
Album: Wijayakusuma
Artis: Ardhito Pramono
Produser: Ardhito Pramono / Gusti R.I
Ardhito Pramono sosok pejuan Jazz Indonesia yang cukup dikenali dengan karya-karya rebeliousnya yang melawan kehendak pasaran muzik popular berjaya menawan banyak hati yang mendengar karya ciptanya. Bearawal dengan begitu independen sekali kini namanya sudah cukup besar untuk dibanggakan.
Biar harus melalui fasa gelap hidupnya awal tahun ini, Ardhito tidak berhenti malah melangkah dengan terus produktif lagi dengan sebuah single baru yang cukup sifatnya untuk membuat kita semakin menyenangi karya-karya barunya.
“Wijayakusuma” menjadi pertaruhan terbaru yang cukup menghantui saya kira biar kali pertama menikmatinya. Lagu ini terhasil dalam sebuah kejutan manis yang tidak saya duga arah baru muziknya akan seauthentic begini sekali.
Dibuka dengan instrumentasi string yang sungguh menggoda, trak berjudul “Mula” dengan durasi lebih 5 minit ini sudah membuat saya melayang dengan instrumentasi yang cukup menarik, bagai menikmati sebuah perjalanan muzikal yang sungguh magikal sekali sifatnya.
Ia bergerak sebagai sebuah siren bahawa ini adalah arah baru, kelahiran semula dalam sebuah pengalaman menikmati muzik yang yang mungkin tidak terduga penggemarnya. “Wijayakusuma” menjadi single perdana album ini yang nyata memikat sekali. Volume suara fon kepala saya tinggikan semaksimanya hanya kerana mahu meresapi kemasan muziknya.
Ardhito membuka perasaan menerusi “Laju senja pasrah gelap tiba, Tertunduk, termenung…” dengan sebuah persembahan vokal yang penuh kematangan dan semakin jelas arah bermuziknya. Saya mengulang dengar lagu ini berkali-kali, semakin ke hujung lagu ini bergerak semakin eksperimental dengan terhasil penuh sempurna.
Menerusi album ini Ardhito banyak bekerjasama dengan Gusti Irwan Wibowo serta Narpati Awangga yang turut sama menghasilkan beberapa lagu di album ini. Gusti sendiri beradu vokalnya bersama Ardhito menerusi lagu “Kesan Pertama” .
Saya begitu tertarik dengan dengan komposisi “Daun Surgawi” – kemasan muzik Synth yang menyatu baik dengan Jazz Ardhito memercik feel Fariz RM dalam penghasilan keseluruhannya. Lagu ini juga saya kira antara kejutan manis di album ini, ardhito semakin bervariasi dalam komposisi muziknya.
Korus lagunya sangat baik, feel 80’s yang disalurkan energinya di lagu ini begitu hidup sekali dengan kemasan muzik serta penggunaan instrumen yang tepat. Semua tentang lagu ini begitu hebat sekali penghasilannya.Feel serupa diteruskan menerusi lagu “2 Jam” yang sekali lagi megendong ilham Synth dan Jazz yang cukup baik sekali.
Ardhito mengemudi album ini dengan keyakinan berbeza, ia ibarat kelahiran semula di dimensi berbeza yang membawa satu harapan baru dan penghidupan kepada kelestarian bermuziknya dengan arah yang lebih baik.
Mendengarkan album ini kedua kali dan ketiga kalinya membuatkan saya seronok melihat anak muda sepertinya yang cukup memanding tinggi kehalusan seni muzik tanpa harus terlalu berkompromi dengan apa yang pasaran muzik global hari ini mahukan.
“Wijayakusumo” saya sifatkan sebagai sebuah pelayaran muzik yang cukup melekakan. Setiap lagu yang terisi di album ini bergerak dalam skala yang berbeza, sebuah pelayaran pemikiran juga perasaan Ardhito yang harus kita selami dan rasai biar selama mana masa yang harus diambil.
ARTIKEL BERKAITAN