Pasaran muzik Hip-Hop di era 2000 melahirkan sangat banyak bakat-bakat muda yang datang dengan karya tersendiri dan dek kerana lambakan itu sebetulnya banyak juga yang terpinggir daripada perhatian yang sepatutnya. Satu daripadanya adalah Junio Hustle yang muncul dengan album “Rap Graduate” ketika Too Phat dan Ahli Fiqir cukup booming mencuri perhatian penggemar muzik tempatan.
Album ini menyenaraikan 15 lagu kesemuanya yang datang dengan groove, soul juga feel urban yang cukup forward ketika diedarkan. “Malaysian Is You, Malaysian Is Me” menjadi killer di album ini dengan kolaborasi muzik Junio Hustle bersama Point Black dalam lirik 3 empat bahasa – Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil membentuk spirit Malaysia yang baru dan segar ketika diedarkan. Biar sudah lebih 10 tahun beredar lagu ini masih terasa kesegaran muziknya.
Groove Junio Hustle diteruskan dalam lagu lainnya seperti “Saturday Nite Life” yang lebih keras penyampaian mereka. Hal serupa dirasai dalam lagu seperti “It’s Reality” dan “Underground Business” yang kuat pengaruh Too Phat di dalamnya sebelum lebih soul di lagu “Segalanya” yang sepatutnya boleh sangat popluar ketika diedarkan tetapi entah di mana kurangnya lagu ini dipinggirkan.
Namun pendengaran saya cukup tertarik dengan rakaman lagu “Malam Pesta” yang mengambil sample lagu “Memikat Hati” R.Azmi yang meneruskan formula Too Phat dalam lagu “Anak Ayam”. Lagu ini saya kira fun dan idea mengambil sample lagu-lagu lama ini membuatkan Hip-Hop itu lebih mainstream friendly dalam ilham memikat pendengaran penggemar muzik tempatan khususnya.
Junio Hustle hadir dalam pasaran muzik tempatan mungkin pada masa yang kurang tepat kerana dominasi Too Phat, Poetic Ammo, Ahli Fiqir sehingga kemunculan V.E dan Ruffedge yang membuatkan nama mereka sedikit suram. Namun mendengarkan kembali album ini pada saat ini masih terasa relevan dan segarnya. Produksi muzik di album ini cukup kemas dan clean tanpa terlalu perlu menjadi terlalu bising.
Pasaran muzik Indonesia cukup berpengaruh dalam membentuk citarasa muzik tempatan. Muzik kita melewati pasaran muzik Indonesia di awal era 2000’s dan menilai lihat kembali album-album yang cukup berpengaruh sepanjang tempoh itu.
Sheila on 7 membawa gelombang Pop band seberang yang luar biasa di sini sejak kemunculan hits “Dan” pada tahun 1999. Kemuncak populariti mereka di sini tentu saja pada pemasaran album kedua “Kisah Klasik Untuk Masa Depan” yang terisi lebih lagi lagu-lagu hits malar segar yang masih didengarkan biar sehingga hari ini. “Sephia” dan “Bila Kau Tak Disampingku” menjadi tenaga utama album ini sebelum diteruskan dengan single lainnya. Album ini turut mendapat nominasi Album Indonesia Terbaik, Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-9.
Pertaruhan Once sebagai vokalis baru Dewa 19 yang ketika itu bergelar “Dewa” nyata satu percaturan yang menjadi. “Bintang 5” menjadi album Dewa paling berpengaruh tidak hanya di Indonesia malah di Malaysia. Rangkaian hits “Roman Picisan”, “Separuh Nafas”, “Dua Sejoli, “Lagu Cinta”and the list goes on memberi satu fasa baru Dewa dalam terus mencuri perhatian penggemar mereka dengan landskap baru muzik Dewa yang pastinya cukup disenangi semua Baladewa nusantara.
Krisdayanti menerusi dua album awal yang beredar di Malaysia “Menghitung Hari” (1999) dan “Mencintaimu” (2000) cukup berjaya menawan pendengar tempatan dengan kelunakan power vokalnya. “Cahaya” menjadi satu fasa peralihan Pop Krisdayanti yang lebih matang, lebih solid dan lebih kemas penghasilannya. “Pilihlah Aku”, “Cobalah Untuk Setia” dan “Cahaya” menjadi lagu yang cukup berfenomena di sini. Menerusi album ini juga dia berhasil memperoleh pencalonan Album Indonesia Terbaik.
