugged, baik imej sehingga persembahan lagu-lagunya menjadikan Ella cukup tersendiri ketika itu tanpa perlu dibayangi mana-mana penyanyi sedia ada.
Album yang diterbitkan Ramli Sarip ketika itu berjaya menaikkan nama Ella dengan barisan hits seperti “Pengemis Cinta” dan “Permata Biru”. Nama Ella ketika ini sudah semakin meniti bibir penggemar muzik tempatan dan wajahnya sudah mula mengisi segmen hiburan media-media perdana ketika itu.
Tanpa memerlukan banyak masa, pihak pengurusannya ketika itu bergerak laju dengan penghasilan dua lagi album yang diedarkan serentak pada tahun yang sama iaitu “Puteri Kota” dan “Identiti” dengan penambahan karya komposer ternama seperti M. Nasir dan Fauzi Marzuki.
Dengan barisan hits malar segar “Sepi Sekuntum Mawar Merah”, “Tiada Lagi Tangis”, “Puteri Kota”, dan “Cinta Selembut Sutera” meluaskan lapangan muzik Ella dalam radar Pop semasa dengan mengumpulkan lebih ramai pendengar pastinya. Lagu-lagu sudah semakin terisi penuh di hampir setiap stesen radio tempatan.
Setelah itu saya kira seperti mana-mana penyanyi lainnya yang sudah utuh memahatkan namanya sebagai establish singer seperti Sheila Majid dan Ramlah Ram, Ella meneruskan momentum bermuziknya sehingga hari lebih tiga dekad sebagai penghibur yang tiada galang gantinya.
Memasuki pasaran yang berganti trend semasa tidak membuatkan Ella hilang identiti bermuziknya, tidak juga dia tenggelam dalam kehebohan bunyi-bunyi baru yang mendominasi pasaran muzik tempatan. Malah dia meresapi semua trend yang ada ke dalam muziknya dengan caranya tersendiri.
Pasaran Rock keras 80-an dalam lagu-lagu “Puteri Kota”, “Kesal”, “Permata Biru” sudah dilaluinya dengan cemerlang dalam usia hijaunya bermuzik. Dan memasuki era di mana muzik Alternatif Rock mendominasi pasaran muzik tidak membantutkan ilhamnya untuk terus berkarya.
Ella bersama pasukan pengurusannya cukup bijak merencana muzik Ella itu sendiri untuk turut sama menyatu dengan apa yang ada di pasaran muzik global. Maka terhasillah lagu-lagu dengan cetusan ilham baru seperti “Gemilang”, “Nuri”, “Ala Amerika”, “Demi” dan “Pedih” di pertengahan sehingga penghujung 90-an.
Sound Ella kali ini ternyata lebih moden dan bersifat global. Dengan pelaburan menghasilkan album berkualiti tinggi seperti Ella U.S.A (1994) dan EL (1998) meninggikan standard muzik Ella ke tahap yang cukup membanggakan. Hal ini menjadi lebih manis pabila disambut baik penggemar muziknya yang begitu terbuka dengan perubahan yang dibuat Ella bersama pasukannya.
Ella evolve sebagai penyanyi juga pemuzik yang cukup matang di era 90-an, lagu-lagu yang dipilih untuk dirakamkan semakin bercitara tinggi dan dengan produksi muzik yang cukup berkelas.
Pelaburan untuk album Ella U.S.A ternyata satu usaha yang cukup berbaloi. Menampilkan beberapa karya cipta produser muzik luar negara seperti Kyoji Yamamoto (Gitaris, Vokalis kugiran Jepun – Bow Wow) memberikan satu definisi baru dalam muzik Rock Ella. Produksi muziknya terhasil lebih moden tanpa lagi terikat dengan ilham muzik Rock 80-an.
Maka terciptalah hits malar segar seperti “Gemilang”, “P.P.P”, “Esok, Lusa, Selamanya” dan “Menanti”. Album ini turut menampilkan lagu-lagu ciptaan M. Nasir, Salman dan Yusry KRU. Muziknya lebih Pop dan segar dengan persembahan bersahaja Ella, “U.S.A” menjadi antara album yang cukup penting sepanjang dia bermuzik sehingga hari ini.
Ella setelah itu memberi fokus dalam persembahan pentas, konsert demi konsert dianjurkan antaranya, Konsert Ella 30110 (1993), Konsert Jelajah Ella USA (1995), Konsert Ella 10 Tahun (1995) dan Konsert Demi (1996). Sebagai seorang yang membesar dalam pasaran muzik 90-an, Konsert Demi antara yang paling saya ingati, sempat dialbumkan dan dipasarkan pada tahun 1996, album yang sebahagiannya menampilkan rakaman langsung ini antara yang pasti terus diingati penggemarnya.
Setelah terakhir kali tampil dengan album studio pada tahun 1994, Ella mengambil masa mencari ilham serta formula baru muziknya sehinggalah berjaya menghasilkan sebuah lagi album yang solid dan personal penghasilannya berjudul “EL” yang diedarkan pada tahun 1998 dengan barisan 14 trak keseluruhan.
Cukup memuaskan hati semua penggemarnya, album tersebut berbekas di hati pendengar dengan sebuah repertoire muzik yang lebih besar sifatnya, lebih matang dan lebih tinggi kualitinya. Ella sempurna dalam membebaskan jiwa Rock yang ada padanya dengan barisan lagu-lagu yang terhasil seiring dengan apa yang ada di pasaran muzik semasa ketika itu.
