
Tahun cemerlang penghasilan album penuh juga ep yang datang dengan ilham tersendiri. Baik di lapangan muzik mainstream sehingga bakat-bakat indie yang menakluk pasaran muzik mereka dengan cara masing-masing. Siti Nurhaliza (Gema Bumantara), Jaclyn Victor (Glorious), Faizal Tahir bersama Let Zapin (Jati Diri) nama besar yang telah menghasilkan sesuatu yang dinanti penggemar mereka.
Pemuzik berbakat seperti Aisha Retno (ReHab), Bunga (Seharum Nama), Dalia Farhana (Fasa) dan lucidrari (teletext) menjadi bakat pelapis yang menzahirkan album penuh tahun ini. Wani Kayrie setelah sekian lama menapak di pelantaran muzik akhirnya menemukan momen istimewanya lewat Cak Cak Cekuk lantas menghadiahinya sebuah album mini berjudul “w2k”.
Mendepani idea, penghasilan dan penerimaan untuk pendengar sebuah album dihasilkan sebagai sudut pandang dan pemikiran pembikinnya. Bakat muda seperti Lang, Eemrun, 53 Universe cukup menyerlah dengan idea beriring kemahuan menghasilkan sesuatu yang cukup meluaskan landskap muzik tempatan seiring pasaran muzik global.
Cukup meriah dengan barisan album-album penuh, kredit harus diberikan juga buat pemuzik yang tidak henti berkarya. Naim Daniel (EP Lelaki Gila), Midnight Fusic (Modus Operandi), KRU (Kaset), Shila Amzah (SA25), Imran Ajmain (Sila Ambil Perhatian), Toko Kilat (OPS Kilat) dan Aizat Amdan (Simfoni Hati Beradu) konsisten dalam memberikan sesuatu untuk penggemar mereka. Baik atau sebaliknya itu berbalik cita rasa dan kepekaan juga kecenderungan pada muzik.
Berikut 10 penghasilan album penuh dan ep yang paling menyerlah dalam penciptaan karya, produksi, dan ilham yang membentuk sebuah naratif lengkap sebuah album.

THE STORM
ALYPH / DEF Jam Recordings SEA
ALYPH merangka sebuah album dengan penceritaan. Setiap idea yang ada disusun kemas dan teliti lewat pemilihan lagu, transisi muzik awal hingga ke hujung yang membentuk satu naratif yang mengesankan. “The Storm” tidak bergerak sebagai peralihan muzik sahaja tetapi menggugah sebuah idealisme akan realiti yang dirangkum dalam sebuah persembahan muzik yang berkualiti.
Hal ini jelas dalam penghasilan lagu-lagu seperti “Ingat”, “Siapa Yang Ajar?”, “Mekar” dan antara lagu penting di album ini iaitu “Gerak” yang menutup album ini sebagai sebuah penghasilan cukup beremosi. Menerusi “The Storm” ALYPH semakin faham akan peranan dan matang dalam membentuk selera bermuzik pendengar tempatan.

TELETEXT
lucidrari / Midlyfe Records
lucidrari semakin jelas dengan apa yang dia mahu persembahkan pada generasinya. Muzik dengan ilham kekinian dibentuk atas cita rasa, pengalaman dan kepekaan pada pasaran muzik moden. Hal ini jelas dalam enam belas track solid penciptaan, groove dan penguasaan pada produksi muzik yang kemas. “lowkey”, “biarkan aku mati”, “muka surat” dan “dengari aku” menjadi pembuktian pada kuatnya asas muzik lucidrari.

ZOOBOYS
53 Universe / 53 Entertainment
Zooboys terisi sarat idea. Mendengarkan album ini mengambil masa pastinya untuk memahami sudut pandang, penghasilan dan bermesra dengan melodi-melodi yang beragam. Hip-Hop di album ini disatukan sempurna dengan R&B, Pop dan penulisan lirik yang bersulam kisah penuh humanisme dan ideologi. Gerakan ini membuktikan ia sebuah pengalaman menikmati muzik tempatan dengan sebuah kepelbagaian dalam keterbukaan pendengar.