Gelombang entertainment Indonesia di Malaysia tidak hanya di perkembangan muziknya malah juga perkembangan filem yang membawa muzik di filem “Ada Apa Dengan Cinta” menjadi cukup berhasil di sini. “Ada Apa Dengan Cinta” menjadi peneraju gelombang OST Indonesia untuk terus popular. Dan populariti itu tentu saja memberi kelebihan buat Melly untuk dia terus dikenali di sini sehingga lebih ramai penyanyi tempatan yang mahukan sentuhannya. Runut bunyi AADC adalah sebuah sejarah penting muzik Indonesia.
Mengembalikan nostalgia muzik era 2000 mustahil untuk tidak kita memberi ingatan pada Peterpan. Mula dikenali dengan album “Taman Langit”, Peterpan ke Malaysia bersama label Suria Records yang meneruskan kelangsungan bermuzik mereka dengan lebih ligat di album “Bintang Di Surga” pada tahun 2004. Dengan hits sepanjang zaman “Mungkin Nanti”, nama Peterpan mengisi frekuensi radio tempatan beriring beberapa hits lain seperti “Ada Apa Denganmu”, “Ku Katakan Dengan Indah”, “Khayalan Tingkat Tinggi”, “Dibelakangku” dan lainnya.
“Hanya Memuji” sudah menjadi naskhah malar segar dalam legasi Indo Pop sehingga hari ini. Debut Marcell ini bergerak dalam nuansa R&B Pop yang cukup menyenangkan dengan rangkaian lagu ciptaan Melly Goeslaw, Tohpati dan Dewi Lestari yang cukup indah penghasilan melodinya. “Semusim”, “Jangan Pernah Berubah”, “Mendendam” dan “Firasat” menjadi lagu-lagu wajib dalam senarai lagu yang harus dinyanyikan Marcell dalam persembahan langsungnya.
Fenomena band Indonesia diteruskan lagi sehingga pertengahan 2000 dengan kehadiran Nidji yang menggila dengan hits “Sudah”, “Hapus Aku” dan “Bila Aku Jatuh Cinta”. Pasaran muzik mereka yang datang dengan pengaruh Brit Pop ketika itu menyatu baik dengan feel Indo Pop. Nidji menjadi antara band penting dalam perkembangan muzik Indonesia di Malaysia. Dan tentu saja fenomena mereka tidak bergantung pada album ini sahaja malah bersambung dengan album-album seterusnya.
Sebuah lagi runut bunyi yang cukup booming ketika diedarkan adalah daripada filem “Heart” yang sekali lagi dikepalai Anto Hoed sebagai produser dengan melodi emas Melly Goeslaw. “My Heart” persembahan vokal mediocre Acha dan Irwansyah biar dikritik keras ketika diedarkan tidak menghentikan populariti lagu ini. “Pencinta Wanita”, “Berdua Lebih Baik” dan “Sampai Menutup Mata” turut menjadi anthem album ini.
Glenn Fredly membentuk satu ciratasa Balada R&B yang cukup berkelas sekali. Lagu-lagu seperti “Januari”, “Akhir Cerita Cinta” dan “Sekali Ini Saja” meletakkan standard Balada Indonesia lebih tinggi sebetulnya. Album ini solid sebagai sebuah album R&B Pop yang cukup solid sekali penghasilannya. Pop di album ini diramu cukup segar, terutama sekali kolaborasi Glenn bersama Audi menerusi single “Terpesona”.
Agnes memasuki pasaran muzik dengan tenaga baru dalam muzik. Berawal dengan “Bilang Saja” dia berjaya mengalihkan pandangan penggemar muzik padanya. Tidak hanya popular di Indonesia, Agnes bersayap ke Malaysia mencipta nama di sini dengan rangkaian hitsnya yang datang dengan kekuatan vokalnya yang cukup hebat beriring kebolehan berpentas yang mengagumkan. “Sacredly Agnezious” sebuah kematangan bermuzik Agnez. “Matahariku” akan sentiasa menjadi lagu yang akan sentiasa didengari dan akan dinanti penggemarnya setiap kali dia di pentas.