Dengan barisan pemuzik undangan seperti Slash daripada Guns N’ Roses menerusi lagu ciptaan Zuriani berjudul “Bayangan” sehingga ke rakaman semula “Pedih” persembahan asal kumpulan Michael Learns to Rock, album ini dihasilkan dengan penuh ketelitian dan kesungguhan.
Mendengar beberapa lagu di album ini seperti “Malam Ini”, “Cerah Kembali” dan “Cinta Pertama” memberi pengalaman baru menikmati muzik Ella yang sebetulnya banyak digerakkan menerusi ilham konsep muzik yang ada di lagu “Demi” – Lebih sentimental dan menyentuh.
Nama-nama baru yang terlibat di album ini selain Zuraini ialah Qi (O@G) dan beberapa komposer juga penulis lirik lain yang pernah bekerjasama dengan Ella sebelum ini – Fauzi Marzuki, KRU, Zubir Ali dan AK Khair. Menghasilkan sound Ella yang cukup fresh untuk lagu seperti “Bayangan”, “I.S.A”, “Cekal” (Personal favorite saya) dan “Free”.
Memasuki era millennium, nama Ella masih on demand, masih mahu didengarkan lagu-lagu terbarunya biar harus bersaing dengan bakat-bakat Pop lainnya ketika itu, Ella tidak tewas dalam meletakkan dirinya relevan dalam pasaran muzik semasa.
Maka dengan itu lahirlah album-album seperti “Ilham Bicara” (2001), “Simbiosis” (2003) dan “Rama-Rama” (2007). Apa yang menariknya jika diteliti ketiga-tiga album ini sebetulnya dipengaruhi trend muzik semasa ketika itu.
Di saat Hip-Hop mendominasi pasaran muzik di awal era 2000, era menyuntik kesegaran dalam lagu seperti “Nan Berbeza” sebuah representasi era Linkin Park yang menyatukan Rock dan Hip-Hop. Dan di album “Rama-Rama” dia meneroka pasaran muzik popular Indonesia ketika itu yang cukup booming dengan muzik kumpulan Radja dan Dewa 19.
Pembabitan komposer on demand ketika itu seperti Ajai, Azmeer, Edrie Hashim dan Loque mengarahkan muzik Ella menyatu dengan apa yang ada di pasaran muzik semasa ketika itu. Biar tidaklah impaknya seperti di era 90-an namun Ella masih berhasil memiliki banyak hits seperti “Simbiosis”, “Retak”, “Tinggal Tanda Tanya”, “Rama-Rama” dan “Teruja” yang menjadi runut bunyi “Gol dan Gincu”.
Seusai itu, Ella memperlahankan langkah bermuziknya. Bukan berhenti terus daripada menghasilkan lagu-lagu terbaru namun fokusnya terhadap persembahan pentas dan penghasilan single. Di era di mana album tidak lagi menjadi kepentingan syarikat rakaman, Ella survive dengan beberapa lagu baru seperti kolaborasi bersama Awie menerusi “Baldu Biru”, juga Tam Spider menerusi hits “Dunia Batinku” serta single solo berjudul “Puisi Hamba”.
Wajah Ella kerap muncul di kaca televisyen ketika itu, tanpa perlu lagu bergantung dengan penghasilan album, Ella terus melangkah dengan rangkaian lagu-lagu malar segarnya untuk kelangsungan karier muziknya.
Sehinggalah di tahun 2017, dengan imej baru, muzik baru – Ella menzahirkan sebuah album baru setelah kali terakhir di tahun 2007
Album diberi judul “Peace.Love.Rindu” bergerak dengan sound baru yang lebih matang pastinya. Biar sudah tampil dengan imej berhijab, Ella masih dengan attitude bermuzik yang serupa – masih Rock, masih rugged in a modest way pastinya.
Menampilkan single ciptaan Ezra Kong bersama Faizal Tahir juga Omar K menerusi lagu berjudul “Ku Sedia” – “Peace.Love.Rindu” menjadi sebuah lambang kematangan bermuzik Ella. Nama baru seperti Sam Bunkface dan AG Coco antara yang turut menyumbang lagu-lagu baru di album ini.
Masih mengekalkan nama M. Nasir dan Edrie Hashim yang menghasilkan lagu seperti “Raguku” dan “Sujud” (Yang saya letakkan sebagai lagu terbaik di album ini), Ella terus mengikat pendengaran penggemar muziknya dalam sebuah pelayaran menikmati sebuah album yang lebih personal dan spiritual sifatnya.
Ella hari ini matang berdiri sebagai seorang anak seni yang cukup dihormati. Pasaran muziknya tidak akan tenggelam biar datang seberapa ramai bakat baru yang menyinggah. Lihat saja percubaan demi percubaan di era 90-an menghadirkan the new Ella yang nyata gagal.
Tiada tolok bandingnya, Ella bakal menghiburkan penggemarnya dalam sebuah konsert besar-besaran diberi nama “Jilid Akhir” selama dua hari pada 10 dan 11 Jun ini yang bakal menyaksikan sebuah lagi momen indah, sejarah dan memori yang akan dikenang. Ella – The Irreplaceable Rock Queen!
All the best daripada Muzik Kita.
ARTIKEL BERKAITAN