
Ketika edisi perdanan “Detik Waktu diedarkan pada tahun 2018 dengan menampilkan kolaborasi idea legenda muzik Jazz Indonesia, Candra Darusman bersama bakat-bakat hebat seperti Marcel, Afgan, Sheila Majid, Glenn Fredly membuahkan kebanggaan muzik Indonesia dengan penghasilan sebuah album yang cukup hebat kualiti produksi muziknya.
Album tersebut juga berhasil membawa pulang trofi Album Terbaik di ajang Anugerah Musik Indonesia (AMI) pada tahun yang sama album tersebut diedarkan. Meneruskan kesinambungan ilham meramu kembali lagu-lagu hebat karya ciptaan Candra Darusman, edisi kedua beredar tahun ini.
Dikumpulkan 12 lagu dengan penampilan lebih 12 penyanyi yang mengisi adunan semula album ini memercikkan rasa Jazz, Bossa yang saya sifatkan cukup solid, impactful dan begitu puas sekali usai mendengarkan keseluruhan album.
Dibuka dengan penampilan Morad, Oslo Ibrahim, Sandhy Sondoro bersama SNYW Big Band menerusi lagu “Dibatas Waktu” sempurna sebagai pemula sebuah persembahan Jazz yang minit pertamanya dimulai dengan instrumentasi yang cukup menarik sekali sebelum vokal mengisi.
“Perangai Diri” lagu yang asal dirakamkan Chaseiro menerusi album “Persembahan” diramu kembali muziknya dengan vokal menyenangkan kolaborasi Karamia, Puspallia Panggabean dan Agustin Oendari. Kesederhanaan lagu ini yang datang dalam pesona muzik yang cukup menyamankan menghasilkan sebuah pengalaman menikmati Bossa Jazz yang cukup menarik. Vocalizing ketiga-tiga vokalis ini di tengah lagu memberi warna dalam lagu ini.
Efek Rumah Kaca hadir di album ini dengan meramu kembali “Sapa Pra Bencana” dengan ilham muzik yang cukup berbeza sekali. Menggabungkan ilham muzik Candra dan ERK di lagu ini mungkin satu idea gila namun terhasil cukup hebat sekali. Eagasm. Antara yang terbaik dihasilkan di album ini boleh saya katakan.
“Lagu Untuk Marlina” oleh Rifan Kalbuadi sebuah lagi produksi yang cukup baik kemasan muziknya. Piano yang melatari keseluruhan lagu ini cukup terhasil baik dalam memberi pengalaman menikmati muzik yang begitu memuaskan sekali.
Album ini turut menampilkan lagu-lagu yang diedarkan lebih awal seperti “Waktuku Hampa” dan “Perjumpaan Kita” yang dipersembahkan bersama Ardhito Pramono dan Dian Sastro. Selain rakaman “Satu Cinta” persembahan Dira yang cukup dreamy sekali penghasilan muziknya. Saya melayang mendengarkan rakaman semula lagu ini yang terisi kemasan string terbaik di album ini. Vokal Dira benar-benar memberi justifikasi yang secukupnya untuk rendisi terbaru ini.
Vira Talisa menerusi “Makna Nostalgia” menampilkan sisi berbeza dalam persembahan vokalnya. Lagu ini bergerak dalam dimensi Jazz yang biasa dibawakan Monita Tahalea dan Andien tetapi tidak terasa canggung dipersembahkan Vira yang ternyata mengalun lembut dalam emosinya yang tersendiri.
Album ini ditutup dengan rakaman live “Pemuda” oleh Nial Djuliarso yang dihasilkan pada tahun 2015 dengan dibuka sempurna petikan piano yang cukup hebat sekali. Saya mengulang dengar berkali-kali lagu ini menikmati sebuah pengalaman mendengarkan muzik live yang cukup hebat sekali penghasilannya.
Album ini saya letakkan antara yang terbaik pernah saya dengar tahun ini. Satu lagu ke lagu lainnya terhasil cukup baik sekali dalam membuka ruang-ruang sempit disogokkan lagu-lagu Balada lembik yang ada di pasaran muzik tempatan.
9.5/10
ARTIKEL BERKAITAN