Kumpulan Scan hadir dalam pasaran muzik tempatan dalam lambakan generasi kumpulan berhuruf “S” – Spring, Scoin, Spoon, Slam, Sup dan the list goes on yang menawarkan ilham serupa – Balada bunuh diri, kisah darjat, cendikiawan di Halaman Kontang & Tulang Ikan. Ya Tulang Ikan antara judul lagu Scan yang dimuatkan dalam album mereka.
Lagu-lagu Saari Amri, Eddie Hamid dan Lan Laga yang rata-ratanya melatari dua album studio mereka “Jelas Terlihat” (1996) dan “Bila Anganku Terbukti” (1997) – meneruskan ilham U.K’S, Exists dan Slam yang lebih awal mencuri perhatian dengan Balada Melayu yang cukup ramuan mendayunya, sayunya juga sendunya. Kalau betul-betul sedang dalam galau, lagu-lagu ini memang akan menusuk.
Scan yang didepani Azan sebagai vokalis utamanya memberi kelebihan buat kumpulan Scan. Azan memiliki karakter vokal brader-brader Melayu yang jiwa rempit dalam nyanyiannya sangat baik menurut saya. Vokal Azan jelas, emosinya tepat dan tidak hairanlah kalau kita betul-betul dapat rasa sedih dan sayunya dalam lagu-lagu kumpulan ini.
“Kau Dipaksa Aku Terpaksa” (Saari Amri) menjadi pertaruhan yang sangat tepat mencuri perhatian pasaran muzik 90-an dan dengan lagu ini Scan abadi dalam sejarah Rock Kapak tempatan dalam alunan melodi Jiwang yang akan sentiada diputar biar usia lagu ini sudah berganti generasi. Tidak terkejut melihat jumlah strim lagu ini di Spotify sudah melebihi 1 Juta strim. Selayaknya sudah bergelar malar segar dalam legasi lagu-lagu jiwang tempatan.
“Hati siapakah mampu menahan rasa terkilan setelah percintaan dihujani halangan..” Bait cinta terhalang yang cukup tipikal dalam lapangan lagu-lagu jiwang dan tidak cukup dihujani halangan malah dihiris belati – “Pernah jua ku terluka dihiris belati tajam.” Sebuah perlambangan hiperbola yang sememangnya berlebihan untuk menggambarkan kepedihan dan kesakitan jiwa yang ditanggung tadi akibat terpaksa berpisah.
Seronok sebenarnya membaca teks lirik lagu-lagu yang tertulis di era ini. Isi ceritanya mudah namun perlambangan dan simbolisme itu ditulis dengan cukup terperinci dalam menggambarkan situasi juga perasaan sang pencerita. “Tak Mungkin Cendikiawan Menyintai Seniman” sebuah lagi lagu yang hadir dengan perlambangan yang hiperbola. Lagu ini bergerak awal dengan persoalan “Bila aku fikirkan sejenak apa kurangnya aku, Hingga gagal memilikimu.”sebelum bersambung dengan hipotesis;
“Sedangkan kau cendekiawan Lebih arif tentang kehidupan Dan aku pula insan seniman Hanya arif pada keindahan.”
Yang kemudian disambut dengan jawapan “Kerna diri sendiri hidup tak menentu, Mungkin itu salah satu, Mengapa kau membisu walau puas ku merayu.”Begitu cerita disusun berisi cukup baik pemilihan kata-katanya, tertib dalam mentafsir cerita dalam lagu yang disampaikan. Menyatu sempurna dengan melodi Balada yang mendayu. Begitulah cara orang dulu menulis lirik – tersusun, bersebab.
Mendengarkan Scan saya harus bersama liriknya, jika tidak memang saya pinggirkan saja melodinya bukan jiwa saya tetapi ada hal-hal baik yang lain boleh digali untuk saya enjoy. Selain lirik tentu saja penyampaian vokal Azzan yang sangat sedap biar nada tingginya begitu tinggi, dia tidak terlalu memekik bingit. Masih sedap dan in control.