GROUND ZERO
LANG
LANG mengembalikan the cool R&B dalam pasaran muzik tempatan yang semakin hilang. Attitude yang dia miliki ditafsir sebaiknya lewat penciptaan lagu-lagu yang begitu mengikat pendengaran. “OFF THE BAT”, “GIRL FROM THE EAST” dan “ITSUUU” menjadi lagu terbaik bagi anda yang belum mengenal LANG untuk enjoy dengan penghasilan album ini. Ramuan Pop, R&B dan EDM yang menyatu sebagai sebuah naskhah segar.

GEMA BUMANTARA
Siti Nurhaliza / SN Legacy Sdn Bhd / Universal Music(MY)
“Gema Bumantara” menjadi sebuah album penting dalam meraikan irama tradisi yang semakin tenggelam dek kelantangan muzik genarasi kini. Penciptaan lagu-lagu di album ini biar terasnya pada teraju asli muzik tradisi namun diberi kesegaran dalam susunan muzik dan instrumentasi moden. “Kumbang Bunga” contoh terbaik cara anak muda seperti Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh mengadun elemen lama dan baru dengan cara yang menghiburkan. Sebuah kelestarian dan pengamatan baru muzik tradisi yang harus dipanjangkan hayatnya.

GLORIOUS
Jaclyn Victor / Rag Dolls Records / Sony Music Entertainment
Glorious menjadi satu persembahan matang Jaclyn Victor dalam melalui transisi bermuzik di era barunya. Lagu-lagu yang terisi lewat album ini lebih bercitarasa, kemas dan memiliki volume yang seiring dengan kemampuan Jac sebagai penyanyi. “Racun” dan “Airmataku” menjadi killer sebenar album ini selain single lebih awal beredar seperti “Sesal Separuh Nyawa” dan “Kembalilah” yang menjual jiwa besarnya dalam melantun irama Soulful Ballad.

INI ADALAH UJIAN TRANSMISI
Ramayan / Luncai Emas Sdn Bhd
Jika berbicara tentang vibes, itu adalah hal yang ditawarkan Ramayan menerusi karya terbaru mereka tahun ini. Ia bergerak sebagai sebuah album berkonsep – melodinya mungkin tidak begitu mesra pendengaran dengan sekali dengar namun persembahan muziknya mampu membuat kita mengikut rentak Ramayan. “Ini Adalah Ujian Transmisi” menjadi sebuah album yang bergerak atas ketelitian idea dan perincian produksi muzik yang teliti namun namun komersial dan menghiburkan.

FASA
Dalia Farhana / XO House Sdn Bhd
Dalia seorang pemuzik yang tahu bagaimana menggerakkan sebuah melodi dengan penceritaan pada penulisan yang kreatif. “Fasa” adalah permulaan baik bagi memberi satu pentafsiran muziknya yang puitis. Biar pun ideanya tidaklah datang dengan banyak perkara baru namun ia bergerak jujur dan beremosi. Cara terbaik menikmati album ini dengan mendengarkan setiap lagu yang ada beriring listrik lirik yang ditulis Dalia. “Nanti pulangnya ke Aku, Ya” dan “Trauma” lagu terbaik di album ini.

SLEPT ON IT
Jo Lixian / Breaking Music Sdn Bhd
Yang pasti “Slept on It” tidak dihasilkan untuk memenuhi kehendak pendengar massa namun ia sebuah naskhah penting untuk diperdengarkan dan diberi apresiasi atas sebuah usaha memberikan sesuatu yang cukup berbeza dan forward. Jo bersama pemuzik berpengalaman seperti Ali Aiman, Patrick Lazaroo dan Jeremy James Kong membentuk sound Jazz dengan pengaruh Soul juga Hip-Hop yang datang dengan attitude, groove dan chord muzik yang kompleks. Jo menerusi debut album ini benar-benar menongkah arus muzik pada satu tahap yang begitu membanggakan penghasilannya.

PERANTARA
Jetcetera / Breaking Music Sdn Bhd
Lapangan pemuzik indie sentiasa ada kejutan menarik jika benar-benar diperhatikan. Tahun ini Jetcetera paling menyerlah dalam legasinya. “Perantara” sebuah album perdana yang cukup menyeimbangi kehendak artistik dalam karya mereka pada masa yang sama tidak kedengaran terlalu bereksperimentasi. Ia berjalan dalam satu haluan muzik yang seiring, memiliki momentum yang baik sebagai sebuah album penuh yang ada attitude tersendiri. Kolaborasi bersama produser muzik Megat Fazly menjadikan album ini siap dengan acuan yang baik.
ARTIKEL BERKAITAN