“Yang Kalut Di Fikiran” sebuah lagi lagu yang hadir dengan lirik yang bersifat perlambangan. Bait awal “Ku semai kasih di halaman kontang, Jenuh aku membaja tunasnya layu jua.”Dan saya tertarik dengan gambaran literal yang ditulis dalam bait “Kala itulah semua potretmu lumat di genggaman.” – Buat saya berfikir patutlah orang suka lagu-lagu begini, gambaran situasinya real.
Saya kira lirik-lirik lagu kumpulan muzik di era ini sememangnya menggambarkan situasi sosio-budaya juga pemikiran Melayu ketika itu. Kisah-kisah cinta terhalang kerana darjat itu memang ada dalam satira masyarakat 80-an dan 90-an.
Jurang dalam kasta kaya – miskin dan pemikiran orang tua yang mahu anaknya disandingkan dengan keluarga yang ada-ada, yang baik keturunannya itu wujud sejak zaman P.Ramlee lagi tidak terhenti di era 90-an.
Dan itulah unik dan seronoknya melewati sosio-budaya dalam masyarakat Melayu dalam muzik. Lihat sahaja bagaimana pemikiran pemuzik muda hari ini dalam lirik-lirik mereka. Depression dalam lagu Zynakal itu memang wujud, gadis gedik dalam cerita “Teman” Iman Troye juga ada. Perigi cari timba? Gambaran anak muda hari ini barangkali.
Kitaran kisah generasi yang diadaptasi dalam penulisan lirik itu memang mewakili generasi. Ingat bagaiman KRU dulu bermuzik sebagai anak muda yang bervisi dalam lirik-lirik mereka? Mahukan evolusi juga pembaharuan – hal-hal yang banyak ditulis dalam lirik-lirik mereka.
Scan satu daripada banyak-banyak kugiran Jiwang yang ada dalam pasaran muzik yang saya boleh layan. U.K’S okey cuma saya kurang minat vokal Amir dan Slam tentunya lebih lebih tastefully produced di tangan Johari Teh. Scan selamat kerana Azzan dan melodi emas Saari Amri.
Usai fasa bersama GAC – Gamaliel, Cantika dan Audrey melewati fasa baru bermuzik mereka. Setiap satunya hadir dengan ilham muzik semasa yang cukup moden, urban dengan feel R&B yang tercantun baik dalam penghasilan melodi yang cukup catchy.
“Daisy” menjadi pertaruhan perdana Audrey untuk bergerak solo. Lagu yang beredar di tahun 2019 itu menjadi siren untuk penggemarnya bersiap sedia dengan pertaruhan muzik solonya yang mungkin tidak banyak lari berbeza dengan apa yang pernah dilakukan bersama G.A.C tetapi yang pasti ia hadir lebih groove, sweet dan Pop dengan kemanisan yang ada pada karakter Audrey itu sendiri.
Setelah lebih dua tahun single “Daisy” beredar, Audrey bersama batalion muziknya kembali meraikan pendengar dengan single terbaru berjudul “Dime” yang diciptanya bersama Aldi Nada Permana, Gamaliel dan Popsickle.
Hadir dalam nuansa Pop R&B yang cukup internasional penghasilannya, “Dime” terhasil cukup ramuan komersial untuk diketengahkan di pasaran semasa. Audrey semakin memikat dalam penyampaian vokalnya yang semakin berkarakter. Attitudenya cukup dirasai dan menyatu sempurna dengan penghasilan produksi muzik kelas satu Aldi Nada Permana.
Terus terang jika saya tidak tahu ini lagunya Audrey boleh jadi saya anggap lagu ini bukan dihasilkan anak Indonesia kerana hasilnya cukup dengan semangat Pop global hari ini. Tiada yang canggung semuanya kedengaran cukup kemas dan enak sekali.
Lagu: Kau Harus Pergi Artis: Casey Komposer / Lirik: Kesavan K. Subramaniam
Soloist Pop R&B, Casey cukup dikenali dengan hits “Seribu Impian” dan “Jangan Ada Benci” di era 90-an. Berbekal dua buah album, Casey meniti bibir penggemar muzik ketika itu dengan Pop yang segar berbanding apa yang ada di pasaran muzik solo lelaki ketika itu.
Menerusi album keduanya Casey hadir lebih eksperimental dengan sound Jazz dan R&B yang lebih kental bersama produser Michael Veerapen. Melodi di dalamnya tidaklah se-catchy album perdananya tetapi dengan kerjasama Fauzi Marzuki ketika itu dia berjaya menzahirkan “Jangan Ada Benci” yang menjadi satu-satunya single di album tersebut.
Setelah itu Casey memilih untuk aktif sebagai pemuzik sahaja. Kebolehannya bermain bass dan minat dalam produksi muzik belakang tabir juga bermuzik secara langsung di pentas-pentas kecil menenggelamkan nama Casey dalam pasaran muzik komersial. Pada masa yang sama Casey pun saya kira sudah give-up nak layan mainstream, agaknyalah.
Maka dengan itu dia tinggalkan kita dengan ingatan menerusi lagu-lagunya sahaja sehinggalah selepas 25 tahun “Menatap Memori” album keduanya beredar Casey menzahirkan sebuah single Soul / R&B berjudul “Kau Harus Pergi” yang dicipta sepenuhnya sendiri.
Terhasil dalam jaluran muzik yang cukup kuat pengaruh R&B dengan feel Jazz di sepanjang lagu berdurasi 7 minit ini, Casey membuat saya melayang menikmati alunan suara dan melodi yang menyantum sebagai sebuah naskhah yang cukup solid sekali. Tidak terasa lamanya, saya membayangkan betapa seronoknya lagu ini dinikmati dalam persembahan live Casey.
Mendengarkan lagu ini saya pasti ini adalah arah muziknya yang sebenar. Seperti apa yang dia lakukan di album “Menatap Memori” 25 tahun sudah dengan feel yang lebih current, berat jiwanya dan cukup detail di bahagian susunan muziknya yang dirakam cukup kemas sekali.
“Kau Harus Pergi” bergerak sebagai naskhah Soulful Ballad yang saya sangat pasti bukan datangnya dari generasi Tik Tok tetapi lebih kepada penggemar muzik yang lebih matang yang sentiasa mahu dicabar dengan sound lama yang dibikin dengan cara baru, feel baru. Dan saya dapat semua itu di lagu ini.
Indonesia tidak pernah sunyi dengan bakat baru yang sentiasa membuat saya kagum dengan kemampuan bermuzik mereka. Belum sempat saya puas menikmati Pamungkas datang seorang lagi bakat yang masih hijau tetapi cukup besar visi bermuziknya. Gangga, sebuah nama yang memikat pendengaran penggemar muzik Indonesia dengan single “Blue Jeans”.
Ogos lalu Gangga merilis album perdananya yang berisi 10 lagu kesemuanya. “It’s Never Easy” menjadi judul yang saya kira cukup mentafsirkan sifat album ini. Mengangkat kisah patah hati, melepaskan dan merelakan – Gangga membawa emosinya berlayar dengan flow yang cukup mendamaikan.
Dibuka dengan “I Dont Need You” trak singkat kurang 2 minit ini memberi siren bahawa ini adalah jaluran muzik yang dibawanya dan jika anda belum siap untuk galau dalam cara anak muda hari ini pesan Gangga “I Dont Need You”. Lepaskan saja album ini pada pendengar lainnya.
Kegalauan Gangga diteruskan menerusi lagu berikutnya “It’s Always I Love You” setelah dia in denial di lagu sebelumnya, Gangga ternyata masih tidak mahu melepaskan cintanya itu. Melewati album ini seperti satu pelayaraan kisah yang cukup personal sekali. Lagu-lagu seperti “Ice Kiss” dan “Day After Day” tercipta dalam satu acuan muzik hari ini.
Melewati album ini mengingatkan saya pada Mikha Angelo di album perdananya. Kedua-dua bakat muda ini ada persamaan daripada segi feel dan cara mereka bercerita dalam lagu-lagu yag ditulis.
“Whiskey Bottle” antara yang memikat pendengaran saya. Melodinya terhasil dalam momentum yang digerakkan lirik yang baik “We were so tragic but it was magic.” antara bait yang menarik ditulis Gangga menerusi lagu ini. “Waiting For You” sebuah melodi pengharapan yang saya pasti tidak sukar untuk dinikmati kisahnya oleh kebanyakan kita.
Album ini saya sifatkan sebagai sebuah urusan perasaan yang sifatnya cukup kekinian. Cara Gangga menghasilkan melodi, penulisan liriknya semua berteras pada apa yang ada di kebanyakan pasaran muzik Pop global hari ini. Dan mendengarkan album ini jelas pengaruh muzik Gangga itu sendiri adalah apa yang cukup besar sekarang di pasaran komersial.
Gangga antara bakat baru yang unik dan menyenangkan. Album ini terhasil dengan sangat baik sehingga tiada satu pun yang berjaya membuat saya mahu skip. Dan pastinya saya menantikan lebih lagi penghasilan melodi-melodi ciptaannya di masa depan.
Dia digelar Raja Biola dan tidak kurang yang mengaguminya menganggap Hamzah Dolmat sebagai Pahlawan Muzik Melayu yang sentiasa beriring semngat juga jiwa Melayunya dalam alunan merdu gesekan biolanya. Cukup aktif di era 50-an, 60-an dan 70-an sebagai pemuzik instrumental, Hamzah Dolmat berdiri sebagai Seniman yang cukup disegani.
Biola menjadi temannya sejak dia berusia 11 tahun lagi. Berawal di Singapura cita-cita untuk aktif sebagai pemuzik diwarisi daripada ayahandanya Dolmat Abdul Fattah yang juga seorang pemain Biola. Kebolehan bermuzik Hamzah Dolmat tidak hanya pada Biola, dia juga jaguh dalam instrumen Piano, Gambus dan arkodian.
Hamzah Dolmat dilahirkan di Kota Singapura dalam tahun 1923 sering mengikuti aktiviti bermuzik ayanhandanya yang merupakan ahli Kugiran Bangsawan sebelum dia sendiri bergerak sebagai pemuzik bersama Kumpulan Ronggeng Singapura dan Malaya.
Kerjaya dalam bidang muzik tidak hanya bergerak sebagai pemuzik langsung sahaja pada tahun 1948 Hamzah Dolmat telah bermula membuat rakaman piring hitam serta menjadi pemuzik pengiring bagi runut bunyi filem-filem Melayu sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1959.
Langkahnya di Kuala Lumpur disambut rezeki sebagai pemuzik yang tiada putusnya. Kelibat Hamzah Dolmat pasti ada di mana-mana upacara rasmi negara dan juga istiadat kerabat diraja. Dan setelah itu beberapa rakaman album dibuat sebagai penghormatan tertingginya buat muzik tradisi Melayu Khususnya.
Nama Hamzah Dolmat dan Sahrifah Aini antara yang cukup sinonim. Penghasilan album berjudul “Lela Manja” (1979) saya sifatkan sebagai naskhah magnum opus yang cukup meninggikan standard muzik Melayu Asli ke tahap yang cukup hebat sekali sepertimana alunan Jazz di luar, begitu jugalah penghasilan “Lela Manja”.
Jasa beliau dalam meneruskan kelangsuang muzik klasik Melayu asli ini memberi beberapa penganugerahan tertinggi buatnya sepanjang bermuzik. Antaranya adalah gelaran Ahli Mangku Negara (A.M.N), Ijazah Kehormat Sarjana Sastera daripada Universiti Malaya (1978) dan Pingat Jasa Kebaktian daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (1980).
Namanya hari ini mungkin sangat jarang diperkatakan namun tanggungjawab kita sebagai pendengar harus sentiasa ada. Naskhah-naskhah Hamzah Dolmat adalah karya emas yang patut dibanggakan semua. Alunan Biolanya kemas menyentuh merentasi apa jua alunan muzik Melayu Asli baik Ghazal, Joget mahupun Inang.
Semoga jika tidak ada yang mewarisi bakat uniknya ini dapatlah kita sentiasa perdengarkan alunan Biolanya buat generasi berganti agar jasa dan usahanya itu berbaloi dibuat rujukan budaya, sastera dan muzik tempatan. Kini rangkaian gesekan Biola Hamzah Dolmat boleh anda nikmati di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
Elvan Saragih mula mencuri perhatian saya ketika dia beradu nasib di pentas audition Indonesian Idol beberapa tahun lalu sebelum lagi dia memasuki pertandingan “Rising Star” dan bergelar juara di musim ketiga pertandingan nyanyian tersebut. Perjalanannya untuk bermuzik tidak mudah tetapi beriring iltizam dia akhirnya berjaya menembusi pasaran muzik komersial Indonesia.
Kualiti vokal yang dia miliki saya kira bukan lagi persoalan cuma untung nasib itu sahaja yang menentukan ke mana dia mampu pergi. Persaingan yang cukup besar di Indonesia untuk menembus pasaran lebih luas tidak mudah kerana semua sedia maklum bakat-bakat di sana bukan calang-calang hebatnya.
Kali ini bersama Warner Music Indonesia, Elvan diberi peluang untuk merilis single perdananya setelah beberapa tahun tertunda kerana menanti ruang dan masa yang tepat untuk dia bersianar. Lagu berjudul “Kau Ulangi Lagi” yang dicipta Asta andoko bersama Ramadhan Handyanto ini terhasil dalam acuan muzik yang cukup cocok dengan karakter vokalnya.
R&B yang menjadi pertaruhan di lagu ini disampaikan dengan cukup sederhana beriring feel yang tepat untuk kita enjoy dengan melodi yang tidak sukar untuk membuat kita senang menikmatinya. Cukup catchy, ringan dan moden. Elvan menyempurnakan lagu ini dengan cukup baik sekali.
Saya tidak sabar menantikan karya-karyanya di masa mendatang, yang lebih groove, moden dan santai pastinya. R&B dalam lenggok nyanyiannya itu kelebihan untuk Elvan disenangi di pasaran muzik hari ini. Dan dia juga cukup current untuk pendengar muda hari ini.
Lagu: Skali Lagi Artis: ALYPH Komposer / Lirik: ALYPH Produser: Magic Potions
Kembara muzik ALYPH bergerak cukup matang beriring usianya bermuzik. Sejak merilis “Adakah Kau Mendengar” tahun lalu, karya-karya terbarunya akan sentiasa dinantikan, diberi perhatian dan menjadi bahan rujukan saya kira buat pemuzik-pemuzik muda mengatur jejak sepertinya.
Terkini, ALYPH merilis EP 3 Lagu berjudul “III/III” dengan rangkaian lagu “Adakah Kau Mendengar” , “Show Me Colors” dan pertaruhan terbaiknya menerusi EP ini dengan judul “SKALI LAGI”. Bergerak dalam satu jaluran muzik yang cukup kuat sifat “ALPYH” di dalamnya terisi sebagai sebuah naskhah Hip-Hop yang cukup matang.
ALYPH menerusi “SKALI LAGI” berbicara dengan dirinya soal bahagia, kecewa dan susah senangnya bersama siapa yang setia dan siapa yang meninggalkan dalam transisi hidupnya. Hal-hal ini sangat jelas ditulis bait “Siapa ada, bila masa, engkau sesak? Ingat ke tak, berapa ramai, orang lesap?”
Hasil kerja ALYPH di lagu ini saya kira terhasil cukup teliti dan sophisticated, dia bijak menyusun penciptaan melodinya dalam satu standard muzik yang bersifat tersendiri seiring apa yang ada di pasaran global. Momentum muzik di lagu ini sangat dirasai di penghujung lagu di saat koir mengiringi kemasan muziknya yang cukup dasyat penghasilannya.
Semuanya terhasil dengan cukup kemas dan berkelas sekali. ALYPH bergerak sebagai pemuzik yang tahu hala tujunya dan dia tahu bagaimana mahu merencana muziknya dengan cara yang terbaik agar ia tidak kedengaran biasa-biasa sahaja. Lagu ini tidak hanya bergerak sebagai sebuah naskhah komersil tetapi seimbang dengan estetika kerja bermuzik ALYPH sendiri.
Mendengarkan “SKALI LAGI” saya pasti ia tidak dihasilkan dengan proses yang mudah dan cepat kerana ketelitian dalam hasil kerja lagu ini sangat dapat kita rasai dan nikmati dengan penuh kepuasan. Dan saya kira itulah magis seorang ALYPH yang bekerja telus dari jiwanya tanpa perlu terburu waktu.
Album: Untuk Pencinta Seni Artis: Mohamed M.N Produser: M.Nasir Pengarah Muzik: Ooi Eow Jin
1979 lahir seorang bakat baru yang kini bergelar biduan muzik muzik tempatan yang cukup disegani. Bergelar Mohamed M.N ketika itu, M.Nasir menggaparap album solo perdananya dengan mengikut arus muzik semasa ketika itu yang dominan dalam penghasilan melodi yang jiwa Melayunya cukup kental sekali. Maka lahirlah album berjudul “Untuk Pencinta Seni” yang diterbitkan bersama nama-nama besar industri muzik ketika itu seperti Ooi Eow Jin di Singapura.
Album yang memuatkan 12 lagu keseluruhannya berawal dengan lagu berjudul “Mari Berdangdut” (M.Nasir) yang menggabungkan irama Melayu ala Hail Amir dengan pengaruh Dangdut dengan cara M.Nasir yang terhasil cukup nusantara sekali feel nya. Memilih lagu begini sebagai pembuka sebuah album sudah jelas visinya untuk namanya dikenali lebih luas di lapangan komersial muzik tempatan.
Pasaran muzik 70-an yang rata-ratanya didominasi Ahmad Nawab menjadikan Balada sebagai lagu yang paling banyak di pasarkan ketika era tersebut. Dan bagi menuntut kehendak pasaran saya kira M.Nasir menerusi album ini menghasilkan lagu-lagu Balada dengan feel 70-an yang cukup kuat. Hal ini sangat boleh kita dengarkan dalam rangkaian lagu seperti “Kepulangan” (M.Nasir) yang di tengah lagunya bersulam monolog.
Rangkaian Balada 70-an di album ini diteruskan dengan lagu seperti “Mendung Kelabu”, “Tanti” dan “Saat Terakhir”. Sebuah lagu yang cukup menarik untuk dikupas dalam album ini bagi adalah “Pelukis” yang liriknya ditulis cukup puitis dalam sebuah cerita yang sangat menarik oleh S.Amin Sahab.
Dan saya kira inilah keistimewaan album-album M.Nasir penulisan liriknya tidak diambil ringan. Sekalipun lagu rakaman semula “September Lalu” Bee Gees di album ini masih ditulis dengan baik tanpa kedengaran canggung penghasilannya.
“Joget Biduan Biasa” (M.Nasir / Ooi Eow Jin) antara yang paling menghiburkan. Irama Joget di lagu ini dipersembahkan M.Nasir dengan cukup sederhana dalam feel Folk Pop yang ada dalam dirinya. Momentum muziknya bergerak dalam standard lagu-lagu Joget 70-an yang banyaj terhasil serupa namun identiti M.Nasir sebagai penyanyi menjadikan lagu ini cukup menyenangkan dan berbeza sekali.
Album ini terhasil dalam crossover genre yang saya pasti dihasilkan sebagai percubaan memasarkan M.Nasir dalam pasaran muzik tempatan ketika itu. Ada Balada, Joget, Folk, Disko yang semuanya disatukan dalam satu album. Semua genre ini adalah yang cukup dominan di pasaran muzik 70-an pastinya. Namun jiwa sebenar M.Nasir itu saya kira benar-benar dirasai di lagu “Pohon Sena” dan “Tanti”.
Mendengarkan kembali album ini setelah lebih 40 tahun diedarkan dan melihat di mana kedudukan M.Nasir sebagai pemuzi hari ini cukup besar sekali transisinya. Konsistensinya dalam bermuzik membuatkan dia sebagai seorang figura yang semakin matang. Dan saya kira jika dia berhenti pasti langkahnya tidak sebesar hari ini dan ya itulah kunci kejayaan, to keep doing, to keep moving.